Memaparkan catatan dengan label Personal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Personal. Papar semua catatan

Pemimpin Berjiwa Rakyat

Assalaumualaikum
Bismillah

Alhamdulillah 'ala kulli hal. Terharu sebenarnya melihat rakyat dibawah bayu berkongsi video Program Kembara Kenali Borneo di Tiktok dan Instagram.

Sepanjang hidup tidak pernah lagi lihat mana-mana YDPA datang ke Sabah. Rakyat jelata sanggup menunggu ketibaan YDPA berjam-jam semata-mata nak berjumpa dan bersalaman. 


Meriah sungguh sambutan daripada orang-orang Tawau. Kalau aku dekat Sabah confirm mahu datang juga. Even mak sendiri kata kalau lalu berdekatan rumah, nak juga tengok Agong lalu. 

Hari ke-4 barulah Agong berangkat ke Kota Kinabalu. Tak sabar nak tengok kemeriahan di KK pula macam mana. 


Kalau korang tengok kat Tiktok, Tuanku siap menyanyi lagi di Majlis Santapan & Pelancaran Kembara Borneo. 

Bukan itu sahaja, Tuanku juga memandu sendiri dari Airport ke Tawau supaya dapat beramah-mesra dengan rakyat. Sungguh pemimpin berjiwa rakyat dan disenangi seluruh rakyat Malaysia. 



Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar kenangan sebelum memulakan perjalanan Kembara Kenali Borneo di Bulatan 0KM Padang Perbandaran Tawau. 


Sejujurnya penat melihat pemimpin dan isu-isu politik di Sabah. Dengan keadaan pembangunan Sabah seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air yang tidak tahu bila mahu selesai. 

Tagline 'Sabah Maju Jaya' cuma propaganda sahaja. 


Oleh sebab itulah rakyat Sabah sangat bersyukur kerana Baginda menyatakan hasrat untuk datang dan menjelajah sendiri ke Sabah dan Sarawak. 

Rakyat berharap supaya baginda dapat melihat sendiri betapa korupsinya pemimpin dan pegawai yang diberi amanah tetapi tidak menjalankan amanah yang diberikan.

Dan hikmahnya lihatlah sekarang, jalan raya yang ibarat di bulan terus diperbaiki (bukan ditampal-tampal lagi). Mungkin tidak semua tempat, tetapi boleh nampak sendiri betapa paniknya orang atasan dan betapa cekapnya pengurusan (tiba-tiba) yang selama ini hanya duduk berdiam sahaja. 

Ada yang kata hidup 73 tahun baru dapat merasa jalan raya yang bagus. Boleh bayangkan tak kesengsaraan rakyat macam mana? Sampaikan ada yang mengadu kepada YDPA mengenai keadaan jalan raya yang sangat teruk.

Hal ini kerana berbakul-bakul aduan masyarakat Sabah tidak diendahkan oleh kerajaan dan menteri walaupun perkara tersebut adalah tanggungjawab mereka.

Sepatutnya pemimpin seperti ini berasa malu kerana diberi amanah dan tanggungjawab malah gaji juga hasil daripada cukai rakyat tetapi gagal memikul amanah tersebut. Aku tak nak mention pun siapa kerana dari dulu tidak kira kerajaan atau pembangkang semuanya makan dan masuk poket sendiri. 

Kesimpulannya di sebabkan oleh YDP agong mau buat tour borneo juga lah terus semua bergerak seiring dan peruntukan fokus pada jalan raya borneo untuk keselesaan dan keselamatan YDP Agong.

Sekian luahan daripada rakyat marhaen. Apapun semoga perjalanan Tuanku dipermudahkan sepanjang di bumi Borneo. Daulat Tuanku. Ampun Tuanku beribu ampun. Sembah patik harap diampun.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-66

Assalamualaikum
Bismillah

Selamat menyambut hari kemerdekaan Malaysia yang ke-66 tahun 2023. Semoga ALLAH SWT limpahkan rahmatNya ke atas tanah air kita.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-66

Sempena hari medeka ini korang ada pergi mana-mana tak? Hari ini aku dan husband just stay kat rumah sahaja. 

Sekarang ini di ada Festival Jong Antarabangsa Pontian. Beberapa hari ini kat Seaside memang penuh dan sesak dengan pengunjung. 

Kami kurang suka tempat-tempat yang ramai orang. Mungkin esok baru jalan-jalan ke Johor Bahru ambil angin sementara husband cuti. 

Yang tengah dalam perjalanan hati-hati. Terutama sekali yang bawa bayi dan kanak-kanak. Enjoy your holidays! Happy Independence Day!

Menulis Sampai 'Burnout'



Hari ini cuma mahu meluahkan rasa 'burnout'.

Penat sebenarnya. Kadang rindu mahu balik 'Sabah'. Bersyukurlah yang dapat jumpa mak ayah walaupun sebulan sekali.

Kami nak balik setahun sekali belum tentu lagi.

Bila merantau di negeri orang ni, tinggal sorang sebab suami kerja lama di laut. 

Nak keluar, nak ambil angin. Tapi tak dapat pergi mana.

Kalau aku di Sabah, at least nak pergi pantai tak jauh dari rumah. Even naik pengangkutan awam saja pun boleh walaupun tak pandai driving.

Penat..

Menulis Sampai 'Burnout'

Aku tak suka jalan-jalan makan.

Aku tak suka tengok wayang hiburan.

Aku tak suka pergi tempat yang sesak dan ramai orang.

Keluar rumah untuk beli barang belanja. Banyak masa 'me-time' tapi tidak dapat 'healing'.

I want to see nature. 

Nak keluar tiada kawan, ada kawan semuanya duduk berjauhan.

Duduk rumah best tapi duduk sorang tiada teman nak cakap sampai beberapa hari entahlah. Walaupun introvert macam mana sekalipun sometimes you need to talk to someone.

Mujurlah ada kucing, boleh juga bawa gaduh dan sembang.

Ada masa fikiran negatif datang 'kalau ada anak taklah sunyi'. Sedih sebenarnya. 

Setiap hari cuba untuk positifkan diri, menghitung nikmat Allah bagi supaya sentiasa bersyukur. Tetapi terkadang tewas dengan emosi sendiri. 

Suami balik, suamilah yang jadi teman isteri. 

Suami kerja kadang rindu nak spent masa lama. Tetapi aku faham sangat tanggungjawab suami.

Suamilah yang selalu tadah telinga mendengar semua keluhan isteri. 

Jangan tanya aktiviti di rumah buat apa. Kadang sampai dah tiada kerja nak buat apa semuanya dah dibuat. Akhirnya cuma makan, tengok anime, dan tidur. 

Buka blog setiap hari, menulis dan terus menulis. Bulan ogos inilah paling banyak artikel ditulis. 

Akhirnya, menulis sampai 'burnout' dan cuba untuk 'healing' tapi cuma dapat duduk di rumah. 

Rindu suami...

28 Years Old | 23.06.2023

Assalamualaikum
Bismillah

Alhamdulillah 'ala kulli hal. Syukur dengan segala nikmat Allah atas semuanya. Nikmat terbesar kerana masih diberikan kesempatan hidup di muka bumi ini. 

Alhamdulillah kerana Allah masih berikan peluang untuk bersama dengan orang yang tersayang. Alhamdulillah kerana diberikan kesihatan dan rezeki buat diriku serta kedua orang tua, suami dan juga keluarga tersayang. 

happy-birthday-images

Seperti tahun-tahun sebelumnya aku jenis yang tidak menyambut hari ulang tahun kelahiran. Dan aku juga private kan tarikh lahir di facebook. Jadi biasanya memang tiada yang ucap selamat hari lahir melainkan orang yang betul-betul ingat hari jadi aku. Hahaha~

Dan memang tiada seorang pun yang ingat sebenarnya hari kelahiran aku. 

Yang ingat hanyalah suami seorang sahaja. Dan dialah orang pertama yang akan ucap. 

Aku sebenarnya gembira sangat kerana suami sanggup pulang awal untuk spent masa bersama. Tidak pernah minta untuk sambutan hari jadi yang meriah, hadiah, bunga dan kejutan. Cukuplah dapat luangkan bersama.

Hari ini dapat luangkan masa bersama suami seharian, jalan-jalan beli takoyaki dan dating di seaside sambil bercerita (curhat). Sudah cukup 'healing' buat isterinya. 

Dan malam hari jadi ini juga suami turun kerja dah. Aku bersyukur sebab dapat luangkan masa walaupun sekejap. Dan terharu kerana melihat pengorbanan besar suami untuk menafkahi dan memenuhi tanggungjawabnya terhadap keluarga.

Semoga Allah sentiasa melimpahkan rezeki yang berkat, permudahkan urusan dan diberikan kesihatan yang baik buat suami. Aamiin. 

Doaku semoga perkahwinan kami sentiasa dalam rahmat Allah dan kasih sayangNya. 

Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un

 

Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un

Assalamualaikum 

Sahabat dunia akhirat aku baru sahaja kehilangan seorang ayah tercinta. Mohon doakan semoga arwah ayahnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

AL-FATIHAH.

Tahun Kedua Beraya di Johor, Tak Dapat Balik Sabah Lagi

Assalamualaikum
Bismillah

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin! 

Selamat Hari Raya 2023


Tahun ini merupakan tahun kedua beraya di Johor. Raya kali ini sedikit sayu sebab kebanyakkan semuanya balik Sabah. Tinggal kami berdua (dengan husband) sahaja. 

Tahun ini aku tak buat biskut raya. Beli kat Target dan Econsave sahaja. Asal ada bikin makan. Persiapan raya kami cuma sederhana. 

Sedih husband dah lama nak balik raya since PKP lagi. Cuma belum ada rezeki. Kiranya ini tahun ketiga husband tak dapat beraya di Sabah. Aku pun dah 2 kali tak dapat balik sejak kahwin. Beginilah hidup kami sebagai perantauan yang mencari rezeki di negeri orang.

InsyaAllah tahun depan memang dah plan nak balik raya. Doakan kami ya. 

Doakan juga kami semoga tahun ini dikurniakan cahaya mata. 

Selamat Hari Raya! Take care and have a good moments with your beloved one. 


11 Tahun Kehilangan Yang Masih Dirasai

Assalamualaikum
Bismillah

Walaupun 11 tahun sudah berlalu, kehilangan itu seperti baru semalam. Setiap kali bulan Ramadan, hati selalu berasa sayu dengan kehilangan Atok. Atok antara sosok lelaki yang aku paling sayang. Sungguh aku sayang atok kerana Allah Taala.

Kematian itu pasti dan menyakitkan.

Allah pinjamkan atok cuma sebentar sahaja di dunia. Orang yang kita paling sayang tu apabila dah meninggal kita tak jumpa lagi.

Dengar suaranya, wajahnya, atau nasihatnya. Akhlaknya yang baik buat aku selalu merinduinya. Yang tinggal hanya memori kita bersama dia.

Di akhirat nanti belum tentu jumpa. Sedih sebenarnya. Sedih kerana belum tentu lagi tempat aku sama dengan arwah atok.

Wal-ākhiratu khairuw wa abqā


Sesungguhnya kematian adalah sebaik-baik nasihat buat manusia yang masih hidup.

Semoga Allah tempatkan arwah atok dalam kalangan orang yang beriman dan dikurniakan syurga Firdaus buatnya. Aamiin.

Selamat Tahun Baru 2023 | Apa Azam Tahun Ini?

Assalamualaikum
Bismillah

Rasanya masih belum terlambat untuk aku ucapkan 'Selamat Tahun Baru 2023'. Semoga tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya.

Selamat Tahun Baru 2023

Alhamdulillah 'ala kulli hal kerana Allah masih beri kesempatan untuk memperbaiki hidup di zaman yang makin sukar dan penuh dengan onak duri kehidupan.

Apa azam tahun 2023?

1. Fokus dengan diri, suami dan keluarga. 

2. Fokus dengan konten blog.

3. Jaga kesihatan dan pemakanan.

4. Belajar mengaji 

5. Mahu kurus sebab banyak baju dah tak muat. (Penat beli baju baru hahaha)


Kalau dulu akulah paling rajin tulis pasal azam kan. Tahun ni aku rasa nak lebih tenangkan hati dan fikiran. Nak fokus dengan diri sendiri. Nak kurangkan bercakap dan kurangkan main media sosial melainkan hal-hal berkenaan blog.

Hidup cuma nak hati tenang ja. 


Padam Akaun Twitter & LinkedIn

Assalamualaikum
Bismillah

Alhamdulillah akhirnya aku tutup akaun twitter & linkedin. 

Antara sebab aku buat keputusan untuk delete akaun tersebut kerana aku tidak aktif pun. Boleh dikatakan dalam setahun aku hanya buka 2-3 kali sahaja. 

Pada mulanya aku memang nak fokus naikkan personal banding di linkedin. Tetapi sejak aku berkahwin tujuan aku berblog pun dah tak sama macam dulu. Sekarang aku lebih santai dan fokus dengan blog aku yang lain.

Padam Akaun Twitter & LinkedIn

Salah satu cara nak naikkan personal branding adalah dengan membuat banyak akaun media sosial. Sekarang yang popular sudah tentulah instagram dan tiktok. 

Ramai juga dalam kalangan blogger yang mula beralih ke digital creators. 

Kalau macam aku yang lebih cenderung menulis berbanding buat video, aku rasa facebook, blog, telegram dan instagram pun dah cukup buat aku serabut. Mungkin disebabkan lemah dalam pengurusan media sosial kot.

Blog sendiri pun tak terjaga. Menulis pun tidak konsisten haha. 

Lagi pula aku bukannya seorang yang suka ambil tahu apa yang trending di media sosial. Isu semasa yang viral memang bukanlah ke'minat'an aku. Dan aku juga kurang gemar menulis dan memberi ulasan apa yang terjadi terhadap isu-isu semasa sekarang. 

Hal ini demikian kerana aku lebih memilih untuk baca, diam dan fokus dengan apa yang penting dalam kehidupan aku sahaja.

Terlalu banyak info yang berlegar di media sosial buat aku jadi pening dan banyak fikir benda yang tidak sepatutnya difikir. Kadang tak nak ambil tahu. Tetapi banyak sangat kongsi dan semua pun nak cerita benda yang sama. 

Mujurlah facebook dan telegram aku selalu guna untuk perkongsian tentang blog. Kalau ikutkan hati nak delete sahaja semua akaun media sosial hahaha.

Tiada yang penting pun dengan entri kali ni. Just nak sembang santai. 

Blog Bercuti 2 Minggu

Assalamualaikum
Bismillah

Dah lama tak update blog sebab sekarang aku tengah bercuti di Sabah. Alhamdulillah 'ala kulli hal, semuanya dipermudahkan. Dah setahun di Pontian baru ada kesempatan untuk balik kampung halaman.

Banyak sangat nak cerita cuma nak habiskan masa sebaik-baiknya dengan family sebab aku dan suami tak lama pun bercuti di Sabah. 

working on laptop

Memang sibuk sangat sebab kejap di Kota Kinabalu, kejap di Kudat. Biasalah selepas dah kahwin kena banyak ulang-alik dah walaupun family asalnya memang dari Kudat juga. Tetapi disebabkan dah lama menetap di Kota Kinabvalu, memang dah jadi orang KK.

Alhamdulillah syukur sangat kerana Allah permudahkan selanya buat kami. Dapat bercuti dengan family, pergi pantai, buat BBQ, jalan dengan adik-adik. Sebetulnya masih bercuti lagi. 

Tetapi disebabkan rindu dengan blog, nak juga menaip sikit konon. Begitulah ceritanya.

Dikelilingi Orang Yang Baik Adalah Rezeki

Assalamualaikum
Bismillah

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, Yang Maha Baik kepada hambaNya. Aku sangat bersyukur kerana dikelilingi oleh keluarga, sahabat, jiran dan orang-orang yang baik. 

Dikelilingi Orang Yang Baik Adalah Rezeki

Hari ini berlaku peristiwa tiang elektrik hadapan rumah tiba-tiba meletup. Mujurlah tiada kebakaran berlaku. Kejadian berlaku dalam jam 9.30 malam tadi. Suami tiada kat rumah sebab kerja. Mungkin hari Isnin baru balik. 

Apabila duduk sorang kat rumah ni memang cepat panik jugalah. Aku keluar rumah sahaja nampak ramai orang keluar. Semua pun tak nak duduk di rumah. Tak lama lepas tu bomba pun datang. 

Apabila tanya kat jiran katanya kabel elektrik macam ada masalah. Risau saja litar pintas. Masa tu dalam fikiran cuma pegang handphone saja. 

Sebenarnya aku agak trauma dengan kebakaran sebab dulu rumah aku pernah terbakar. Kalau banjir korang boleh sempat lagi packing barang-barang. Tetapi bab api nie memang tak boleh main-main. 

Sambil tunggu ipar dan mertua aku datang rumah, sempat lagi cerita dengan makcik cina sebelah rumah. Aku bagitau aku tinggal seorang sahaja. Baru saja pindah. 

Makcik cina prihatin dan stay dengan aku sebab nampak aku macam takut dan panik. Apabila aku tengok macam ramai dah masuk rumah, makcik tu kata aku okay tak sendiri-sendiri. Aku kata okay. Terharu sebenarnya dengan keprihatinan jiran kat sini.

Jiran sebelah rumah pun tanya kalau aku ada lampu atau lilin. Jarang sebenarnya bercerita dengan jiran sebelah sebab sekali sekala saja terserempak. 

Ada yang aku tengok sampai bawa anak-anak keluar. Ada yang sampai keluar rumah dengan kerusi roda lagi. Yelah kita pun tak tahu kan apa yang jadi. Dengan keadaan yang gelap gelita lagi. Memang kena berwaspada juga.

Alhamdulillah 'ala kulli hal. Semuanya dipermudahkan. Pukul 12.30 AM juga baru ada elektrik. Syukurlah tak perlu bergelap semalaman. Dengan cuaca hujan dan angin tak menentu lagi. Memang risau juga bergelap malam-malam.

Apapun aku bersyukur sangat-sangat kerana dikelilingi oleh orang yang baik. Salah satu bentuk rezeki Allah kepada kita apabila dikelilingi oleh orang yang baik-baik. Apabila kita dalam kesusahan orang sekeliling datang membantu. 

Baginda S.A.W dalam menyeru agar umatnya sentiasa mambantu dan memudahkan urusan orang lain agar dipermudahkan urusan di hari akhirat kelak. Ini seperti hadis daripada Abi Hurairah R.A sabda Nabi S.A.W:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Sesiapa yang melepaskan saudara mukmin daripada kesusahan di dunia maka Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat (Rujuk: 40 Hadis Imam Nawawi: 36)

Sebenarnya rasa nak menangis jugalah sebab terasa sangat jauh dari keluarga. Apapun Allah sentiasa ada dan sentiasa jaga. Alhamdulillah. Allah Yang Maha Baik. Rasa terharu dan bersyukur dengan ipar-ipar, mertua, keluarga dan jiran-jiran yang baik. 

Hanya Allah sahaja yang mampu balas kebaikan mereka. 


Pengalaman Menetap di Pontian, Johor

Assalamualaikum
Bismillah

Hari ini aku nak berkongsi cerita santai sikitlah tentang pengalaman menetap di Pontian, Johor selama hampir setahun. Apa yang aku nak kongsikan di sini ialah perbezaan antara di Pontian dan Sabah dari segi budaya, makanan, persekitaran dan sebagainya. 

Aku tak mention Johor sebab aku belum pernah pergi ke semua daerah di Johor lagi. 

Dari perspektif aku sendiri sebagai orang Sabah yang menetap di Pontian ni memang banyak sangatlah perbezaan. The good and the bad. So, hopefully korang boleh berfikiran terbukalah ya. 

johor

1. Tidak bagi signal kereta

Sorry to say kebanyakkan orang di sini aku tengok tidak menggunakan signal kereta setiap kali nak masuk simpang. 

Di sabah pun memang ada juga yang tidak bagi signal kereta. Tetapi di sini banyak sangat kereta tak bagi signal. 

Setiap kali jalan, setiap kali tu juga aku nampak. Aku tak naklah cakap pasal signal ni sebenarnya cuma memang nampak sangat perbezaan orang di sini apabila berada di jalan raya.

Aku tinggal di kawasan bandar di Kota Kinabalu jadi setiap hari berhadapan dengan kesesakan lalu lintas. Kalau di Sabah memang ada yang tidak bagi signal tetapi boleh dikira lagi. 

Kebanyakkan pengguna jalan raya di sini agak kurang sabar berbanding di Sabah. Lambat sikit kena hon. 

For those yang tidak pernah lagi pergi Sabah, sesak macam mana pun jalan raya tu, lambat 10 saat di trafik light tu jaranglah kena hon oleh orang lain. 

Paling pun orang Sabah maki dalam kereta sahaja. Hahaha~ Tidak kiralah di Johor ataupun Sabah, orang Melayu, Cina India, Dusun ka. Please use your signal. 

2. Cuti Hari Jumaat & Sabtu

Aku sampai sekarang masih binggung lagi dengan hari di sini. Kalau di Sabah cuti weekends setiap hari Sabtu dan Ahad. Memandangkan aku pun just stay di rumah sahaja dan jarang keluar rumah jadi aku tidak terasa sangat juga pun. 

Cuma setiap kali ada urusan tu pandai terlupa juga bab cuti weekends tu. Sampai pejabat sahaja tutup sebab cuti hahaha. 

3. Waktu Solat

Yang nie memang kebanyakkan orang tahu lah memang waktu solat di Sabh dan Johor tak sama. Di pontian waktu solat ada beza sejam. Kalau di Sabah dah masuk Isyak, kat sini baru Maghrib.

Apatah lagi kalau puasa Ramadan memang terasa sangatlah perbezaan waktu. Video call dengan family, dorang dah start sungkai, kami di sini belum lagi berbuka puasa. Hahaha

4. Peluang Pekerjaan

To be honest, peluang pekerjaan di sini lebih banyak berbanding di Sabah. Oleh sebab itulah orang Sabah banyak merantau ke Semenanjung. 

Di Pontian nie aku tengok ramai cashier dalam kalangan lelaki, even Cina dan India pun ada. Kalau korang pergi Sabah, jarang ya nampak cashier lelaki. Ada tapi tidak ramai. Apatah lagi di supermarket memang jaranglah.

Even kedai kasut perempuan pun orang lelaki yang jaga. Memang rasa kecewa jugalah dengan peluang pekerjaan di Sabah.

Jangan cakap soal gajilah, di Sabah ada majikan yang tawarkan gaji RM500 sahaja. Korang boleh bayang tak dengan kos sara hidup di Sabah yang lagi tinggi berbanding di Johor.

5. Kos Sara Hidup

Kos sara hidup di sini jauh lebih rendah berbanding di Sabah. Harga rumah teres boleh dalam sekitar RM500 - RM1000.

Korang carilah di Sabah rumah teres harga macam tu. Memang korang tak jumpa. Paling rendah korang boleh dapat RM900 - RM1800 sebulan. 

Bayangkan gaji rendah, kos sara hidup tinggi. Tidak hairanlah di Sabah ramai yang golongan berpendapatan rendah dan miskin. 

Dan oleh sebab itu juga orang sini ramai yang mampu beli kereta. Jadi bersyukurlah korang bukan tinggal di Sabah. 

Dari segi perbelanjaan pun memang jauh beza. Di semenanjung setiap kali harga naik mesti terasa kan? Bayangkan harga naik tu baru sikit sahaja di bandingkan dengan harga naik di Sabah. 

Kalau di sini harga barang naik RM2-RM5, kalau di sabah 2x ganda lagi dari harga di sini. Bayangkan duit RM300 boleh beli barang 1 troli. 

Bila call Mama, RM650 baru dapat beli barang sampai 1 troli. Itupun barang keperluan asas. Bukan barang sampingan. 

Sedih tau sebenarnya. Semuanya salah pemimpin. Tidak kira kerajaan mahupun pembangkang, sama sahaja. Tiada kemajuan dan perubahan untuk rakyat Sabah.

Rakyat semakin ditindas. Geram tau!

6. Pantai & Sunset

Antara benda yang aku paling rindu sekali ialah pantai dan sunset di Sabah. Di pontian ni tiada pantai. Kalau nak pergi pantai kena pergi Desaru atau Mersing. Aku dah pernah pergi Desaru juga memang lawa juga. 

Bukan tak boleh pergi, cuma tiada masa nak pergi. Dan perlukan bajet juga. Hahaha

Kalau di Kota Kinabalu, korang nak pergi Tanjung Lipat atau Tanjung Aru setiap hari pun tiada masalah. Tak perlu bermalam di hotel atau homestay. 

Dari segi keindahan alam, tidak dapat menandingi Sabah lagi lah. Just my opinion.

7. Pisang Goreng & Martabak

Memang banyak makanan yang sedap di Pontian. Tetapi lagi sedap kalau ada pisang goreng dan martabak. Hahaha

Pisang goreng di Pontian tak sama dengan pisang goreng di Sabah. Apa yang aku maksudkan di sini ialah cara goreng tu tak sama. 

Nak beli pisang saba pun susah huhu. Terpaksa tunggu lelong setiap hari Isnin & Jumaat baru dapat beli pisang saba.

Martabak di Pontian pun tak sama. Jadi susahlah nak cari makanan yang diidamkan setiap kali rindu kampung halaman haha. 


Rasanya itulah pengalaman yang aku dapat kongsikan selama hampir setahun aku menetap di Pontian. Don't get me wrong, I really love Pontian! Apa yang aku kongsikan di sini cuma perspektif aku sebagai seorang perantau yang menetap di Negeri orang. 

Mungkin ada yang berasa kurang senang dengan apa yang aku tulis. Korang just ambil yang positif sahaja okay.

At least korang boleh tahu apa yang orang lain fikir tentang Negeri mereka kan?

Tetap Anak Mak Walaupun Dah Bergelar Isteri

Assalamualaikum
Bismillah

Dah nak hampir setahun berumah tangga dan bergelar isteri. Memang banyak sangat perubahan setelah menjadi seorang isteri. Dulu bujang nampak mak yang urus keperluan rumah dan sebagainya. Apabila dah bergelar isteri apa yang mak buat dulu itulah yang aku buat sekarang.

Tetap Anak Mak Walaupun Dah Bergelar Isteri

Bila fikirkan kami 8 orang adik-beradik betapa kuatnya mak dan banyak sangat pengorbanan yang mak buat untuk kami semua. Begitu juga dengan pengorbanan ayah. Pengorbanan ayah yang betul-betul merasainya sudah tentulah suami. 

Selain itu, aku juga menantu kepada mertua. Memang tak sama didikan ibu kita sendiri dengan ibu mertua kita. Jadi sudah tentunya didikan suami juga berbeza. Cara suami pun berbeza. 

27 tahun hidup dengan keluarga. 27 tahun suami hidup dengan keluarganya. Sekali berkahwin dan tinggal serumah. Usia perkahwinan tak sampai setahun memang tak boleh expect suami isteri terus adapt dengan perubahan.

Alhamdulillah syukur sangat sebab mak mertua sangat memahami, penyayang dan layan menantu ibarat anaknya juga. Walaupun kami suami isteri berjauhan dengan keluarga tetapi kami sentiasa menghubungi mereka.

Itulah ibu - tetap anak mak walaupun dah bergelar isteri.

Siang malam tanya khabar anak sihat atau tidak. Dah makan atau belum. Cuaca okay atau tidak. Selalu kirim pesan selalu jangan kuat tidur haha. 

Bukan aku saja. 

Mak mertua juga sama, selalu bertanya khabar suami. Kerja suami okay atau tidak. Dah makan atau belum. Tetap anak mak juga walaupun dah pegang gelaran suami.

Betapa indahnya ikatan keluarga tu kan.

Saja nak cerita santai. Baru saja chat dengan mak.


Membakar Hobi & Minat Ibarat Membakar Bakat Yang Ada

Assalamualaikum
Bismillah

Aku tak nak ulas berkenaan cerita viral. Apa yang aku nak kongsikan ialah setiap orang mempunyai hobi masing-masing. 

Mempunyai hobi merupakan suatu perkara yang baik cuma jangan sampai memudaratkan diri sendiri dan orang lain. 

Aku percaya setiap orang mempunyai minat masing-masing. Aku sendiri sejak dari kecil sudah mempunyai hobi menulis. 

hobi dan minat

Dan antara kesukaan orang yang minat menulis ini dia cenderung untuk simpan koleksi seperti :
  • Peralatan menulis - Pen, warna, highliter, pembaris, pensel dll
  • Buku - Kertas warna, buku nota, buku ring, buku cover keras dll.
  • Stickers - Pelbagai jenis stickers jurnal 
  • Washi tape
  • Gunting, gam, double side tape, selotape
  • Desk organizer - 
  • Rak-rak buku
  • Lampu perhiasan 
  • Aksesori laptop
Sebenarnya ada banyak lagi yang hanya orang yang betul-betul minat menulis sahaja tahu. Nampak barang tu tak banyak mana pun. 

Sekecil-kecil barang RM2 kalau dibeli 1 plastik memang makan puluhan ringgit juga. Malah ada yang sampai ratusan ringgit.

Cuma yang mak aku tak suka tu, aku suka sepahkan barang dengan kertas sampah. Selepas menulis dan hias buku nota aku tak kemas. Part ini aku memang kena bebel habislah. 

Seiring dengan peningkatan usia hobi dan minat ini boleh berubah.
 
Aku dulu memang minat menulis cuma mampu beli buku nota sahaja. TETAPI SEBAB HOBI & MINAT, aku sanggup kumpul duit beli peralatan untuk menulis.

Bulan ni beli kertas warna, bulan depan beli pen warna walaupun pen aku dah banyak. Hahaha~

Nak sesuatu tetapi tak mampu nak beli pada ketika itu sebab masih sekolah. Duit belanja pun minta ibu bapa. Nak guna duit ibu bapa pun kadang berfikir kali-kali sebab sebagai anak pun faham, ibu bapa dah susah kerja untuk kita. 

Sekarang kerja pun berdasarkan minat juga. Dah boleh beli laptop, meja, alat aksesori dan peralatan menulis sendiri. 

Selain minat menulis, aku juga suka menonton Anime. Disebabkan kami adik beradik minat anime, di rumah ada koleksi 6 hardisk. 

Tetapi hobi atau minat sesuatu perkara yang kita tak boleh nak halang. 

Adakah menggunakan cara yang HALAL atau HARAM untuk memenuhi keinginan kita?

Apabila sesuatu perkara yang kita minat dan mahukan tu kita tak dapat. Kita pasti akan cuba cara lain untuk dapatkan apa yang kita mahu.

Dan di sinilah yang kita perlu ambil perhatian! 

Cara Yang Haram

Untuk mendapatkan apa yang diinginkan, boleh jadi kita mencuri barang orang lain.

Nampak macam mudah kan? Tetapi ianya benar-benar berlaku. Sebagai contoh, di sekolah pada ketika itu 'trend' semua minat Anime. 

Semua orang ada koleksi barang anime. Nanti akan ada sifat cemburu dan iri hati antara kawan-kawan sebaya. Hal ini demikian kerana tidak semua orang mampu miliki apa yang orang lain ada.

Sama-sama pun minat juga, tetapi tak mampu. Akhirnya sebab nak dapatkan apa yang diinginkan sampai mencuri barang orang lain.

Kalau tak curi barang kawan, mungkin mencuri duit ibu bapa sendiri. Kita tak tahu apa yang anak-anak kita fikir tau.

Sekali mencuri kalau tak tertangkap, ia akan jadi terbiasa untuk mencuri kali kedua.. ketiga dan seterusnya..

Cara Yang Halal

Bagi sokongan dan dorongan dengan bersyarat

Apabila anak minat sesuatu tak salah untuk bagi sokongan dan dorongan dengan apa yang mereka minat cuma dengan bersyarat. 

Sebagai contoh, kalau exam nanti dapat result lebih baik dari sebelum nie. Naikkan duit belanja. 

Ataupun apa yang anak kita tak suka buat, kita bagi reward dengan hadiahkan apa yang mereka suka. 

Sebagai contoh, kita hadiahkan 'meja belajar' kalau anak hafal 1 juz Quran. Kita hadiahkan 'Buku Kitab' kalau anak dapat puasa penuh Ramadan.

Kalau anak minat kumpul koleksi kpop, poster dan sebagainya. Tak salah yang penting kita sendiri pantau minat anak. Sentiasa ingatkan anak untuk solat 5 waktu, jaga aurat, dan jangan taksub. 

Aku faham ada sesetengah ibu bapa tak mampu nak penuhi keinginan anak. Aku sendiri datang daripada keluarga yang susah. Apa yang aku mahu beli aku cuba untuk usaha seperti kerja part-time, jual keropok, buat kerja freelance.

Kalau ada kemahiran tertentu seperti menjahit, memasak, servis kereta, servis laptop boleh jadikan kemahiran tersebut untuk jana pendapatan.

Membakar Hobi Ibarat Membakar Bakat Yang Ada

Bagi aku membakar hobi ibarat membakar bakat yang ada. Waktu remaja kita suka mencuba banyak benda, terikut dengan trend, dan rasa tak nak ketinggalan. 

Pada waktu ini kebanyakkan remaja sedang mencari hala tuju mereka. Siapa diri mereka? Jadi jiwa remaja mudah untuk terpengaruh dengan keadaan sekeliling. 

'Perasaan suka mencuba' yang membuak-buak.

Kalau tidak dipantau dan didorong minat mereka ke arah sesuatu yang lebih baik, kemungkinan besar untuk terjebak ke arah sesuatu yang tak baik.

Zaman kita tak sama dengan zaman anak-anak kita sekarang. 

Daripada hobi dan minat itu kita boleh lihat sendiri potensi atau bakat yang mereka ada. 

Aku ada 8 orang adik-beradik, semua mempunyai minat yang berbeza. 

Adik lelaki aku mempunyai hobi dan minat sebagai photographer & videographer. Dan hobi dia nie memang antara hobi yang mahal antara kami semua. Nak beli camera bukan murah! Beli kamera pun dengan duit biasiswa. 

Ibu bapa tak halang cuma tak mampu nak support minat adik sebab nak beli aksesori kamera dia pun boleh habis duit gaji. 

Aku memang selalu bagi dorongan dan sokongan dengan apa yang adik aku suka. Aku selalu kata minat dia boleh jana pendapatan pada masa akan datang kalau dia betul-betul ada passion dengan apa yang dia minat. 

Adik aku seorang pula suka memasak, melukis dan buat jurnal.

Disebabkan adik aku baru Tingkatan 2, jadi kebanyakkan peralatan berkenaan hobi aku yang belikan. Pada masa lapang, memang kerja dia buat jurnal dan melukis. Selain itu, dia juga suka buat aksesori seperti keychain. 

Malah, ada beberapa keychain yang adik aku jual sebab ramai permintaan dari kawan-kawan dia. 

Adik aku lelaki yang dah bekerja pula suka main game. Aku tak tahu sangat pasal game Mobile Legend. Tidak dinafikan kalau adik aku main game kadang sampai tak ingat makan. 

Tetapi sebagai kakak juga aku selalu ingatkan adik-adik aku apapun yang dorang suka dan minat tiada halangan yang penting jaga kesihatan dan jangan buat ibu bapa risau. 

Apabila minat yang melibatkan duit (contohnya bayar domain blog, beli aksesori kamera, beli diamond dan sebagainya) apa yang penting sekali pastikan ada kerja sendiri. Kalau tak mampu untuk beli, beli apa yang mampu sahaja dulu. 

Kalau ibu bapa support apa yang kita minat tu bersyukurlah dan jagalah hati orang tua kita. 

Benda yang orang nampak remeh ni jangan buat main tau. Kalau orang tegur minat atau hobi kita pun bukan main kita sakit hati kan.

Apapun yang kita buat dan minat, ingatlah peranan dan tanggungjawab kita sendiri sebagai anak, ibu bapa, suami, dan isteri. 

Apapun masing-masing punya minat kan. Kalau tak suka, nasihat dengan cara berhikmah.

Sekadar perkongsian pendapat. Lain orang lain caranya kan.



Hati-Hati Dengan Lisan & Tulisan Kita

Assalamualaikum
Bismillah

Dulu sebelum kahwin, aku tidak terfikir pun soalan-soalan macam nie begitu sensitif sampailah aku rumahtangga. 

"Bila nak ada anak?"

"Dah lama kahwin, harap cepat-cepatlah dapat anak.."

"Anak aku dah dua orang, kau bila lagi nak ada anak. Nanti dah umur 30an nak bersalin pun susah".

Aku tak kisah sangat dengan persoalan dan pertanyaan macam nie. Tetapi ada yang aku baca kat komen suami isteri bergaduh sebab soalan-soalan macam ni. 

Bayangkan rumahtangga orang tu bahagia saja, tetapi dengan soalan-soalan kita telah menyebabkan pasangan suami isteri mungkin bergaduh. 

Hati-Hati Dengan Lisan & Tulisan Kita

Itu belum lagi dengan soalan-soalan. 

"Anak aku dapat 10A dan jadi pelajar cemerlang peringkat kebangsaan. Anak kau dapat berapa A?".

"Aku dah ada 10 orang cucu, kau bila lagi nak ada cucu? Jangan-jangan menantu kau mandul"

"Kita jadi isteri ni jangan harap sangat dengan duit suami. Nanti suami curang dengan perempuan lain macam mana?"

"Suami aku baru naik pangkat, kitaorang nak beli rumah banglo. Suami kau dah bertahun kerja, bila nak naik pangkat?"

Walaupun soalan-soalan itu cumalah rekaan semata-mata. Tetapi berlaku di dunia realiti. 

Hati-hati dengan lisan dan tulisan kita

Dalam tak sedar soalan-soalan kita tu telah banyak melukakan hati orang lain. 

Kalau tengok kat facebook, instagram, dan mana-mana laman sosial media ramai sangat yang membanding-bandingkan kehidupan rumahtangga masing-masing.

Dan semakin hari semakin ramai juga yang galak berkongsi aib dan kekurangan pasangan masing-masing. 

Dulu kalau nak sembang bergosip, kena jumpa orang dan bersembang. Tetapi kadang nak bercakap atau bergosip pun kita masih berhati-hati dalam berkata. Risau orang terasa hati dengan lisan kita.

Tetapi sekarang, nak bersembang dengan jari pun boleh. Nak tabur fitnah dan aib senang sahaja. Dalam bilik pun dah boleh buat. Dari bangun tidur sampailah nak tidur kita kumpul dosa jariah. 

Di tambah pula dengan butang "share" dan penambah rasa "caption" yang mengundang orang lain untuk turut serta mengumpat dan bergosip. 

Dan paling menyedihkan apabila kita sendiri membuka ruang untuk orang bercerita tentang aib dan keburukan diri kita. 

Buat video, kongsi video. 
Tak pun kongsi video orang lain.

Allah dah tutup rapat-rapat aib kita. Tetapi kita pamerkan dengan orang. 

Sebutlah apa sahaja isu, terlalu banyak halaman yang melaga-lagakan umat dengan isu-isu remeh sehingga pengunjung (yang membaca) memberi komen dengan bahasa yang tidak enak dibaca dan didengar. 

Terasa sesak nafas di dada apabila terpaksa berhadapan dengan semua penyakit ini.

Aku bukanlah seorang yang baik. Apatah lagi menganggap diri lebih baik. 
Aku cuma tak tahu macam mana nak suarakan kerisauan aku tentang perkara-perkara yang tidak menyenangkan yang hari-hari berlaku di depan mata aku. 

Allah bagi kita nikmat tangan untuk buat perkara-perkara kebaikan. 
Allah bagi kita nikmat lisan untuk selalu berzikir dan berkata baik. Dan seandainya tidak mampu, lebih baik diam.

"Kalau tidak boleh hadap semua tu delete lah media sosial kau"

"Suka hati akulah, facebook aku, blog aku".

Sahabat yang aku kasihi sekalian, mungkin apa yang aku tulis ini tidak dapat diterima atau ramai yang tidak bersetuju. 

Suatu hari nanti, mungkin aku sendiri terbabas dengan lisan dan kata-kata aku. Tetapi aku percaya, andai ada yang menegur itu kerana Allah nak bagi peringatan kepada aku. 

Sebenarnya bukan sekali. Dah banyak kali juga aku terlepas kata mahupun terkasar bahasa. 

Lisan kita nie banyak mengundang penyesalan di kemudian hari. Kadang kala mampu menuturkan dengan lurus dan teratur tetapi sering kali juga terbabas. 

Terpesong sana sini, malah disengajakan dan dinormalisasikan dengan cacian, makian, lagha, mengumpat dan fitnah. 

Bahaya lisan bukan lagi pada lisan (mulut) yang berkata-kata. Tetapi tangan yang mengambil alih perbuatan lisan. Kini yang liar itu adalah tangan.

Mudahkah untuk diam? Susah kawan-kawan!

Mudahkah untuk diam sekiranya kita ada pendapat dan tidak menyatakannya? Rasa seperti dada itu hendak meletup, membuak-buak mahu bercakap. 

Ia bukan lagi pertarungan antara diam dan berkata-kata. Kini, ia pertarungan antara tidak menulis dengan menulis. 

Kata-kata ibarat sebilah pisau. Apabila terlanjur berkata sehingga menguris hati seseorang. Percayalah, orang tu mungkin mudah memaafkan. Tetapi mereka tidak akan mudah melupakan. 

Sekali lagi, hati-hati dengan lisan dan tulisan kita. 

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya~


27 Years Old | 23.06.2022

Assalamualaikum
Bismillah

Alhamdulillah 'ala kulli hal. 

Syukur dengan nikmat Allah masih diberikan nafas untuk hidup selama 27 tahun.
Semakin meningkat umur, semakin dekat dengan kematian. 

Satu persatu hikmah Allah tunjukkan. 
Satu persatu doa Allah kabulkan.

Terima kasih yang selalu mendoakan.
Semoga doa-doa kalian juga dikabulkan Allah.

27 Years Old | 23.06.2022

Kembali Kepada Tujuan Menulis

Assalamualaikum
Bismillah

Hari ini.. malam yang sunyi ini.. Aku banyak menata kembali niat aku berblog. Semakin hari semakin berada di zon selesa membuatkan aku semakin risau. Aku rasa aku jadi semakin malas. Dan perasaan ini sebenarnya sangatlah menyebalkan.

Kembali Kepada Tujuan Menulis

Aku mahu kembali menulis seperti dulu. Rindu dengan perasaan menulis yang dulu. Dan akhirnya aku kembali kepada tujuan menulis. 

Aku baca balik entri pertama blog.

'I will always remind myself to write something that useful to others'.

'The main reason why I choose to write in blog is because I just love to share anything to people'.

'It calm me. Blogging makes me so happy'.

Ya... Menulis blog suatu yang menyenangkan buat aku. Oleh sebab itulah apabila terlalu lama tidak menulis rasa ada yang tidak lengkap. 

Blogging isn't about writing. Tetapi ladang pahala. 

Setiap hari memikirkan apa yang aku buat hari ini untuk bekalan diri. Apa yang akan jadi apabila aku sudah tiada. Adakah hari esok masih ada buat aku? 


Tak Dapat Balik Sabah, Beraya di Johor Saja

Assalamualaikum
Bismillah

Selamat Hari Raya Aidilfitri semua. Maaf Zahir dan Batin. Masih belum lagi terlambat bah kan nak bagi ucapan raya. Raya tahun ini cukup berbeza sekali buat aku. 

Raya tahun ini banyak sekali kejutan kan. Persiapan pun tiada. Sedar tak sedar tiba-tiba Ramadan dah berlalu. Sedih sebenarnya, Ramadan pergi tanpa sempat nak kata 'Selamat Tinggal'. Entah bila kita dapat jumpa Ramadan lagi. 

johor
Image : johorkini.my

Tahun ini memang tidak banyak buat persiapan untuk Hari Raya. Aku ada jugalah buat biskut raya sedikit dan masak rendang. Walaupun sambutan raya kali ini tidak meriah sebab jauh dari keluarga, raya tetap raya kan.

1. Beraya di Pontian, Johor

Pertama kali aku beraya di Johor. Tak tahu nak kata apa. Sebenarnya gembira dan dalam masa yang sama sedih juga. Rindu mahu makan ketupat yang mak buat. Nak tahu suasana beraya dengan keluarga husband macam mana. I mean, raya kali ini semuanya first time buat aku sejak aku berkahwin. 

Paling sedih tu bila buat biskut raya. Selalu boleh minta tolong adik bantu buatkan ataupun jalan beli baju raya sama-sama. Memang terasa sebenarnya raya kali ini berjauhan dengan family. Cuma tak nak cakap banyak sangat. 

Syukurlah ada suami di sisi. Tak terasa juga sunyi masa raya ni. 

2. Sambutan Raya Yang Sederhana

Raya tahun ini memang buat simple saja. Malam sebelum hari raya memang panik juga mencari ayam dan daging. Syukurlah ada juga rezeki dapat beli daging. Ayam memang habis. Haha~ Tak sempat nak beli ayam. 

Pertama kali sebenarnya masak rendang tanpa ada mak. Selalu tengok mak masak. Naa kali ni masak sendiri. Entah sedap atau tak. Biskut raya pun semuanya buat sendiri. Asal ada bikin makan-makan.

Rindu mahu makan ketupat tapi tak pandai anyam huhu. Jadi masak nasi impit saja. Perasaan untuk Raya kali ini sangat special kerana pertama kali beraya dengan suami. Alhamdulillah rezeki sempat juga beli baju raya sedondon. 

Memang lain lah beraya dengan keluarga dengan beraya berdua bersama suami. Apapun syukur sangat-sangat Allah berikan kesempatan untuk merasa semua nikmat ini.

3. Short Trips Aidilfitri

Memandangkan tak dapat balik Sabah. Maka kami pun buat Short Trips di Johor dan Melaka. Planning awal nak berjalan-jalan sekitar Johor sahaja. Tapi planning last minute menjadi, dapatlah jenguk ke Melaka Bandar Bersejarah. 

Antara tempat yang kami pergi di Johor :
  • Desaru Beach
  • Pantai Tanjung Balau
  • Euro Fun Park

Manakala, tempat menarik yang kami pergi di Melaka pula :
  • Menara Taming Sari
  • Melaka 3D Street Art
  • Muzium Kapal Selam
  • Masjid Selat Melaka
  • Kota A Famosa
  • Pantai Klebang

InsyaAllah, nanti aku akan update di blog tempat-tempat yang aku dah pergi tu. 

Alhamdulillah, syukur pada Allah atas segalanya. Walaupun tak dapat balik Sabah aku tetap gembira kerana dapat spent masa bersama suami tersayang. Syukur sangat-sangat kerana suami dah banyak berkorban dan bekerja keras untuk rumahtangga kami. 

Semoga Allah sentiasa limpahkan rahmatNya. 

Aku doakan juga semoga kalian semua berbahagia dan gembira di samping keluarga dan insan tersayang. InsyaAllah Aamiin.

Again, Selamat Hari Raya Aidilfitri. Hati-hati memandu dan semoga selamat tiba di destinasi.

Apa beza kehidupan seorang blogger single vs blogger yang sudah berkahwin?

Assalamualaikum
Bismillah

Sejak 2 bulan tak update blog, aku punya semangat mahu menulis blog pun merundum. Alhamdulillah, sekarang dah ada laptop tetapi semangat nak menulis tu tiba-tiba hilang. 

Terlalu lama senyap, nak kumpul momentum untuk naik balik pun payah juga ya. Bukan tak ada idea. Aku punya draft kat nota tu banyak sangat benda nak kongsikan di blog ini.

Sejujurnya tak tahu macam mana mahu mula balik. Sejak kahwin memang banyak yang berubah. Mungkin inilah yang dinamakan proses 'adaptation'. Haha~ 

Alhamdulillah, suami aku seorang yang sangat memahami kerjaya sebagai seorang blogger dan sangat supportive. Malah selalu tanya bila aku nak start buat kerja blog? Hahaha~

Sejak dah bergelar isteri ini macam tak percaya saja sebenarnya dah bersuami. Jodoh sampai pada waktu yang tepat dan perjalanan Allah SWT tu sangat cantik. 

Oleh kerana semangat menulis blog itu jatuh, jadi mungkin dengan bercerita santai macam ini mood menulis tu pun kembali. 

Jadi sajalah nak berkongsi perasaan from single to married nie macam mana. Salah satu yang aku suka selepas kahwin ini aku banyak belajar memasak hahaha~



Dulu sebelum kahwin bukannya tak rajin memasak cuma selepas kahwin rajin memasak tu berkali-kali ganda. Alhamdulillah. Jadi buat yang risau pandai masak atau tidak macam aku dulu. Automatik memang jadi pandai masak juga sebab kalau tak masak, suami nak makan apa kan? haha.. 

Yang penting rajin saja. Pandai masak tapi malas pun tak boleh juga kan?

Mungkin selepas ini tak lama lagi blog ini penuh dengan entri resepi pula. Hari-hari pun ada saja resepi baru nak buat cuma belum rajin lagi nak tulis kat blog. 

Sebenarnya banyak sangat yang berubah sejak aku kenal dengan suami. InsyaAllah, perubahan ke arah yang lebih baik. Tak tahu nak ucap syukur macam mana lagi dengan Allah SWT kerana mempertemukan kami berdua sehinggalah dapat bersama.

Persoalan hidup yang selama ini aku cari terjawab selepas kahwin. MasyaAllah memang hebat rencana Allah SWT. 

Memang betul apa yang kita inginkan selama ini mungkin tidak baik buat kita. Tetapi apa yang Allah berikan InsyaAllah itulah yang terbaik. Samada ujian kesenangan dan kesusahan, kehilangan ataupun kehadiran seseorang dalam hidup kita. Semuanya bukan kebetulan!

Apa beza kehidupan seorang blogger Single vs blogger yang sudah berkahwin?


Banyak sangat perbezaannya. Salah satunya adalah masa! Dulu sebelum kahwin nak bangun lewat pun takda masalah. Dah kahwin bukan tak boleh bangun lambat, tetapi sayang suami kan. Dulu bolehlah stay up sampai tengah malam. Sekarang cubalah stay up kalau ada suami. Hahaha~

Selain itu, aku ini dulu kalau buat kerja blog tak tengok masa tau. Orang email tengah malam kalau aku belum tidur pun boleh sempat lagi nak reply. Dah berumahtangga memang tak buat macam tu lah.

Alhamdulillah, syukurlah sebab selalu ada yang bagi nasihat dan teguran mana yang baik dan buruk. Sebelum ini bukan tak tahu mana yang baik atau buruk. Cuma mungkin rasa benda tu takpa kot sebab bukannya ada apapun. 

Tetapi apabila dah bersuami, banyak benda yang perlu dijaga. 

Rutin harian pun banyak yang berubah selepas kahwin ni. Dulu memang sibuk lah nak urus adik-adik pergi sekolah, kemas rumah lagi sebab ibu bapa bekerja. Jadi masa berblog pun memang pada sebelah malam. 

Apabila dah kahwin, tinggal pun berjauhan dengan keluarga, banyak sangat yang berubah dari segi pengurusan masa. Kiranya lebih ikut masa suami lah. Dan lebih banyak masa senggang pada waktu pagi. Malam memang tak nak berblog sebab tu aku jarang dah reply message macam sebelum ini. 

Kedua, sebelum berkahwin lebih fokus kepada keluarga. Ibu dan bapa kita. Kalau ramai adik-beradik lagi macam aku, memang kena urus adik-adik. 

Nak ambil job menulis apapun family tak kisah sangat juga as long apa yang aku buat tu benda yang baik. Setiap perbuatan kita memang tanggungjawab kita, jadi kena pandailah fikir sendiri kan mana baik dan buruk. 

Dah kahwin, fokus utama memang suami saja. Apa-apa perkara kena bincang, minta pendapat, dan buat keputusan bersama. 

Tak boleh buat keputusan sesuka hati. Apa sahaja keputusan pasti bagi impak yang besar dalam rumahtangga walaupun hal yang remeh-temeh.

Misalnya nak buat review produk kena minta izin suami okay tak ambil job ini. Ataupun apa-apa job menulis memang banyak bincang dengan suami dulu. Bukan tak boleh buat keputusan sendiri, tetapi sebaik-baiknya minta pendapat suami lah kalau aku. 

Tiada yang banyak berubah sangat sebenarnya. Cuma nak menyesuaikan diri lagi dengan persekitaran baru dan ambil masa untuk cari masa yang sesuai apabila berblog. Biasalah kerja blogger ini tak macam kerja yang ada masa pejabat. Kita yang kena urus masa sendiri.

Aku cuma kongsikan sahaja buat kenangan di sini. Lain hari bolehlah baca balik. Aku percaya masa berblog bagi wanita yang berkerjaya mahupun suri rumah yang mempunyai anak pun berbeza. 

Sekian itu sahaja perkongsian hari ini. 



Sebab Tidak Dapat Update Blog...

Assalamualaikum
Bismillah

Lama rasanya tidak menaip di laptop. Rindu sudah mahu menulis di blog. Mungkin ada yang sedia maklum kenapa aku tidak update blog seperti selalu. By the way, aku sekarang pinjam laptop orang saja. Rindu mahu dengar keyboard semasa menaip. 

blog

1. Laptop Rosak

Punca utama aku tidak dapat menulis sebab laptop aku rosak. Laptop aku rosak dari bulan 12 tahun lalu lagi. Mulanya aku ingatkan sebab charger aku rosak. Bila hantar ke service pula, motherboard hangus ke apa aku pun tak tahu. 

Bila tanya boleh repair tak. Katanya boleh, cuma nak cari part dia tu yang susah. Tunggu dalam seminggu tak siap-siap lagi. Nak beli baru bukannya tak boleh cuma belum ada rezeki lagi. 

Aku memang ada juga update artikel. Tetapi just artikel pasal resepi saja dan republish artikel lama. As long nampak macam ada update jugalah.

2. Single To Married

Alhamdulillah, berakhirlah zaman bujang aku. Hahaha~ Kalau korang nak tahu laptop aku rosak tu seminggu sebelum aku nak nikah. Macam tahu saja kan nak minta belikan laptop baru haha. 

Oleh sebab itulah aku betul-betul sibuk sangat sampaikan tiada masa nak update blog. Banyak benda nak buat. Alhamdulillah, selepas 2 minggu bertunang aku akhirnya nikah dengan pujaan hati aku. 

Pejam celik sebenarnya dah sebulan bergelar isteri. Alhamdulillah.

3. Berhijrah Ke Johor

Alhamdulillah, rezeki selepas kahwin aku mengikuti suami berhijrah ke Pontian, Johor. Suami bekerja di Johor. Rindu dengan Sabah. Tetapi apakan daya. Begitulah kehidupan cewah haha~ 

Banyak benda lagi nak settle sebenarnya di sini. Laptop belum dapat beli. Nak atur masa lagi macam mana. Atas sebab itulah aku terpaksa rehat sekejap daripada buat servis menulis, manage adsense mahupun kerja-kerja PR.

Sepanjang beberapa bulan tak berblog ini, Alhamdulillah aku dapat habiskan banyak masa bersama keluarga sebelum hijrah di Johor. Mungkin itulah hikmah laptop aku rosak. Kalau tak memang asyik dengan kerja saja. 


Alhamdulillah 'ala kulli hal. 

Tak sangka banyak dah terjadi sepanjang tahun 2021. Kenangan manis dan pahit. Pejam celik dah kahwin pula rupanya. Pejam celik tetiba di Johor. Haha.

Rindu sebenarnya dengan blog. Banyak benda nak kongsikan dengan pembaca. Maybe sedikit info macam mana nak mengurus hari pernikahan dan tips-tips blog yang lain.

Maaf juga yang email, whatsapp, chat aku di media sosial berkenaan blog. Ada yang minta tips, ada yang minta tolong dan sebagainya. Aku tak dapat lakukan buat masa sekarang. 

Inipun main pinjam laptop orang saja. Segan nak pinjam barang orang lama-lama. 

Apapun itulah sebab aku tidak dapat update blog. Doakan semoga dimurahkan rezeki untuk beli laptop baru ya. Semoga dipermudahkan urusan kalian semua juga. Aamiin...


© all rights reserved
made with by templateszoo