Menulis Dengan Hati Kerana Tulisan Hidup Lebih Lama

Sii Nurul
By -
0
Ada seorang blogger dari Indonesia yang tidak pernah aku temui, namun kata-katanya masih melekat di hati sehingga hari ini. Beliau meninggal dunia pada tahun 2018. Sudah bertahun-tahun berlalu, tetapi setiap kali teringat tulisan-tulisannya, ada rasa sayu yang singgah.

Yang tinggal hanyalah catatan-catatan penuh jiwa. Tulisan yang lahir daripada hati, seolah-olah beliau menulis untuk membebaskan dirinya dan hidup dengan kata-kata. 

Dari perkongsian ibunya, aku ketahui bahawa beliau menghidap skizofrenia. Namun, sakit itu tidak pernah mampu memadamkan cintanya pada penulisan. Malah, sebaliknya, ia melahirkan tulisan yang begitu jujur dan ikhlas.

Menulis Dengan Hati Kerana Tulisan Hidup Lebih Lama



Ada satu pesanan beliau yang masih aku simpan:

"Bebaskan diri anda. Tetaplah jadi diri sendiri. Menulislah kerana anda gembira ketika melakukannya. Lupakan pembaca untuk sesaat. Kerana kesenangan merupakan motivasi terbesar bagi penulis. Kalau anda tidak lagi menikmatinya apalah erti dari semua ini." – Shiq4

Setiap kali membaca kembali kata-kata itu, aku terdiam lama. Ia membuat aku bertanya kepada diri sendiri: Apakah aku benar-benar menikmati penulisan ini? Apakah aku menulis dengan ikhlas?

Menulis, pada akhirnya, adalah tentang hati kita sendiri. Menulis adalah tentang kebahagiaan ketika menuangkan isi hati dan fikiran ke dalam kata-kata.

Apa yang kita kongsi mungkin tampak biasa bagi diri kita sendiri. Kadangkala kita rasa tiada apa-apa makna pun. Namun, tulisan itu mungkin menyentuh hati orang lain, memberi mereka kekuatan, atau sekurang-kurangnya menemani mereka di saat sunyi. 

Dan bukankah itu sesuatu yang indah, apabila tulisan kita hidup lebih lama daripada kita sendiri? Pada akhirnya, kita akan pergi, tetapi kata-kata akan tinggal.

"Menulis itu menyenangkan bukan beban. Dan nikmatilah hasil tulisan anda." - Shiq4

Suatu hari nanti, andai aku tiada lagi di dunia ini, harapanku cuma satu — biarlah “suara” ini terus berbicara melalui setiap bait kata.

Semoga tulisan ini menjadi jambatan antara masa lalu dan masa kini; menyentuh hati, menyalakan semangat, dan memberi harapan yang mungkin penulisnya sendiri tidak sempat melihat hasilnya.


Tags:

Post a Comment

0 Comments

Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Out
Ok, Go it!