Terpaksa Bayar Denda Pinjam Buku

Terpaksa Bayar Denda Pinjam Buku


Awal pagi nie dah hilang mood. Huhu

Sejak Ogos 2025, aku antara pembaca yang aktif meminjam buku di perpustakaan. Membaca jadi cara aku mengisi masa, menenangkan fikiran dan melawan rasa bosan di rumah — lebih-lebih lagi bila suami bekerja di laut, 5–6 hari baru pulang.

Sepanjang tempoh meminjam buku ini, satu perkara yang aku paling tak suka ialah urusan memperbaharui tarikh pinjaman.

Di Perpustakaan Johor, pembaharuan tarikh boleh dibuat melalui panggilan telefon. Mudah, pada teori. Tapi realitinya, aku sudah dua kali dikenakan denda — bukan kerana sengaja lewat pulang buku, tetapi kerana masalah yang di luar kawalan aku.

Kali pertama, buku yang aku pulangkan lebih awal tidak dapat diperbaharui kerana sistem sedang ‘down’. Aku ikut arahan dan pulangkan sebelum tarikh luput. Namun bila sistem kembali pulih dan aku ingin meminjam buku lain, aku diminta membayar denda lama — walaupun masalah asal berpunca daripada sistem.

Kali kedua lebih mengecewakan.

Aku menelefon seperti biasa untuk renew tarikh buku. Staf yang menjawab hanya mengambil nombor WhatsApp dan memaklumkan, jika tiada mesej dihantar, maksudnya buku telah berjaya diperbaharui.


Aku tunggu. Tiada WhatsApp.


Pagi ini, aku menelefon semula untuk kepastian. Jawapannya ringkas — buku sudah tamat tempoh, tidak boleh diperbaharui dan perlu dipulangkan. Denda dikenakan.

Sedangkan aku sudah menelefon lebih awal dan mengikut arahan yang diberi.


Aku faham, semua orang sibuk. Sistem kadang-kadang bermasalah. Tetapi mungkin lebih baik jika pembaca diminta untuk menelefon semula, atau dimaklumkan dengan jelas sama ada pembaharuan berjaya atau tidak.


Sekarang aku tidak dapat ke perpustakaan dalam masa terdekat. Denda tetap perlu dibayar.


Apa yang buat rasa tak adil tu sebenarnya bukan pasal denda semata-mata, tapi salah komunikasi.
Aku dah buat bahagian aku — call awal, ikut prosedur, staf ambil info & janji “kalau tak WhatsApp, maksudnya dah renew” tapi sebenarnya tak renew langsung.

Tapi sebagai staf kaunter, ayat paling selamat sepatutnya: “Puan, sistem belum pasti. Boleh call semula esok ya.”

At least kita tahu nak jaga tarikh sendiri. Sekarang tak boleh ke library, tambah denda lagi. Huhu.

Bila aku follow up, terus jadi salah aku pula sebab buku dah expired.Walaupun aku jelaskan bahawa aku telah menelefon lebih awal untuk memperbaharui tarikh pinjaman, jawapan yang aku terima hanyalah, “puan kena bayar juga.”

Tiada permohonan maaf. Tiada penjelasan tentang kemungkinan salah faham, masalah sistem, atau kekhilafan komunikasi — sekurang-kurangnya satu ayat, “maaf puan, mungkin ada kekeliruan.” Itupun sudah cukup. 

Terpaksa bayar ja lah.

0 comments