Sepanjang hidup selepas berkahwin, ini adalah kali pertama aku mengalami pendarahan haid yang sangat banyak — heavy menstrual bleeding atau lebih dikenali sebagai menorrhagia.
Selepas lebih sebulan tidak datang haid, bila akhirnya muncul, aku tak sangka darah haid langsung tak berhenti. Dalam tempoh hampir tiga hari, aku terpaksa tukar pad setiap jam. Bayangkan, dalam masa 24 jam sahaja habis satu bungkus pad aku guna.
Pada awalnya aku cuba tenangkan diri. Mungkin sebab lama tak period, jadi bila datang terus keluar banyak. Aku abaikan dulu, cuba fikir positif.
Tapi lama-kelamaan hati mula gelisah.
Setiap jam perlu tukar pad. Kadang-kadang keluar darah pekat dalam jumlah yang banyak. Dalam keadaan tu pula, husband tak ada di rumah, dan jarak klinik agak jauh.
Aku ambil keputusan untuk tunggu sampai keesokan harinya. Mungkin hari pertama sahaja begini, fikir aku. Namun sangkaan aku meleset.
Keesokan paginya, pendarahan masih berterusan. Awal-awal lagi aku sudah keluar beli dua bungkus pad, sebab langsung tak tertahan kerapnya perlu tukar. Badan mula rasa lemah, kepala pening sedikit, dan fikiran makin tak sedap.
Akhirnya aku nekad. Aku pergi ke klinik juga, sebab risau kalau kehilangan terlalu banyak darah. Simptom-simptom yang aku alami memang buat aku takut — takut pengsan, takut jadi apa-apa bila bersendirian di rumah.
Aku ke Klinik Zulfa, Pontian.
Sampai sahaja di klinik, aku daftar dan tak sampai 10 minit, nama aku dipanggil. Doktor bertanya apa yang berlaku, dan aku ceritakan semuanya — dari lewat period, pendarahan yang tak berhenti, hingga kekerapan tukar pad.
Doktor terus buat scan untuk melihat keadaan rahim. Alhamdulillah. Tiada masalah pada rahim. Tiada fibroid, tiada ketumbuhan. Sedikit rasa lega di situ.
Namun doktor memaklumkan, kemungkinan besar aku mempunyai PCOS. Pendarahan yang terlalu banyak ini boleh berlaku disebabkan ketidakseimbangan hormon.
Aku dibekalkan:
- Ubat untuk hentikan pendarahan
- Suplemen khas berkaitan PCOS
Doktor ada pesan, kalau aku betul-betul nak merancang untuk ada zuriat, aku perlu jaga pemakanan dan kurangkan berat badan. Hakikatnya, memang itu juga yang aku sedang usahakan sekarang. Perlahan-lahan… walaupun kadang rasa penat.
Yang buat aku lebih keliru, aku tak makan banyak, tapi berat badan tetap naik mendadak. Ada hari aku tertanya-tanya, apa lagi yang salah? Bila melibatkan hormon, rupanya bukan sekadar soal makan atau tak makan.
Banyak pesan untuk kurangkan stres dan banyakkan berehat. Setiap hari aku masih berjuang dengan emosi sendiri. Ada masa kuat, ada masa lemah. Ada hari aku mampu senyum dan yakinkan diri bahawa semuanya akan baik-baik saja.
Nak mencari orang yang faham tu bukan senang. Bukan senang nak turunkan berat... Aku struggle nak kurangkan berat dekat 4 tahun.. Kadang sampai tak nak tengok cermin...
Orang tak nampak:
- usaha kau kawal makan, makan supplement
- rasa bersalah setiap kali makan
- air mata senyap-senyap bila baju makin sempit
- paksa diri exercise
- dan suara dalam kepala yang selalu salahkan diri sendiri
Tiada siapa pun nak gemuk. Apatah lagi bila berat badan sering dikaitkan dengan “sebab tu belum ada zuriat”.
Setiap kali menulis pasal ttc nie rasa sedih ja. Tak tahu nak luah macam mana dah.

0 comments
Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.