Aku ingat dalam Ramadan ini aku tidak akan mendengar berita tentang kehilangan. Namun kelmarin, aku dikejutkan dengan satu berita yang sangat menyentap jiwa. Kakak sepupu aku — anak buah mak — telah kembali ke rahmatullah.
Kehilangan yang sangat mengejutkan. Allahyarhamah sakit dari kampung dan dikejarkan ke Hospital Kudat. Tapi sebaik sahaja sampai di sana, keadaannya sudah nazak. Tidak lama selepas itu, Allah menjemputnya pulang.
Cerita mak yang sempat menziarahi di Kudat benar-benar buat hati aku luluh. Suaminya terduduk. Tidak percaya. Menangis tidak berhenti. Lemah seluruh tubuhnya menerima takdir yang terlalu berat ini. Allah…
Allahyarhamah tinggalkan empat orang permata. Anak bongsunya perempuan, baru berusia enam tahun.
Aku yang mendengar dari jauh pun terasa sesak di dada. Apatah lagi si suami yang hilang tempat bergantung. Allahu berat dugaan mereka di bulan Ramadan ini.
Ramadan ini benar-benar mengajar aku tentang hakikat hidup.
Bahawa setiap yang bernyawa pasti akan kembali kepada-Nya. Cepat atau lambat, bersedia atau tidak, kita semua sedang menuju ke arah yang sama. Allah pilih bulan yang mulia untuk memanggilnya pulang. Itu juga satu tanda kasih sayang Allah.
Aku hanya mampu berdoa…
Semoga Allah mengampuni segala dosa Allahyarhamah.
Semoga dilapangkan kuburnya, diterangi dengan cahaya iman.
Semoga dijadikan kuburnya taman dari taman-taman syurga.
Dan semoga Allah kurniakan kekuatan luar biasa buat suaminya serta anak-anak yang ditinggalkan. Kadang kita tak faham kenapa Allah uji seberat ini, tapi Allah tak pernah silap memilih siapa yang mampu memikul ujian-Nya.
Al-Fatihah buat Allahyarhamah LIZA BINTI BIRAN🤍

Innalillahiwainnailaihirojiun (إِنَّا ِلِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ) . Semoga rohnya ditempatkan bersama roh org2 yg beriman. Aamiin...
ReplyDelete