Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga. Ia bulan latihan jiwa, bulan pengampunan, bulan gandaan pahala. Kadang kita fokus pada puasa sahaja, tapi sebenarnya ada banyak amalan sunat yang boleh buat Ramadan kita jadi lebih bermakna.
1. Mengimarahkan Masjid dan Surau Dengan Solat Berjemaah
Solat berjemaah sangat dituntut dalam Islam, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.
Rasulullah SAW bersabda:
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya: Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat sendirian sebanyak 27 rakaat. Sahih Muslim (1509)
Kalau boleh, cuba hidupkan masjid lebih kerap sepanjang Ramadan. Ramadanlah waktu paling sesuai untuk biasakan diri ke masjid — bukan hanya tarawih, tapi juga Subuh dan Isyak.
Suasana Ramadan di masjid tu lain macam. Tenang. Damai. Rasa dekat dengan Allah.
2. Membaca al-Quran Setiap Hari dan Berusaha Khatam
Ramadan dikenali sebagai bulan al-Quran kerana pada bulan inilah al-Quran diturunkan.
Firman Allah SWT:
“Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia…” (Surah al-Baqarah: 185)
Rasulullah SAW sendiri bertadarus bersama malaikat Jibril pada setiap malam apabila tibanya bulan Ramadan. Ibn ‘Abbas meriwayatkan hadis dengan berkata:
كانَ رَسولُ اللَّهِ ﷺ أجْوَدَ النّاسِ، وكانَ أجْوَدُ ما يَكونُ في رَمَضانَ حِينَ يَلْقاهُ جِبْرِيلُ، وكانَ جِبْرِيلُ يَلْقاهُ في كُلِّ لَيْلَةٍ مِن رَمَضانَ، فيُدارِسُهُ القُرْآنَ، فَلَرَسولُ اللَّهِ ﷺ حِينَ يَلْقاهُ جِبْرِيلُ أجْوَدُ بالخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ المُرْسَلَةِ
Maksudnya: Rasulullah SAW adalah manusia yang paling pemurah (banyak bersedekah) terutama di bulan Ramadan ketika malaikat Jibril AS menemuinya. Jibril AS datang kepada Baginda SAW setiap malam di bulan Ramadan, lalu mereka saling bertadarus al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah SAW orang yang paling pemurah dengan kebaikan (kepada orang yang memerlukan) lebih cepat daripada tiupan angin. Riwayat al-Bukhari (3220)
Tak mampu khatam? Tak apa. Baca satu muka sehari pun tak mengapa. Yang penting konsisten. Ramadan ni peluang untuk kita rapat balik dengan al-Quran.
3. Memperbanyakkan Zikir, Selawat dan Istighfar
Ramadan adalah bulan pengampunan. Justeru, memperbanyakkan istighfar sangat dianjurkan.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” [Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)]
Bayangkan… dosa lama boleh terhapus. Jadi jangan lepaskan peluang untuk beristighfar, berzikir serta selawat. Ringkas, tapi berat pahala di sisi Allah.
4. Memperbanyakkan Doa Terutama Pada Waktu Mustajab
Antara waktu mustajab doa pada Ramadan:
- Ketika berpuasa
- Saat berbuka
- Pada sepertiga malam terakhir
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ
Maksudnya: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak”. [Riwayat Ibn Majah (1753)]
Sebelum capai air tu, berhenti sekejap. Angkat tangan. Sebut nama orang yang kita sayang.
Doakan ibu ayah.
Doakan anak-anak.
Doakan diri sendiri.
Ramadan ni bulan Allah suka kita meminta.
5. Mendirikan Qiyam Ramadan (Tarawih dan Witir)
Solat tarawih adalah syiar Ramadan. Qiyam Ramadan termasuk:
- Solat tarawih
- Solat witir
- Qiyamullail
Walaupun sedikit, yang penting istiqamah. Walaupun penat, cuba jangan tinggal tarawih.
Tak mampu 20 rakaat? Buat 8 pun tak apa.
Tak mampu lama? Buat yang ringkas.
Yang penting hadir hati.
6. Beriktikaf Terutama Pada 10 Malam Terakhir
Iktikaf bermaksud menetap di masjid dengan niat beribadah. Diriwayatkan juga daripada Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau berkata:
كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ
Maksudnya: Adalah baginda S.A.W beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehinggalah baginda wafat. Kemudian para isteri baginda turut beriktikaf selepas kewafatan baginda. Riwayat Muslim (1172)
Ia bertujuan mencari Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
7. Bersahur dan Menyegerakan Berbuka
Sahur bukan sekadar makan, tetapi sunnah yang diberkati. Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata, Nabi SAW telah bersabda:
تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السُّحُورِ بَرَكَةً
Maksudnya: "Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan." Riwayat al-Bukhari (1923), dan Muslim (1095)
Manakala menyegerakan berbuka juga sunnah
Daripada Sahl bin Sa’ad RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الفِطْرَ
Maksudnya: “Manusia itu akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagimana mereka mempercepatkan berbuka puasa”. [Riwayat al-Bukhari (1957) dan Muslim (1098)]
8. Memberi Makan Kepada Orang Berpuasa
Amalan ini besar ganjarannya. Daripada Zaid bin Khalid, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
مَن فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيئًا
Maksudnya: “Siapa yang member makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.” (Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi)
Tak perlu buat kenduri besar. Kadang sekotak kurma pun cukup. Kadang sekadar kongsi kuih dengan jiran. Ramadan ni bulan untuk perbanyakkan sedekah.
9. Bersedekah Setiap Hari Walaupun Sedikit
Nabi SAW adalah insan paling pemurah, dan Baginda lebih pemurah lagi pada bulan Ramadan.
Dalam sebuah hadith riwayat al-Imam al-Bukhari Rahimahullah, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ، وَأَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ، حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
Maksudnya: Adalah Nabi ﷺ seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan ketika Jibril AS bertemu dengannya. Adalah Jibril AS bertemu dengan Nabi ﷺ pada setiap malam pada bulan Ramadhan untuk mengulangkaji Al-Quran dan kemudiannya Rasulullah ﷺ menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin yang pantas. Riwayat Al-Bukhari (3554)
Sedekah boleh dalam bentuk:
- Wang
- Makanan
- Senyuman
- Bantuan tenaga
Yang penting ikhlas.
10. Menjaga Percakapan dan Menjauhi Perkara Sia-Sia
Puasa bukan hanya menahan lapar, tetapi menjaga lidah dan tingkah laku. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW:
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه
Maksudnya:“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 1770, 5597]
Termasuklah menjaga media sosial daripada:
- Fitnah
- Mengumpat
- Perdebatan sia-sia
- Perkongsian yang melalaikan
Ramadan adalah bulan tarbiah akhlak.
Kesimpulan
Ramadan datang hanya sekali setahun. Tidak ada jaminan kita akan bertemu Ramadan seterusnya. Amalan sunat mungkin kelihatan kecil, tetapi pada bulan Ramadan nilainya berganda. Jangan tunggu sempurna baru mahu bermula.
Mulakan dengan satu amalan.
Tambah sedikit demi sedikit.
Yang penting konsisten dan ikhlas.
Semoga Allah menerima amal kita, mengampuni dosa kita, dan menemukan kita dengan Lailatul Qadar. Ramadan ini mungkin Ramadan terakhir kita. Sudahkah kita manfaatkan sepenuhnya? 🤍
Rujukan:
- https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3957-al-kafi-1512-mana-lebih-utama-solat-awal-waktu-sendirian-atau-lewat-tapi-berjemaah
- https://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-khas-ramadhan-cat/5865-manakah-yang-lebih-baik-meneruskan-bacaan-al-quran-terdahulu-atau-memulakan-semula-daripada-awal-pada-bulan-ramadan
- https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/3406-irsyad-al-hadith-siri-ke-371-makna-hadith-penuh-keimanan-dan-pengharapan
- https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/819-irsyad-al-hadith-siri-ke-196-doa-orang-berpuasa-mustajab
- https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-khas-ramadhan-cat/1051-irsyad-al-fatwa-khas-ramadhan-79-iktikaf-pengertian-dan-persoalan-berkaitan
- https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/edisi-ramadhan/3404-irsyad-al-fatwa-khas-ramadhan-siri-ke-127-apakah-yang-dimaksudkan-keberkatan-pada-sahur
- https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/798-irsyad-al-hadith-siri-ke-202-kelebihan-mempercepatkan-berbuka
- https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/edisi-ramadhan/2040-fadhilat-memberi-makan-kepada-orang-yang-berbuka-puasa
- https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/1157-bayan-linnas-siri-62-ahlan-wa-sahlan-ya-ramadhan

0 comments
Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.