Hukum Jual Beli Cedok

Assalamualaikum
Bismillah

Hari tu aku nampak ramai juga yang post berkenaan 'Jual Beli Cedok'. Aku tak tahu dari mana datangnya istilah ini. Ramai yang kata viral kat TikTok. Aku takda tiktok jadi info-info viral atau trending nie biasanya memang agak lewatlah sampai dengan aku. 

Memang harap posting kawan-kawan saja. Tetapi tidaklah aku percaya sepenuhnya info tersebut. Of course kena selidik kan. Jadi aku tertarik sebenarnya nak cerita tentang 'jual beli cedok' nie sebab ada yang kata ada unsur-unsur judi dalam jual beli cedok. 

Mari sama-sama kita lihat apa pandangan Mufti berkenaan 'hukum jual beli cedok'.

Hukum Jual Beli Cedok

Hukum Jual Beli Cedok 

Jual beli cedok dilihat mempunyai unsur-unsur yang diharamkan oleh syarak seperti gharar (ketidakpastian), maisir (perjudian) dan menafikan hak khiyar (memilih) pembeli. 

Oleh kerana itu, jual beli cedok adalah haram di sisi syarak. Dinasihatkan masyarakat tidak melibatkan diri di dalam urusan jual beli sebegini sementara kepada peniaga hendaklah menggunakan kaedah jualan yang bebas dari unsur-unsur yang diharamkan syarak bagi memastikan keuntungan yang diperoleh adalah halal.

Firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.” Surah al-Baqarah (275)

Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz jual beli ini adalah dalam bentuk umum namun pada masa yang sama ia juga khusus, iaitu terkecuali daripada riba dan selainnya yang dilarang dan ditegah syarak[1].

Oleh yang demikian, pada dasarnya, segala bentuk jual beli adalah harus, namun ia boleh berubah menjadi makruh atau haram atas sebab wujudnya unsur-unsur yang tidak dibenarkan oleh syarak seperti gharar (ketidakpastian), maisir (perjudian) dan sebagainya pada transaksi yang dijalankan. 

Oleh yang demikian, kita selaku individu Muslim wajib menjauhi transaksi yang mengandungi segala unsur yang tidak dibenarkan ini.

Dalam Islam, jual beli terdiri atas tiga rukun utama iaitu:
  • Pihak yang berakad (penjual dan pembeli),
  • Lafaz akad (lafaz ijab dan kabul)
  • Objek yang diakadkan (iaitu barangan dan harga) [2].
Bagi setiap rukun ini pula, ada beberapa syarat yang memberi kesan terhadap kesahihan akad dan juga hukum. Menyebut berkenaan rukun ketiga iaitu barangan yang diakadkan, maka di sini ada beberapa syarat yang perlu ada padanya, antaranya ialah barangan jualan tersebut mestilah diketahui oleh kedua-dua belah pihak iaitu penjual dan pembeli.

Walaupun tidak disyaratkan mengetahui segenap aspek sehingga sekecil-kecil perkara mengenai barangan jualan tersebut, namun perlu diketahui maklumat asas berkenaannya seperti jenis barangan, kadar bilangan, sifat, bentuknya, dan lain-lain.

Justeru, tidak dibenarkan menjual barangan yang tidak diketahui hakikat dan fizikalnya seperti contoh: “Aku menjual salah satu baju yang ada dalam kotak tersebut.” Hal ini kerana, perniagaan sebegini mempunyai unsur ketidakjelasan yang keterlaluan (fahisy) dan boleh mengundang kepada pertelingkahan dan pergaduhan antara penjual dan pembeli. [3].

Di samping itu, Nabi SAW turut melarang daripada melakukan jual beli al-Gharar atau jual beli yang mengandungi unsur ketidakpastian. 

Sabda Nabi SAW:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ بَيْعِ الْحَصَاةِ، وَعَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W melarang jual beli al-hashah(melempar batu) dan jual beli gharar(ketidakjelasan).”Riwayat Muslim (1513)

Bagi jual beli secara cedok, terkandung padanya beberapa unsur-unsur yang ditegah syarak iaitu adanya unsur gharar (ketidakjelasan), maisir (perjudian) dan juga unsur menafikan hak khiyar yakni kuasa memilih pembeli.

Jual Beli Secara Cedok Mengandungi Unsur Gharar, Maisir dan Menafikan Hak Khaiyar Pembeli

Pertama: Unsur gharar (Ketidakpastian)

Unsur ini wujud dalam transaksi ini apabila berlakunya ketidakpastian terhadap kadar, nilai dan juga jenis barangan yang diterima oleh pembeli sebaik sahaja penjual mencedok barangan yang bercampur tersebut. 

Dalam hal ini, berlaku ketidakpastian tentang apakah barang yang akan diperoleh semasa akad jual beli.


Kedua: Unsur maisir (Perjudian)

Imam al-Mawardi ada menyebut berkenaan takrifan judi iaitu suatu pertandingan yang menjadikan pihak yang terlibat tidak terlepas daripada menjadi pemenang (mengambil) atau tewas (menyerahkan) hadiah yang dipertaruhkan [4]. 

Maka, jika diperhatikan, transaksi jual beli ini ada mengandungi unsur perjudian di mana ada pihak yang untung dan ada pihak yang akan rugi.

Sekiranya barangan yang dicedok tersebut nilainya lagi rendah daripada harga yang dibayar oleh pembeli, maka disini pembeli adalah pihak yang mengalami kerugian. Begitu juga sebaliknya.

Jual beli sebegini dilihat mempunyai unsur perjudian kerana barang yang dijual tidak jelas serta wujud perbuatan menafikan kehendak salah satu pihak. 

Memetik petikan kitab al-Fiqh al-Manhaji :
“Jual beli yang mengandungi unsur perjudian merangkumi jual beli yang tidak menyatakan barangan yang dijual secara jelas, atau wujud perbuatan yang menafikan kehendak salah satu pihak [5].

Ketiga: Unsur menafikan hak khiyar pembeli

Ia boleh dilihat dari sudut pembeli tiada hak untuk memilih sesuatu barangan yang hendak dibelinya. Maka, perkara ini telah menafikan hak pembeli yang pada dasarnya bebas untuk memilih barangan.

Hal ini jelas kelihatan tatkala pembeli ingin membeli barangan campuran yang ada dalam bekas tersebut, ada yang bersaiz besar, kecil, harga mahal, ada yang harga murah dan pelbagai jenis lagi. 

Pembeli perlu membayar sebanyak harga sekian terlebih dahulu sebelum penjual mencedok barangan campuran tersebut secara siaran langsung. Terdapat kemungkinan pembeli akan dapat dan tidak dapat apa yang dimahukan. 

Seterusnya, apa yang dicedok tersebutlah yang menjadi milik si pembeli tanpa pembeli boleh memilih barangan yang dia mahu. Jual beli sebegini mirip dengan gambaran jual beli Munabazah dan Mulamasah yang diharamkan oleh Syarak.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA:


أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ الْمُلاَمَسَةُ وَالْمُنَابَذَةِ فِي البَيْعِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang jual beli secara sentuh-menyentuh (mulamasah) dan campak-mencampak (munabazah).” Riwayat al-Bukhari (5482)

Gambaran jual beli Mulamasah ialah seorang lelaki menyentuh sehelai pakaian dengan tangan pada waktu malam atau siang dan dia tidak boleh mengambil selain daripada barangan yang disentuhnya.

Manakala gambaran jual beli Munabazah pula ialah seorang lelaki mencampakkan bajunya kepada lelaki lain dan lelaki itu mencampakkan pula bajunya kepada lelaki lain dan lelaki itu mencampakkan pula bajunya kepada lelaki pertama, dengan itu berlakulah jual beli tanpa melihat atau saling meredai.

Jual beli yang hampir sama dengan jual beli sentuhan dan campakan ialah jual beli baling batu (hashah) sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis sebelumnya. Dalam jual beli ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk berjual beli salah satu barang dan ia ditentukan dengan cara yang salah seorang antara mereka membaling anak batu, dan mana-mana barangan yang terkena batu tersebut akan dijual. [6]

Kesimpulan

Jual beli cedok dilihat mempunyai unsur-unsur yang diharamkan oleh syarak seperti gharar (ketidakpastian), maisir (perjudian) dan menafikan hak khiyar pembeli. 

Oleh kerana itu, jual beli cedok adalah haram di sisi syarak. Dinasihatkan peniaga untuk menggunakan kaedah jualan yang bebas dari unsur-unsur yang diharamkan syarak bagi memastikan keuntungan yang diperoleh adalah halal.

Rujukan : 

[1] Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakr bin Farah al-Ansori al-Khazraji Syams al-Din al-Qurtubi, al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, Tahkik: Ahmad al-Burduni, Ibrahim Atfisy, (Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, cetakan ke-2, 1384H), 3/356.

(وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبا) هَذَا مِنْ عُمُومِ الْقُرْآنِ، وَالْأَلِفُ وَاللَّامُ لِلْجِنْسِ لَا لِلْعَهْدِ إِذْ لَمْ يَتَقَدَّمْ بَيْعٌ مَذْكُورٌ يَرْجِعُ إِلَيْهِ، كَمَا قَالَ تَعَالَى:" وَالْعَصْرِ إِنَّ الْإِنْسانَ لَفِي خُسْرٍ" ثُمَّ اسْتَثْنَى" إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحاتِ «1» ". وَإِذَا ثَبَتَ أَنَّ الْبَيْعَ عَامٌّ فَهُوَ مُخَصَّصٌ بِمَا ذَكَرْنَاهُ مِنَ الرِّبَا وَغَيْرِ ذَلِكَ مِمَّا نُهِيَ عَنْهُ وَمُنِعَ الْعَقْدُ عَلَيْهِ، كَالْخَمْرِ وَالْمَيْتَةِ وَحَبَلِ الْحَبَلَةِ «2» وَغَيْرِ ذَلِكَ مِمَّا هُوَ ثَابِتٌ فِي السُّنَّةِ وَإِجْمَاعِ الْأُمَّةِ النَّهْيُ عَنْهُ.

[2] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H), 2/323.

وَأَرْكَانُهُ فِي الْمَجْمُوعِ ثَلَاثَةٌ، وَهِيَ فِي الْحَقِيقَةِ سِتَّةٌ: عَاقِدٌ وَهُوَ بَائِعٌ وَمُشْتَرٍ وَمَعْقُودٌ عَلَيْهِ وَهُوَ ثَمَنٌ وَمُثَمَّنٌ، وَصِيغَةٌ وَهِيَ إيجَابٌ وَقَبُولٌ


[3] Al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, 2/352.

الشَّرْطُ (الْخَامِسُ) مِنْ شُرُوطِ الْمَبِيعِ: (الْعِلْمُ بِهِ) لِلْمُتَعَاقِدَيْنِ لَا مِنْ كُلِّ وَجْهٍ بَلْ عَيْنًا فِي الْمُعَيَّنِ وَقَدْرًا وَصِفَةً فِيمَا فِي الذِّمَّةِ عَلَى مَا يَأْتِي بَيَانُهُ لِلنَّهْيِ عَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ كَمَا مَرَّ (فَبَيْعُ أَحَدِ الثَّوْبَيْنِ) وَنَحْوِهِمَا كَالْعَبْدَيْنِ (بَاطِلٌ) لِلْغَرَرِ.


Lihat juga: Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1434H), 3/28-29.

خامسًا – العلم: يشترط في المبيع أن يكون معلومًا للمتعاقدين، ولا يسترط العلم به من كل وجه، بل يكفي أن يعرف عينه إذا كان معينًا، وأن يعرف قدره وصفته إن كان المبيع مما يثبت في الذمة كالموزون والمكيل، فلا يجوز بيع عين مجهولة كثوب من الأثواب، لأنه يفيض إلى التنازع والخصومة غالبًا، وفيه غرر من غير حاجة، وقد نهى النبي صلى الله عليه وسلم عن بيع الغرر كما سبق.


Lihat juga: Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1413H), 6/18.

6 - أن يكون معلوماً للعاقدَيْن: فلا يصح البيع إذا كان في المبيع أو الثمن جهالة لدى العاقدين أو أحدهما، تقضي في الغالي إلى النزاع والخصومة، لأن في ذلك غرراً، وقد علمت أنه - صلى الله عليه وسلم - نهى عن بيع الغَرَرِ. فلا يصح بيع ما يجهله العاقدان أو أحدهما، ولا جعله ثمناً.


[4] Abu al-Hasan ‘Ali bin Muhammad bin Muhammad al-Mawardi, al-Hawi al-Kabir fi Fiqh Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, (Beirut-Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1419H), 17/180.

وَالْمَيْسِرُ هُوَ الْقِمَارُ وَالْقِمَارُ مَا لَمْ يَحِلَّ أَنْ يَكُونَ كُلُّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا آخِذًا أَوْ مُعْطِيًا فَيَأْخُذُ إِنْ كَانَ غَالِبًا وَيُعْطِي إِنْ كَانَ مَغْلُوبًا.


[5] Al-Fiqh al-Manhaji, 6/36.

2 - البيوع التي فيها معنى المقامرة: وهي بيوع إما فيها جهالة بالمبيع أو خلل في إرادة العاقدين، ومما نُصًّ عليه من هذه البيوع:

بيع المنابذة أو الملامسة: وهو أن يتبايعا أحد المبيعات دون تعيين، فإذا نبذ - أي ألقى - البائع أحدها ولمس المشتري أحدها كان هو المبيع. ومنها أن يبيعه الثوب - مثلاً - في الظلمة، فيلمسه دون أن يراه.

أو أن يتبايعا مبيعاً معيناً، على أنه متى نبذه البائع أو لمسه المشتري فقد وجب البيع ولزم. وواضح أن في الصورة الأولى جهالة في المبيع، وفي الصورة الثانية خللاً في إرادة المتبايعين، لأنه لا يُدرى متى يلقي ذاك أو يلمس هذا ليُلزم الآخر بالبيع.


[6] Al-Fiqh al-Manhaji, 6/36.

وقد روى أبو سعيد الخدري رضي اله عنه قال: " نهى رسول الله - صلى الله عليه وسلم - عن المُلاَمَسَةِ والمنابَذَةِ في البيع ".

وقد جاء تفسيرهما عن راوي الحديث إذ قال: (والملامسة: لمس الرجل ثوب الآخر بيده بالليل أو بالنهار، ولا يقلِبُهُ إلا بذلك. المنابذة: أن ينبذ الرجل إلى الرجل بثوبه، وينبذ الآخر إليه ثوبه، ويكون ذلك بيعهما من غير نظر ولا تراضٍ).

(رواه البخاري في اللباس، باب: اشتمال الصمّاء، رقم: 5482. ومسلم: البيوع، باب: إبطال بيع الملامسة والمنابذة، رقم: 1512).

ومثل المنابذة الملامسة في المعنى: بيع الحصاة، وهو أن يتبايعا إحدى السلع، على أن يلقي أحدهما حصاة، فعلى أيّها وقعت كان هو المبيع، وقد ورد النهي عنه وحكم الفقهاء ببطلانه لما فيه من الجهالة والخلل في إرادة العاقدين.

ومثل المنابذة الملامسة في المعنى: ‌بيع ‌الحصاة، وهو أن يتبايعا إحدى السلع، على أن يلقي أحدهما حصاة، فعلى أيّها وقعت كان هو المبيع، وقد ورد النهي عنه وحكم الفقهاء ببطلانه لما فيه من الجهالة والخلل في إرادة العاقدين


SUMBER : IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-705: HUKUM JUAL BELI CEDOK

Sii Nurul

Fulltime sabahan blogger since 2015 who love to write and sharing in her blog. Married with Mohamad Syafrie

Catat Ulasan

Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.

Terbaru Lebih lama