Aku cuba untuk bertahan dalam menulis, tapi hasilnya… tiada.
Belajar dan belajar, namun aku tetap tidak dapat mengejar “silibus” algoritma yang sentiasa berubah.
Cuba beralih ke media sosial, tapi social media anxiety semakin membimbangkan.
Terlalu banyak perkara negatif yang aku baca dan lihat di media sosial, terasa seperti ia memakan diri sendiri sedikit demi sedikit.
Aku mula rasa overwhelm dengan tekanan.
Badan terasa penat, fikiran lagi penat.
Burnout. Passion menulis hilang.
Blog yang dulu jadi sumber kegembiraan… kini terasa hambar.
Apa yang hendak aku luahkan dalam penulisan tidak lagi sama seperti dulu.
Hati rasa kosong.
Keputusan Paling Berat: Berhenti
Akhirnya aku buat keputusan untuk berhenti.Hilangkan identiti, demi mencari diri yang telah lama hilang.
Bukan mudah.
2015 aku mula berblog.
2019 aku mula jadi blogger sepenuh masa.
2023… 2024… 2025… bertahan bukan perkara mudah.
Masa, tenaga, wang — semuanya aku laburkan.
Ibarat membina rumah… bila siap, pilihan yang ada cuma merobohkannya.
Terlalu sakit untuk melihat konten lama.
Sebab itu aku padam.
Lupakan SEO.
Lupakan algoritma… walau untuk seketika.
Aku lepaskan apa yang aku ingin lepaskan.
Aku lepaskan kerjaya sebagai “Blogger Sepenuh Masa”.
Aku mula menulis semula, tapi kali ini untuk diri aku sahaja.
Memilih Untuk Tidak Bekerja
Keputusan ini bukan keputusan kecil.Ia bermaksud aku akan berhenti menjana pendapatan.
Aku akan jadi seorang isteri dan suri rumah biasa yang hanya menulis blog sebagai hobi.
Aku tahu, mungkin bagi orang lain keputusan ini pentingkan diri — tidak lagi dapat menyumbang kepada keluarga selepas berkahwin.
Tapi aku cuma mahu rehat.
Aku mahu kembali kenal siapa diri aku tanpa tekanan kerja.
Adakah aku akan buat kerja lain?
Mungkin ya… mungkin juga tidak.
Buat masa ini, aku cuma mahu berhenti.
Ujian Selepas Keputusan
Beberapa bulan selepas keputusan itu, kami diuji.Suami tidak dapat bekerja untuk beberapa minggu.
Simpanan kami hanya cukup-cukup makan.
Namun, aku bersyukur Allah masih beri kesempatan untuk kami bersama.
Kalau tidak… mungkin aku sudah bergelar balu.
Sepanjang hampir tiga minggu itu, aku dan suami banyak berfikir tentang kehidupan.
Tentang masa depan.
Tentang keputusan-keputusan yang telah kami buat.
Dan aku…
Aku fikir sama ada keputusan berhenti ini betul atau tidak.
Jawapannya…Ya.
Aku rasa aku buat keputusan yang betul.
Bukan kerana aku tak mahu berusaha,
Tapi kerana aku sudah terlalu lama bertahan hingga hampir hilang diri.
Aku pilih untuk jaga kesihatan mental dan jiwa aku
Akhir kata, aku titipkan doa…
Semoga Allah sentiasa melimpahkan rezeki yang halal, luas, dan berkat untuk keluarga kecil kami.
Semoga kami diberi kesihatan yang baik, hati yang sentiasa tenang, dan rumah tangga yang penuh kasih sayang.
Semoga perkahwinan ini dipelihara hingga ke akhir hayat, sentiasa dikuatkan dalam apa jua ujian, dan dipenuhi dengan rasa syukur setiap hari.
Dan semoga kami berdua terus menjadi pasangan yang saling menguatkan, saling memahami, dan saling mencintai — dunia dan akhirat.
— siinuruldotcom
Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.