Membakar Hobi & Minat Ibarat Membakar Bakat Yang Ada

Assalamualaikum
Bismillah

Aku tak nak ulas berkenaan cerita viral. Apa yang aku nak kongsikan ialah setiap orang mempunyai hobi masing-masing. 

Mempunyai hobi merupakan suatu perkara yang baik cuma jangan sampai memudaratkan diri sendiri dan orang lain. 

Aku percaya setiap orang mempunyai minat masing-masing. Aku sendiri sejak dari kecil sudah mempunyai hobi menulis. 

hobi dan minat

Dan antara kesukaan orang yang minat menulis ini dia cenderung untuk simpan koleksi seperti :
  • Peralatan menulis - Pen, warna, highliter, pembaris, pensel dll
  • Buku - Kertas warna, buku nota, buku ring, buku cover keras dll.
  • Stickers - Pelbagai jenis stickers jurnal 
  • Washi tape
  • Gunting, gam, double side tape, selotape
  • Desk organizer - 
  • Rak-rak buku
  • Lampu perhiasan 
  • Aksesori laptop
Sebenarnya ada banyak lagi yang hanya orang yang betul-betul minat menulis sahaja tahu. Nampak barang tu tak banyak mana pun. 

Sekecil-kecil barang RM2 kalau dibeli 1 plastik memang makan puluhan ringgit juga. Malah ada yang sampai ratusan ringgit.

Cuma yang mak aku tak suka tu, aku suka sepahkan barang dengan kertas sampah. Selepas menulis dan hias buku nota aku tak kemas. Part ini aku memang kena bebel habislah. 

Seiring dengan peningkatan usia hobi dan minat ini boleh berubah.
 
Aku dulu memang minat menulis cuma mampu beli buku nota sahaja. TETAPI SEBAB HOBI & MINAT, aku sanggup kumpul duit beli peralatan untuk menulis.

Bulan ni beli kertas warna, bulan depan beli pen warna walaupun pen aku dah banyak. Hahaha~

Nak sesuatu tetapi tak mampu nak beli pada ketika itu sebab masih sekolah. Duit belanja pun minta ibu bapa. Nak guna duit ibu bapa pun kadang berfikir kali-kali sebab sebagai anak pun faham, ibu bapa dah susah kerja untuk kita. 

Sekarang kerja pun berdasarkan minat juga. Dah boleh beli laptop, meja, alat aksesori dan peralatan menulis sendiri. 

Selain minat menulis, aku juga suka menonton Anime. Disebabkan kami adik beradik minat anime, di rumah ada koleksi 6 hardisk. 

Tetapi hobi atau minat sesuatu perkara yang kita tak boleh nak halang. 

Adakah menggunakan cara yang HALAL atau HARAM untuk memenuhi keinginan kita?

Apabila sesuatu perkara yang kita minat dan mahukan tu kita tak dapat. Kita pasti akan cuba cara lain untuk dapatkan apa yang kita mahu.

Dan di sinilah yang kita perlu ambil perhatian! 

Cara Yang Haram

Untuk mendapatkan apa yang diinginkan, boleh jadi kita mencuri barang orang lain.

Nampak macam mudah kan? Tetapi ianya benar-benar berlaku. Sebagai contoh, di sekolah pada ketika itu 'trend' semua minat Anime. 

Semua orang ada koleksi barang anime. Nanti akan ada sifat cemburu dan iri hati antara kawan-kawan sebaya. Hal ini demikian kerana tidak semua orang mampu miliki apa yang orang lain ada.

Sama-sama pun minat juga, tetapi tak mampu. Akhirnya sebab nak dapatkan apa yang diinginkan sampai mencuri barang orang lain.

Kalau tak curi barang kawan, mungkin mencuri duit ibu bapa sendiri. Kita tak tahu apa yang anak-anak kita fikir tau.

Sekali mencuri kalau tak tertangkap, ia akan jadi terbiasa untuk mencuri kali kedua.. ketiga dan seterusnya..

Cara Yang Halal

Bagi sokongan dan dorongan dengan bersyarat

Apabila anak minat sesuatu tak salah untuk bagi sokongan dan dorongan dengan apa yang mereka minat cuma dengan bersyarat. 

Sebagai contoh, kalau exam nanti dapat result lebih baik dari sebelum nie. Naikkan duit belanja. 

Ataupun apa yang anak kita tak suka buat, kita bagi reward dengan hadiahkan apa yang mereka suka. 

Sebagai contoh, kita hadiahkan 'meja belajar' kalau anak hafal 1 juz Quran. Kita hadiahkan 'Buku Kitab' kalau anak dapat puasa penuh Ramadan.

Kalau anak minat kumpul koleksi kpop, poster dan sebagainya. Tak salah yang penting kita sendiri pantau minat anak. Sentiasa ingatkan anak untuk solat 5 waktu, jaga aurat, dan jangan taksub. 

Aku faham ada sesetengah ibu bapa tak mampu nak penuhi keinginan anak. Aku sendiri datang daripada keluarga yang susah. Apa yang aku mahu beli aku cuba untuk usaha seperti kerja part-time, jual keropok, buat kerja freelance.

Kalau ada kemahiran tertentu seperti menjahit, memasak, servis kereta, servis laptop boleh jadikan kemahiran tersebut untuk jana pendapatan.

Membakar Hobi Ibarat Membakar Bakat Yang Ada

Bagi aku membakar hobi ibarat membakar bakat yang ada. Waktu remaja kita suka mencuba banyak benda, terikut dengan trend, dan rasa tak nak ketinggalan. 

Pada waktu ini kebanyakkan remaja sedang mencari hala tuju mereka. Siapa diri mereka? Jadi jiwa remaja mudah untuk terpengaruh dengan keadaan sekeliling. 

'Perasaan suka mencuba' yang membuak-buak.

Kalau tidak dipantau dan didorong minat mereka ke arah sesuatu yang lebih baik, kemungkinan besar untuk terjebak ke arah sesuatu yang tak baik.

Zaman kita tak sama dengan zaman anak-anak kita sekarang. 

Daripada hobi dan minat itu kita boleh lihat sendiri potensi atau bakat yang mereka ada. 

Aku ada 8 orang adik-beradik, semua mempunyai minat yang berbeza. 

Adik lelaki aku mempunyai hobi dan minat sebagai photographer & videographer. Dan hobi dia nie memang antara hobi yang mahal antara kami semua. Nak beli camera bukan murah! Beli kamera pun dengan duit biasiswa. 

Ibu bapa tak halang cuma tak mampu nak support minat adik sebab nak beli aksesori kamera dia pun boleh habis duit gaji. 

Aku memang selalu bagi dorongan dan sokongan dengan apa yang adik aku suka. Aku selalu kata minat dia boleh jana pendapatan pada masa akan datang kalau dia betul-betul ada passion dengan apa yang dia minat. 

Adik aku seorang pula suka memasak, melukis dan buat jurnal.

Disebabkan adik aku baru Tingkatan 2, jadi kebanyakkan peralatan berkenaan hobi aku yang belikan. Pada masa lapang, memang kerja dia buat jurnal dan melukis. Selain itu, dia juga suka buat aksesori seperti keychain. 

Malah, ada beberapa keychain yang adik aku jual sebab ramai permintaan dari kawan-kawan dia. 

Adik aku lelaki yang dah bekerja pula suka main game. Aku tak tahu sangat pasal game Mobile Legend. Tidak dinafikan kalau adik aku main game kadang sampai tak ingat makan. 

Tetapi sebagai kakak juga aku selalu ingatkan adik-adik aku apapun yang dorang suka dan minat tiada halangan yang penting jaga kesihatan dan jangan buat ibu bapa risau. 

Apabila minat yang melibatkan duit (contohnya bayar domain blog, beli aksesori kamera, beli diamond dan sebagainya) apa yang penting sekali pastikan ada kerja sendiri. Kalau tak mampu untuk beli, beli apa yang mampu sahaja dulu. 

Kalau ibu bapa support apa yang kita minat tu bersyukurlah dan jagalah hati orang tua kita. 

Benda yang orang nampak remeh ni jangan buat main tau. Kalau orang tegur minat atau hobi kita pun bukan main kita sakit hati kan.

Apapun yang kita buat dan minat, ingatlah peranan dan tanggungjawab kita sendiri sebagai anak, ibu bapa, suami, dan isteri. 

Apapun masing-masing punya minat kan. Kalau tak suka, nasihat dengan cara berhikmah.

Sekadar perkongsian pendapat. Lain orang lain caranya kan.