Senarai Barang Hantaran Untuk Bertunang

3
Assalamualaikum
Bismillah

Alahmdulillah 'ala kulli hal.. Hari ini baru ada kesempatan untuk berkongsi tentang Majlis Pertunangan aku tahun lalu. Sekarang dah masuk 8 bulan aku berkahwin. Tak sangka cepat betul masa berlalu. Rasa macam baru ja bertunang kelmarin haha.

Sebelum nak cerita pasal senarai barang hantaran untuk bertunang. Jom kita baca tentang maksud pertunangan mengikut Mufti Wilayah.

Takrif Pertunangan

Bertunang bermaksud mengikat janji untuk menjadi suami isteri (berkahwin). Meminang pula bermaksud meminta anak gadis supaya menjadi isteri, melamar, meminang.

Dapat difahami bahawa pertunangan ialah sebagai satu tanda persetujuan oleh kedua-dua pihak dalam rangka membina rumah tangga menjadi suami isteri.

Pertunangan Menurut Islam

Pertunangan dalam Islam bertujuan bagi mengenal akhlak dan sifat pasangan sebelum diadakan akad nikah. Ia dapat membantu dalam menguatkan hubungan cinta serta mempersiapkan diri masing-masing sebelum berkahwin. 

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda kepada sahabat yang ingin bertunang:

انْظُرْ إِلَيْهَا فَإِنَّهُ أَحْرَى أَنْ يُؤْدَمَ بَيْنَكُمَا
Maksudnya: “Lihatlah perempuan itu dahulu kerana ia akan lebih mengekalkan kasih sayang antara kamu berdua.” Riwayat al-Tirmizi (1087)

Begitu juga hadith dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Sahal bin Sa’d R.A, katanya:

أَنَّ امْرَأَةً جَاءَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ جِئْتُ لأَهَبَ لَكَ نَفْسِى فَنَظَرَ إِلَيْهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَعَّدَ النَّظَرَ إِلَيْهَا وَصَوَّبَهُ ثُمَّ طَأْطَأَ رَأْسَهُ

Maksudnya: “Seorang menemui Rasulullah SAW, lalu berkata: Wahai Rasulullah, aku datang menyerahkan diriku kepadamu! Lalu Rasulullah SAW memerhatikan perempuan itu ke atas dan ke bawah dan kemudian Baginda menundukkan kepalanya.” Riwayat al-Bukhari (4833)

Aku menyerahkan diriku kepadamu bermaksud menyerahkan dirinya kepada Rasulullah SAW agar mengahwininya tanpa mas kahwin atau mengahwinkannya dengan orang yang sesuai.

Hadith yang seterusnya, daripada Abu Hurairah RA, katanya:

كُنْتُ عِنْدَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَأَخْبَرَهُ أَنَّهُ تَزَوَّجَ امْرَأَةً مِنَ الأَنْصَارِ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « أَنَظَرْتَ إِلَيْهَا ». قَالَ لاَ. قَالَ « فَاذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا فَإِنَّ فِى أَعْيُنِ الأَنْصَارِ شَيْئًا ».

Maksudnya: “Ketika aku bersama-sama Nabi SAW, seorang lelaki telah menemui Baginda, lalu memberitahu bahawa dia akan mengahwini seorang perempuan Ansar. Maka, Rasulullah SAW bersabda: Adakah engkau melihatnya? Lelaki itu menjawab: Tidak. Baginda bersabda: Pergilah lihat perempuan itu kerana pada mata Ansar terdapat suatu kelainan daripada mata perempuan lain, yang mungkin tidak menarik hatimu.” Riwayat Muslim (3550)

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Humayd al-Sa’idi RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا خَطَبَ أَحَدُكُمْ امْرَأَةً فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَنْظُرَ إِلَيْهَا إِذَا كَانَ إِنَّمَا يَنْظُرُ إِلَيْهَا لِخِطْبَتِهِ وَإِنْ كَانَتْ لَا تَعْلَمُ
Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu ingin meminang seorang perempuan, tidaklah salah melihatnya dahulu, jika tujuan melihat itu untuk meminang walaupun tidak diketahui oleh perempuan.” Riwayat Ahmad (23602)
Seorang perempuan juga berhak melihat lelaki yang ingin dikahwininya bagi memastikan keadaan lelaki tersebut supaya tidak menyesal selepas perkahwinan. 

Hal ini adalah kerana perempuan juga tertarik hati dengan lelaki, sepertimana lelaki tertarik hati dengan perempuan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/529)

Secara ringkasnya, meminang adalah menyatakan keinginan untuk berkahwin kepada seorang perempuan. Ini adalah berdasarkan perbuatan Nabi saw yang meminang Aisyah dan Baginda juga pernah meminang Hafsah.

Perlukah Membuat Majlis Pertunangan? 

Adapun adat-adat kebiasaan seperti bertukar cincin, membawa dulang ke rumah si perempuan dan lain-lain adalah merupakan adat yang harus dan tidak bercanggah dengan Islam. 

Ia hanya sebagai simbolik dan tanda keseriusan untuk menjadikan perempuan tersebut sebagai isteri. Selagi mana adat tersebut tidak berlanggar dengan syarak maka ianya adalah perkara yang harus. 

Perkara tersebut juga perlulah dipersetujui bersama dan ia perlulah diikuti serta beriltizam dengannya. Sabda Nabi saw :

الْمُسْلِمُونَ عِنْدَ شُرُوطِهِمْ إِلاَّ شَرْطًا حَرَّمَ حَلاَلاً أَوْ شَرْطًا أَحَلَّ حَرَامًا
Maksudnya :” Orang Muslim berpegang dengan syarat mereka (yang telah dipersetujui) kecuali syarat yang mengharamkan perkara yang halal dan syarat yang menghalalkan perkara yang haram.” Riwayat al-Baihaqi ( 11762) di dalam Sunannya.


Dan sebaik-baiknya adalah MENYEMBUNYIKAN PERTUNANGAN.

Sebahagian ulama’ melihat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah suatu yang digalakkan. Ini kerana terdapat sebuah hadis daripada Ummu Salamah R.Anha yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:

أظهروا النكاح، وأخفوا الخطبة

Maksudnya: Zahirkan (iklankan) pernikahan dan sembunyikan pertunangan. Riwayat al-Imam al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus (1/1/27)

Disebabkan itu, sebahagian al-Malikiyyah berpendapat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah digalakkan. 

Ini sepertimana yang terdapat di dalam kitab Syarh Mukhtasar al-Khalil yang mana al-Kharasyi Rahimahullah (wafat 1101H) menyebutkan:

وَأَمَّا الْخِطْبَةُ بِالْكَسْرِ فَيُنْدَبُ إخْفَاؤُهَا كَالْخِتَانِ وَإِنَّمَا نُدِبَ الْإِخْفَاءُ خَوْفًا مِنْ الْحَسَدَةِ فَيَسْعَوْنَ بِالْإِفْسَادِ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَهْلِ الْمَخْطُوبَةِ
Maksudnya: Adapun al-Khitbah (pertunangan), maka digalakkan untuk menyembunyikannya seperti al-Khitan. Digalakkan untuk menyembunyikannya kerana takut akan hasad yang mana boleh membantu merosakkan diantara orang yang bertunang dan ahli yang ditunangnya.

Adapun sebahagian pendapat yang lain menyatakan bahawa tiada masalah iaitu dibolehkan untuk mengiklan serta menghebahkan perihal pertunangan seseorang itu kerana tiada nas yang sahih di dalam larangan berbuat demikian.


Rujukan :

Senarai Barang Hantaran Untuk Bertunang

Senarai Barang Hantaran Untuk Bertunang

Jadi sekarang kita dah tahu serba sedikit tentang maksud pertunangan dan hukum menjalankan majlis pertunangan. Semoga tiada lagi timbul persoalan-persoalan wajib atau tidak buat majlis dan sebagainya. 


Sebagai tambahan, aku mahu kongsikan sedikit senarai barang hantaran masa aku bertunang. 


Sebelum menyatakan hasrat untuk merisik atau bertunang, aku bawa calon suami merangkap suami aku sekarang berjumpa dengan keluarga aku dahulu. Tujuannya adalah untuk memperkenalkan calon suami aku kepada kedua orang tua dan meminta restu mereka.


Setelah berbincang, ibu bapa aku menetapkan tarikh untuk suami aku datang ke rumah merisik sekali bertunang. Kami membuat persiapan selama seminggu untuk majlis pertunangan. 


Pihak perempuan membuat persiapan untuk menyediakan juadah buat keluarga pihak lelaki yang akan datang. Manakala, pihak lelaki pula menyediakan dulang hantaran untuk pertunangan. 


Memandangkan kitaorang orang sabah dan tidak mengikut adat orang Melayu. Jadi adat kami (pihak perempuan) tidak menyediakan dulang untuk pihak lelaki. (Bagi suku kaum Dusun Bonggi).


Sekiranya pinangan diterima dan sepanjang tempoh pertunangan pihak perempuan memutuskan ikatan pertunangan tanpa sebab yang munasabah, maka pihak perempuan wajib membayar denda atau memulangkan kembali apa yang diberikan oleh pihak lelaki (mengikut persetujuan kedua buah keluarga)


Dan sekiranya pihak lelaki memutuskan tali pertunangan, maka pihak perempuan tidak akan memulangkan apa-apa yang telah diberikan oleh pihak lelaki. Apapun bergantung dengan perbincangan keluarga juga. 


Keluarga aku tidak menetapkan dulang hantaran. Yang penting cincin dan duit hantaran untuk majlis pernikahan sahaja. Jadi suami aku pada ketika itu memberikan 5 dulang hantaran untuk bertunang dan duit hantaran. (Tiada balasan dulang dari pihak perempuan) 

pelamin tunang simple

Antara senarai barang hantaran untuk bertunang :

  • Set Al-Quran
  • Set Telekung
  • Cincin Tunang
  • Set sejadah
  • Set Skincare 
Semua barang boleh beli di shopee atau kedai. Aku tak minta apa-apa pun sebab memang kami mahu buat seringkas dan sederhana yang boleh. 

Sebaik-baiknya sediakan dulang yang pasangan kita guna setiap hari. Aku tak bermekap dan tidak memakai sebarang wangian jadi suami aku memang tak bagilah. 

Selain senarai barang di atas korang juga boleh bagi :
  • Sirih junjung
  • Set jam atau dompet
  • Beg tangan
  • Kasut 
  • Set barang kosmetik
  • Kain songket 
  • Set baju kurung / kebaya / Melayu
  • Set tudung / purdah
  • Set mandian
  • Barang perhiasan (rantai, subang, gelang)
  • Minyak wangi
  • Kuih muih / kek
  • Buah-buahan
  • Hantaran coklat
  • Kain pelikat
  • Bunga rampai 
  • Gong / Keris / Alat tradisional 
  • Kain pasang / Meter

Banyak lagi barang hantaran yang korang boleh bagi, yang paling penting ikut kemampuan masing-masing, besederhana dan tidak berlebihan. 

Dalam Islam sendiri, tidak digalakkan untuk mengadakan majis bertunang secara besar-besaran sehingga membawa kepada pembaziran. Namun, jika mampu dibolehkan. Jika tidak mampu, maka tidak perlu. 

Aku tak buat pun pelamin. Tetapi kakak sepupu aku yang baik hati buatkan pelamin mini simple. (Buat backdrop saja) Tiada kerusi dan duduk di karpet sahaja hahaha. 

Selepas pinangan diterima, mama mertua masuk dalam bilik dan sarungkan cincin tunang. Kemudian bergambar dengan bakal mama mertua dan makcik suami. Itu sahaja haha. Kitaorang jamu selera dan sebelum balik, ambil 1 - 2 foto dengan tunang (suami aku) untuk kenangan. 

Perbincangan antara keluarga untuk majlis pernikahan itu yang penting sekali bagi aku. Bila nak tetapkan tarikh pernikahan. Nak buat majlis macam mana? Berapa orang yang datang bagi pihak keluarga lelaki dan perempuan. 

Apatah lagi kalau pasangan kita berlainan daerah dengan kita memang banyak sekali urusannya. Jadi masa tu lah kena bincang betul-betul agar majlis pernikahan berjalan lanjar dan dipermudahkan. 

Apa yang penting dan lebih utama adalah barakah dan doa dalam apa jua perkara. Itulah yang lebih utama untuk dicapai. 

Sebaik-baiknya pertunangan yang dilangsungkan dipendekkan tempoh masanya hanya beberapa minggu atau sebulan dua sahaja. Ini kerana, matlamat asal adalah perkahwinan dan mengelak sebarang bentuk dan pintu yang membawa kepada maksiat.

Aku bertunang tak sampai 3 minggu terus kami nikah. Alhamdulillah, fasa-fasa bertunang memang mencabar dan banyak sekali dugaannya. Bila diingat kembali memang menangis. Tetapi ALLAH yang permudahkan semuanya. Allah yang bagi kekuatan dan kesabaran untuk menghadapi semuanya. 

Alhamdulillah 'ala kulli hal. Semuanya dengan izin Allah. Semuanya dengan bantuan dan kasih sayang Allah akhirnya kami disatukan dalam ikatan perkahwinan. 



Catat Ulasan

3Ulasan

Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.

  1. Kena hati2 jaga pergaulan semasa bertunang. Darah manis katanya...

    BalasPadam
  2. Kejap je dh nak setahun berkahwin.. Semoga kekal bahagia hingga ke jannah

    BalasPadam
  3. apa-apa pun kena ikut kemampuan diri dan pasangan juga nak beli hantaran ni.. nice sharing :)

    BalasPadam
Catat Ulasan

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Accept !