Rutin Briskwalk Sepanjang Ramadan, Berat Turun 3KG



Salam Ramadan 🌙

Lama blog ni senyap kan. Dekat seminggu juga tak berblog. Banyak sebenarnya nak kongsi cerita… cumanya tak menyempat nak menulis. Ini pun ambil sedikit masa untuk buka blog dan update sikit. Tak lama lagi pun dah nak raya.

Awal bulan hari tu, selepas beli kereta, kami urus puspakom. Kereta di hantar ke Rengit saja untuk urusan puspakom di Batu Pahat. Memandangkan husband sibuk kerja, jadi memang tak ada masa nak urus semua tu.

Jadi kami minta orang tolong uruskan sekali semua – buat puspakom, roadtax, insurans dan juga tukar nama. Senang sikit bila ada orang yang biasa buat urusan macam ni.

Alhamdulillah semuanya selesai dengan baik. Dah selesai bab kereta, aku banyak habiskan masa belajar memandu. Nanti aku cerita pengalaman belajar memandu tu dalam entri lain.

Sepanjang Ramadan ni pula, sejak dah boleh bawa kereta pusing sekitar Pontian, aku mula ada rutin harian baru iaitu briskwalk setiap pagi.



Sebenarnya sebelum ada kereta lagi aku memang dah lama rancang. Dalam hati selalu fikir, kalau satu hari nanti dah pandai driving dan ada kereta sendiri, aku nak mula rutin briskwalk atau jogging waktu pagi.

Alhamdulillah sekarang dah boleh buat sikit demi sikit.

Tambahan pula sekarang bulan puasa. Waktu pagi memang sangat sesuai untuk briskwalk. Lepas Subuh, udara masih segar dan jalan pun belum sibuk. Rasa badan tu ringan saja bila berjalan waktu pagi macam ni.



Sepanjang bulan Mac ni, rasanya dekat 8 kali juga aku keluar berjalan selepas Subuh. Taklah setiap hari, tapi aku cuba juga konsisten bila ada kesempatan.

Biasanya aku akan briskwalk sekitar 20 hingga 40 minit. Kadang dapat lebih sikit, kadang kurang sikit. Ikut keadaan juga. Yang penting aku keluar dan bergerak.

Untuk rekodkan aktiviti, aku guna aplikasi Strava. Senang juga guna apps ni sebab boleh nampak jarak, masa berjalan dan pace kita. Bila tengok balik rekod tu rasa seronok juga sebab nampak progress dari hari ke hari.

Cumanya apps Strava nie macam tak betul bab steps. Semakin lama berjalan, semakin kurang pula langkahnya. Pelik...



Dulu sebenarnya aku ada jam sukan untuk track aktiviti, tapi sekarang dah tak tahu letak dekat mana. Jadi buat sementara ni guna apps dalam telefon saja dulu. Kadang-kadang tak sedar pun dah berjalan hampir 4 kilometer.

Balik saja dari briskwalk, aku akan mandi dulu. Lepas tu kadang-kadang buat sedikit kerja rumah yang mana sempat. Tapi biasanya tak lama pun sebab sekitar jam 10 pagi mata dah mula mengantuk.

Jadi aku ambil peluang untuk tidur sekejap. Bila bangun tengah hari, terus bersiap untuk solat Zohor.



Waktu petang pula lebih banyak masa digunakan untuk buat kerja-kerja rumah dan sediakan menu untuk iftar. Kadang-kadang menu berbuka pun ringkas saja. Ada hari cuma berbuka dengan kurma, buah dan air kosong saja pun dah cukup.

Alhamdulillah, sepanjang buat rutin briskwalk ni ada juga perubahan yang aku rasa. Paling ketara bila berat badan turun sekitar 3kg. Selain tu, waktu malam pun lebih senang tidur sebab badan dah penat dengan aktiviti pagi tadi.

Alhamdulillah..Syukur sangat sebab dapat mulakan rutin yang lebih sihat sepanjang Ramadan ni. Harapnya lepas raya nanti masih boleh teruskan rutin briskwalk ni. Sedikit demi sedikit pun tak apa, yang penting konsisten.

Sekarang kita sudah masuk ke 10 Ramadan terakhir. Semoga kita semua diberi kesempatan untuk memperbanyakkan ibadah dan memanfaatkan hari-hari terakhir Ramadan ini sebaik mungkin.

Moga setiap amalan yang kita lakukan diterima oleh Allah. Sama-sama kita cari keberkatan malam-malam terakhir Ramadan dan semoga dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar.

Semoga Ramadan kali ini memberi banyak kebaikan, kesihatan dan perubahan yang lebih baik dalam diri kita.


0 comments