Pengalaman Mengambil Lesen Memandu Kereta Kelas DA di Kudat

Sudah lama juga aku merancang untuk mengambil lesen memandu. Sebelum ini aku pernah kongsikan pengalaman pertama kali memandu kereta selepas suami belikan kereta kancil.

Bagi aku, mengambil lesen memandu merupakan satu pengalaman baharu yang perlu dilalui sendiri. Walaupun nampak mudah apabila melihat orang lain memandu, sebenarnya ada banyak perkara yang perlu dipelajari sebelum kita benar-benar bersedia untuk berada di jalan raya.

Walaupun aku ada asas memandu selama 3 bulan di Johor, aku still nervous juga mahu mengambil lesen nie.

Hari ini aku cuma nak berkongsi pengalaman awal mengambil lesen memandu di Pusat Memandu Hasil Utara Sdn. Bhd. (PMHU), bermula daripada bayaran sehinggalah menghadiri ceramah sebelum menduduki ujian komputer.



Daftar Lesen Memandu Kereta

Untuk pengetahuan korang, aku mengambil lesen kereta automatik atau lesen kelas DA. Aku pilih lesen auto sebab tak nak serabut nak belajar kereta manual. Umur pun dah berapa baru nak ambil lesen, so aku ambil ja mana yang lebih memudahkan aku. Cuma lesen auto ini sedikit mahal berbanding manual.

Sekiranya korang ambil lesen di PMHU, korang hanya perlu mendaftar di kaunter. Hanya sediakan kad pengenalan dan tunggu nama dipanggil. Aku sendiri mendaftar pada hari ceramah.

Semasa pendaftaran, pihak PMHU juga akan menentukan tutor yang akan mengajar korang sepanjang latihan di litar nanti. Kalau korang sudah mengenali mana-mana tenaga pengajar di sana, bolehlah bertanya sama ada boleh memilih atau meminta tutor tersebut.

Bayaran Lesen Memandu di PMHU Kudat

Sebelum memulakan proses belajar memandu, perkara pertama yang perlu diambil kira mestilah kos untuk mendapatkan lesen.

Di bawah ini aku senaraikan harga pakej lesen D manual dan DA automatik berdasarkan senarai harga yang dipaparkan di PMHU.

Perkara Kelas D Manual (RM) Kelas DA Automatik (RM)
KPP01 - Teori & Undang-undang 300.00 300.00
KPP02 - Amali di Litar (5.5 jam) 300.00 400.00
KPP03 - Amali di Jalan Raya (10 jam) 500.00 550.00
QTI & Ujian 400.00 450.00
Jumlah Keseluruhan 1,500.00 1,700.00

Nota: Harga di atas berdasarkan senarai harga yang dipaparkan di PMHU. Jumlah sebenar yang dibayar mungkin berbeza bergantung pada pakej dan caj tambahan yang dikenakan.

Bagi korang yang tinggal di sekitar Kudat dan sedang merancang untuk mengambil lesen memandu, bolehlah mendapatkan maklumat daripada pihak pusat memandu tentang proses pendaftaran, jadual pembelajaran dan bayaran yang dikenakan.



Pengalaman Mengikuti Ceramah Teori & Undang-Undang (KPP01)

Pada 13 September 2026, aku menghadiri ceramah sebagai salah satu langkah awal untuk mendapatkan lesen memandu.

Satu perkara yang korang perlu ambil perhatian ialah pemakaian. Pastikan korang berpakaian kemas dan memakai kasut semasa menghadiri ceramah. Sebaiknya, semak juga arahan pemakaian daripada pihak pusat memandu sebelum hadir supaya tidak timbul masalah pada hari tersebut.

Sebelum ini, aku fikir ceramah memandu mungkin sekadar sesi penerangan tentang peraturan jalan raya. Namun, selepas mengikutinya sendiri, aku rasa penerangan yang diberikan lebih mudah difahami berbanding membaca buku.

Untuk makluman korang, pihak PMHU tidak memberikan buku panduan kepada calon memandu. Jadi, korang perlu memberikan perhatian semasa ceramah untuk memahami perkara yang diterangkan.

Sepanjang ceramah, penceramah berkongsi pelbagai perkara berkaitan pemanduan, termasuk beberapa tips untuk menjawab ujian dan contoh soalan yang sering ditanya. Bagi aku, bahagian ini memang membantu kerana kita mendapat sedikit gambaran tentang perkara yang perlu dipelajari sebelum menduduki ujian.

Secara keseluruhannya, aku rasa sesi ceramah ini bermanfaat, terutamanya bagi mereka yang baru hendak belajar memandu. Penerangan secara langsung memudahkan aku memahami perkara yang disampaikan.

Selepas selesai mengikuti ceramah, pihak PMHU menetapkan tarikh untuk menduduki ujian komputer.



Tarikh Ujian Komputer (Ujian Teori KPP01)

Selepas selesai mengikuti ceramah, pihak Pusat Memandu Hasil Utara menetapkan tarikh untuk aku menduduki ujian komputer pada 17 September 2026, iaitu empat hari selepas menghadiri ceramah.

Ujian Teori KPP01 merupakan salah satu peringkat yang perlu dilalui dalam proses mendapatkan lesen memandu. Pada peringkat ini, pengetahuan tentang peraturan jalan raya dan perkara berkaitan pemanduan sangat penting.

Aku rasa elok untuk memberikan perhatian semasa ceramah dan membuat ulang kaji sebelum tarikh ujian. Jangan hanya berharap untuk mengingati semua perkara yang didengar semasa ceramah.

Setiap orang mempunyai sebab dan perjalanan tersendiri sebelum membuat keputusan untuk mengambil lesen memandu.

Ada yang mengambil lesen sebaik sahaja cukup umur, manakala ada juga yang menangguhkannya atas sebab tertentu. Apa pun alasannya, belajar memandu memerlukan kesediaan untuk menerima ilmu baharu dan keberanian untuk mencuba.

Bagi aku, pengalaman mengambil lesen memandu ini merupakan satu perjalanan yang perlu dilalui langkah demi langkah.

InsyaAllah, aku akan kongsikan pengalaman seterusnya apabila menjalani latihan memandu. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk korang yang sedang merancang untuk mengambil lesen kereta, khususnya di sekitar Kudat, Sabah.

Doakan semoga urusan aku belajar memandu dipermudahkan dan semuanya berjalan dengan lancar. Aamiin.

0 comments