Bukan kerana tiada kata,
tapi kerana terlalu banyak rasa
yang tak mampu aku terjemah
dalam baris-baris aksara.
Aku berehat seketika.
Menjauh bukan kerana jemu,
tapi kerana aku ingin mendengar
suara hati yang semakin tenggelam
dalam hiruk-pikuk dunia sendiri.
Mengapa aku memilih untuk ‘padam’?
Barangkali… kerana terlalu sayang.
Sayang untuk melepaskan
segala yang pernah ku tulis dengan jiwa.
Tapi cinta yang terlalu lama pun,
perlu dilepaskan agar tidak menjadi beban.
Aku mahu bebas —
dari dunia tulisan yang terlalu sempurna,
yang terkadang mengikat jari dan rasa.
Aku rindu…
Bukan pada pembaca,
tapi pada diriku yang pernah menulis tanpa ragu,
tanpa perlu menjadi sesiapa pun.
Aku rindu menulis dari hati,
bukan untuk disukai, bukan untuk dipuji.
Cuma mahu jujur.
Dengan diri sendiri.
Aku tidak tahu arah mana harus ku tuju.
Adakah aku akan kembali bercerita tentang anime,
yang dulu menjadi pelarian indah dari realiti?
Atau kisah rumah tanggaku —
yang penuh warna, sedikit sekali kelabu?
Mungkin kisah keluargaku,
yang perlahan-lahan mengajar aku erti sabar dan syukur?
Atau harus aku pungut kembali helaian buku
yang telah lama aku tinggalkan?
Atau…
biarlah aku menulis tentang hari-hari biasa —
cerita klise yang seringkali dilupakan,
namun paling banyak mengajar kita erti hidup.
Aku tak pasti.
Tapi hari ini,
aku kembali.
Dan untuk aku —
itu sudah cukup
— siinuruldotcom
Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.