Sabah kini sedang menghadapi ujian yang berat — bencana alam yang datang bertubi-tubi tanpa henti. Banjir kilat, tanah runtuh, kebakaran, semuanya melanda dalam tempoh yang singkat.
Pantai Barat Sabah paling teruk terjejas, manakala Pantai Timur pula baru-baru ini mengalami gangguan bekalan elektrik seluruh kawasan akibat tanah runtuh serta masalah bekalan air yang terputus.
Sebagai anak jati Sabah yang kini berada jauh di perantauan, setiap hari adalah satu kebimbangan. Hujan lebat kadang tak berhenti. Kawasan rumah keluarga mula dinaiki air. Mujurlah setakat ini air belum masuk ke dalam rumah seperti tahun-tahun sebelumnya, tapi trauma dan ketakutan itu tetap hadir.
Penampang, Putatan, Papar, dan banyak lagi kawasan ditenggelami banjir. Sedih tengok gambar dan video yang tular. Sedih lagi bila tahu ramai yang telah kehilangan nyawa akibat tanah runtuh. Bukan hanya rumah rosak, tapi juga harapan dan keselamatan diragut sekelip mata.
Kalau nak dibandingkan dengan di Semenajung banjir nie ibarat banjir Johor ke Melaka. Korang boleh bayang tak? bukan semua tempat tenggelam, tapi banyak kawasan lumpuh dan tidak dapat dilalui.
Hujan yang dulu menenangkan, kini membawa keresahan. Setiap kali langit mula gelap, setiap kali guruh berdentum, penduduk mula berjaga-jaga. Inilah realiti yang berulang setiap tahun.
Ramai tak tahu, atau buat-buat tak tahu — rumah di banyak kawasan Sabah, terutama luar bandar, dibina dengan sangat asas. Tak tinggi, tak kukuh, dan tak cukup selamat untuk hadapi bencana. Tapi bukan sebab tidak mahu bina yang lebih baik tetapi kebanyakkan tidak mampu.
Bahkan rumah seperti apartment tidak semua rakyat mampu beli.
Aku tak nak bercakap panjang soal politik, tapi realitinya menyakitkan.
Tahun demi tahun, setiap kali musim tengkujuh, tiada perubahan. Sistem perparitan tak diperbaiki. Jalan raya rosak dibiarkan. Bangunan dan kawasan perumahan tiada pelan mitigasi bencana yang betul. Bila rakyat merayu bantuan, jawapan yang datang hanya janji kosong.
Di media, nampak macam semua dah selesai, bantuan sampai. Tapi hakikatnya? Rakyat di kampung masih bina jambatan sendiri guna duit poket — sebab bila banjir, tak ada jalan lain nak keluar.
Empat tahun aku di Pontian, Johor — aku nampak sendiri beza sistem. Bila banjir, ada tindakan pantas. Saliran dijaga. Maklum balas pantas. Tapi di Sabah? Rakyat dah penat komplen. Penat buat laporan. Penat mengeluh. Tapi suara rakyat tetap tidak dipedulikan.
PRAY FOR SABAH bukan hanya hashtag. Ia adalah jeritan rakyat yang terlalu lama ditenggelami oleh banjir, tanah runtuh, dan sistem yang gagal.
“Ya Allah, peliharalah penduduk Sabah dan seluruh wilayahnya daripada bala bencana, banjir dan tanah runtuh. Angkatlah daripada mereka segala ujian dan musibah. Letakkan mereka dalam penjagaan dan perlindungan-Mu, turunkanlah rahmat serta ketenangan-Mu ke atas mereka.”
Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.