Minggu lepas, aku dan suami sempat luangkan masa ke Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ) yang terletak betul-betul di tengah bandar Johor Bahru. PPAJ bukan sekadar bangunan tiga tingkat penuh buku — tapi satu pusat pembelajaran moden yang terbuka untuk semua lapisan masyarakat.
Kami bertolak dari Pontian, ambil masa lebih kurang kurang sejam (ikut keadaan trafik juga). Kami sampai lebih kurang jam 12 tengah hari, pada hari Rabu — waktu yang agak tenang.
Kawasan parking disediakan secara percuma tetapi cepat penuh pada waktu puncak. Aku suka buku besar di bahagian pintu masuk.
Suasana & Kemudahan
Masuk ja ke dalam perpustakaan, suasananya hidup dan mesra. Ada pelbagai golongan: pelajar sekolah, mahasiswa, ibu bapa dengan anak-anak kecil. Sangat terbuka dan selesa untuk semua.
Antara kemudahan yang disediakan:
✅ Ruang bacaan luas & berhawa dingin
✅ Banyak plug point untuk cas phone/laptop
✅ WiFi percuma (kena daftar)
✅ Surau berhawa dingin
✅ Tandas bersih & terjaga
✅ Loker percuma untuk simpan beg
✅ Bilik Realiti Maya (VR Room)
✅ Kaunter Servis Pelanggan
✅ Kafe (ILMU @ KAFE)
✅ Bilik Mesyuarat
✅ Bilik Perbincangan
✅ Bahagian Koleksi Kanak-Kanak
✅ Sudut Interaktif Sains hasil kerjasama dengan Petrosains
Koleksi Buku Yang Pelbagai
Bahan bacaan di sini sangat pelbagai — dari surat khabar, buku remaja, buku agama, psikologi, sejarah, kesihatan, pemasaran, manuskrip, dan macam-macam lagi.
Yang aku paling suka? Koleksi buku agama & psikologi yang sangat menyeluruh.
Ada juga koleksi khas berkaitan sejarah Melayu, satu inisiatif bagus untuk pelihara warisan tempatan.
Namun begitu, aku berharap perpustakaan ini dapat terus menambah dan mengemaskini koleksi buku-buku baharu selaras dengan perkembangan semasa.
Sebagai orang awam yang gemar meminjam buku, aku amat menghargai sekiranya buku-buku terkini yang banyak dijual di pasaran turut tersedia untuk dipinjam di sini.
Tidak semua mampu untuk membeli buku, jadi sekurang-kurangnya melalui pinjaman buku di perpustakaan, masyarakat masih dapat mengakses bahan bacaan yang bermutu.
Ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan minat membaca dan menggalakkan lebih ramai berkunjung ke perpustakaan
Cabaran Bila Ada Pelajar Sekolah
Waktu pagi memang tenang. Tapi lepas tengah hari, sebab perpustakaan ni bersebelahan dengan sekolah, memang ramai pelajar akan masuk.
Kena bersabar sikit… sebab ada yang bising dan suka berlari, walaupun dah ditegur oleh petugas. Bagi aku, ni satu-satunya cabaran bila datang waktu puncak.
Tips untuk Pengunjung Baru
Nak pengalaman yang lebih selesa? Ini beberapa tips dari aku:
- Bawa headphone kalau cepat terganggu dengan bunyi
- Duduk di port atau sudut yang lebih tersorok
- Bawa charger – plug point memang banyak!
- Tak perlu risau pasal pakaian – suasana mesra & santai
- Elak bawa beg galas besar – kena simpan dalam loker
Maklumat Peminjaman Buku
Untuk meminjam buku, korang hanya perlu mendaftar sebagai ahli terlebih dahulu dengan mengimbas QR code yang telah disediakan. Pendaftaran dilakukan secara dalam talian melalui borang yang disediakan. Keahlian adalah percuma – tiada sebarang bayaran dikenakan.
Hak Keistimewaan Ahli:
Maksimum 15 buah buku boleh dipinjam dalam satu masa.
Tempoh pinjaman:
- Buku biasa: 2 minggu
- Buku rujukan: 1 minggu
Denda lewat pulang: RM0.10 sehari bagi setiap buku.
Nota Penting:
Tiada kad fizikal dikeluarkan. Untuk meminjam, hanya perlu berikan nombor kad pengenalan anda kepada petugas.
Info Ringkas
- Lokasi: Perbadanan Perpustakaan Awam Johor, Lot 19745, 19745, Jalan Yahya Awal, Kampung Mahmoddiah, 80100 Johor Bahru, Johor
- Waktu Operasi: Dibuka setiap hari (termasuk hujung minggu)
- Perpustakaan ditutup pada CUTI UMUM
Kesimpulan
Kalau korang nak tempat yang selesa untuk belajar, bekerja, atau sekadar santai dengan buku — PPAJ memang tempat pilihan untuk korang singgah.
Lengkap dengan kemudahan moden, selesa, dan mesra pengunjung. Satu-satunya perkara yang perlu diberi perhatian ialah waktu kunjungan — elakkan waktu sekolah kalau nak suasana yang lebih tenang.
Highly recommended 💯
📌 Soalan Lazim (FAQ) – Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ)
Kategori | Soalan | Jawapan |
---|---|---|
Keahlian | Siapa yang boleh menjadi ahli? | Terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan bukan warganegara. |
Berapakah kadar bayaran keahlian? | Percuma untuk semua kategori. | |
Apakah kelebihan menjadi ahli? | Ahli boleh membuat pinjaman sehingga 15 buah buku dalam satu transaksi. | |
Pinjaman | Bagaimana untuk mencari bahan dalam perpustakaan? | Gunakan OPAC yang disediakan, layari laman web rasmi PPAJ, atau minta bantuan petugas kaunter. |
Berapa banyak buku boleh dipinjam? | Sehingga 15 buah buku dalam satu transaksi. | |
Bolehkah buat pembaharuan pinjaman melalui telefon? | Boleh. Hubungi perpustakaan melalui panggilan telefon atau mesej Facebook rasmi mereka. | |
Perkhidmatan | Bagaimana untuk akses WiFi perpustakaan? | WiFi percuma. Dapatkan kata laluan daripada petugas kaunter. |
Bagaimana untuk guna bilik perbincangan? | Perlu jadi ahli terlebih dahulu. Selepas itu, boleh guna bilik perbincangan secara percuma. | |
Adakah buku rujukan boleh dipinjam? | Ya, boleh. Tempoh pinjaman adalah seminggu. | |
Adakah perkhidmatan atas talian disediakan? | Ya. Pengguna boleh mengakses U-Pustaka melalui pautan dalam laman web rasmi perpustakaan. | |
Adakah perpustakaan dibuka pada hari Sabtu dan Ahad? | Ya. Sila rujuk waktu operasi terkini di laman web rasmi PPAJ. |
Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.