Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2021 Kisah Cikgu Mohd Hasnizan Menyentuh Hati Guru dan Pelajar

2
Calon Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2021, Cikgu Mohd Hasnizan Menyentuh Hati Guru dan Pelajar Apabila Membelanjakan Duitnya Sendiri Berjumlah RM6,000 Membeli Tiket Peserta Pertandingan Majlis Tadarus Al Quran yang Terlepas Penerbangan! | Sebelum ini aku ada kongsikan mengenai kisah calon Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2021 iaitu Cikgu Eva yang menyatakan hasratnya untuk mewujudkan STEM Centre di SK Sipinong supaya pelajar di pulau tidak ketinggalan dalam kepesatan teknologi. 

Lain pula dengan kisah Cikgu Mohd Hasnizan dari Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (SMA MAIWPL) yang digelar "Ayahanda" di kalangan guru-guru dan pelajar-pelajar di sekolah ini. 

Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2021, Cikgu Mohd Hasnizan

Kali ini aku nak kongsikan kisah Cikgu Mohd Hasnizan menyentuh hati guru dan pelajar apabila membelanjakan duitnya sendiri berjumlah RM6,000 membeli tiket peserta Pertandingan Majlis Tadarus Al Quran yang terlepas penerbangan! 

"Banyak kekangan dan rintangan semasa mengajar termasuklah isu pelajar yang kurang menguasai sesuatu topik, gangguan kesihatan di kalangan pelajar, kekangan masa untuk menghabiskan silibus, gangguan ancaman pandemik Covid-19, kekangan pelbagai kehadiran mesyuarat dalam dan luar sekolah, jemputan pelbagai program dan aktiviti di dalam dan luar sekolah, tugasan segera arahan pihak atasan, pelbagai permasalahan pembelajaran secara Pdpr secara online, permasalahan talian internet yang sentiasa tidak stabil dan lain-lain." kata Cikgu Mohd Hasnizan.

Latar Belakang Cikgu Mohd Hasnizan

Guru yang memberi sumber inspirasi ini dilahirkan pada hari Khamis jam 10.00 malam bertarikh 8 Julai 1976. Beliau telah selamat dilahirkan di Hospital Kajang. Sepanjang beliau membesar, beliau diberikan didikan yang sempurna di samping dikelilingi oleh ahli keluarga dan saudara mara terdekat daripada dunia pendidikan. Beliau telah berkeluarga dan mempunyai 4 orang cahaya mata.

Pendidikan Cikgu Mohd Hasnizan

Semasa beliau berada di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ), Shah Alam, Selangor, beliau seorang yang aktif dalam pelbagai kegiatan akademik, kepimpinan, sahsiah diri dan ko-kurikulum di peringkat daerah, zon, negeri dan peringkat kebangsaan. Cita-cita beliau diteruskan ke pengajian di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir dalam Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Syariah dan Perundangan. 

Semangat keilmuan yang tinggi diteruskan oleh beliau untuk menyambung pelajaran ke Universiti Malaya dalam bidang Sains Teknologi Maklumat. Beliau juga merupakan pemegang Diploma Ikhtisas Pendidikan di Maktab Perguruan Islam, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Perjalanan Kerjaya Cikgu Mohd Hasnizan sehingga digelar "Ayahanda"

Cikgu Mohd Hasnizan mempunyai pengalaman kerja yang luas dalam pelbagai bidang hal ehwal pengurusan dan pendidikan. Kini beliau diamanahkan bertugas di Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (SMA MAIWPL) sebagai seorang guru dan pentadbir sekolah. 

Cikgu Mohd Hasnizan mengajar matapelajaran Kurikulum Berasaskan Dinni yang terdiri daripada Lughatul Muasarah, Usul Ad-Din dan Al-Syariah Islamiah. Manakala matapelajaran Kurikulum Perdana pula ialah Pendidikan Seni Visual. Cikgu Mohd Hasnizan digelar “Ayahanda” di SMA MAIWP kerana ciri-ciri kebapaan yang penyayang, mudah didekati, mudah dibawa berbincang dan merupakan guru yang usia paling senior.

Calon Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2021, Cikgu Mohd Hasnizan


Pencapaian Sepanjang Perkhidmatan Sebagai Seorang Guru

Peringkat Antarabangsa
  • Peserta International Chess 2020 anjuran Universiti Sabah Malaysia Kampus Antarabangsa Labuan (UMS).

  • Mengetuai kontigen Badan Beruniform Pengakap untuk First International Fun Walk For Peace 2019 sempena United Nations International Day of Peace 2019.

  • Mengetuai peserta untuk Wau International Training Programme 2019.

Peringkat Kebangsaan
  • Peserta Inovasi Perkongsian Pintar - Inovasi STEM Era Industri Revolusi 4.0 sempena Minggu Sains Negara 2021.

  • Mewakili delegasi Persekutuan Pengakap ke program 1st National Scoutmasters Summit.

  • Mendapat tempat kelima dalam perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat pada tahun 2018.
Peringkat Negeri/Sekolah

  • Menerima Anugerah Pemimpin Kumpulan Terbaik (Individu) anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan.

  • Naib Johan keseluruhan kategori Agensi Kerajaan dalam Perarakan Perbarisan sempena Sambutan Hari Malaysia 2018.

  • Menyertai pertandingan Global Zakat Game anjuran Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan Labuan.

Gred Purata Sekolah Meningkat Setiap Tahun

Beliau berjaya membangunkan kecemerlangan yang seimbang dari segi akademik, sahsiah diri, kepimpinan, ko-kurikulum selama 10 tahun di SMA MAIWPL. Bermula daripada “Zero hingga menjadi Hero”. Setiap tahun, ramai pelajar SMA MAIWPL mencapai kejayaan yang cemerlang dalam akademik terutamanya calon-calon SPM. 

Peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) sentiasa meningkat saban tahun dan tidak ketinggalan melahirkan pelajar yang mempunyai 9A secara konsisten setiap tahun. Impak kejayaan-kejayaan ini menyebabkan pelajar-pelajar akan menyambung pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi seperti Kolej Matrikulasi, Kolej Asasi, IPTA, IPTS dan juga Institut Pengajian Luar Negara seperti di Mesir dan Jordan. Setiap tahun SMA MAIWPL tidak ketandusan pelajar yang akan menyambung pengajian ke Timur Tengah.

Calon Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2021, Cikgu Mohd Hasnizan

Semua kejayaan ini bukanlah kejayaan beliau seorang sahaja malah dibantu oleh semua warga pendidik SMA MAIWPL yang berada di bawah bimbingan dan penyeliaan beliau scara konsisten. Beliau juga amat menitikberatkan kemenjadian pelajar dari segi akhlak, disiplin dan kepimpinan. Semua pelajar sentiasa disarankan mempunyai sikap keyakinan diri yang tinggi dan semangat ingin mencuba dalam semua perkara yang positif. 

Beliau banyak memberi galakkan kepada semua pelajar untuk berani mencuba dan memberi peluang sama rata dengan seluas-luasnya kepada semua pelajar untuk menerokai bidang kepimpinan samada di sekolah mahupun di asrama.

Kata Cikgu Mohd Hasnizan, "Harapan saya terhadap guru adalah sentiasa mencari ilmu pengetahuan dan kemahiran mengajar yang efisyen, bersatu secara berpasukan menjalankan tanggungjawab, berintegriti dengan ilmu pengetahuan, berdisiplin menguruskan masa, sentiasa menjadi role model terbaik pada semua pelajar, sentiasa merebut peluang pelbagai kejayaan secara individu atau berkumpulan, sentiasa mendampingi komuniti masyarakat setempat dan sentiasa menjaga kebajikan setiap anak murid."

Sambungnya lagi, "Saya berharap murid sentiasa menghormati guru, ibu bapa dan masyarakat, berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap matapelajaran, mengekalkan tahap disiplin yang tinggi, sentiasa menyemaikan jati diri, berkarisma dalam kepimpinan, meningkatkan kualiti ibadah, mengamalkan ilmu pengetahuan yang ada dalam kehidupan seharian dan sentiasa berkeinginan mencipta ruang kejayaan dalam pelbagai dimensi."

Cikgu Mohd Hasnizan Memperkenalkan IHES yang Pertama di W.P Labuan

Cikgu Mohd Hasnizan telah membawa dan memperkenalkan Integrated Holistic Education System (IHES) yang pertama di W.P Labuan dan dijadikan modul utama pembentukan sahsiah dan jati diri bagi semua pelajar-pelajar SMA MAIWPL.

Kejayaan ko-kurikulum dan extra ko-kurikulum merupakan matlamat utama keseimbangan kejayaan setiap pelajar di bawah kepimpinan beliau. Pelbagai kejayaan telah dicapai sama ada di peringkat sekolah-sekolah menengah di W.P Labuan, peringkat negeri, kebangsaan dan juga antarabangsa. Pelbagai koleksi himpunan piala, medal, sijil kemenangan berjaya dikumpulkan setiap tahun dan tersergam disusun di ruang galeri kejayaan SMA MAIWPL.

Calon Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2021, Cikgu Mohd Hasnizan

Calon Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2021, Cikgu Mohd Hasnizan

Selain itu beliau juga amat menekankan penghayatan berjinak-jinak dengan pelbagai aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Beliau juga amat aktif dan mempunyai “keistimewaan aura tersendiri” dikalangan masyarakat W.P Labuan. Beliau juga pernah dan turut memegang beberapa jawatan utama di W.P Labuan termasuk Bendahari Kehormat Jawatankuasa Ahli Majlis, Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan,Yang Di-Pertua PIBG, Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang, Pengerusi Jawatankuasa Sukan Institusi-Institusi Agama W.P Labuan dan sebagainya.

Peristiwa Menyentuh Hati Sepanjang Perkhidmatan di SMA MAIWPL

"Sepanjang saya mengenali dan mendekati beliau sama ada dalam dan di luar sekolah, banyak kenangan dan peristiwa yang amat menyentuh hati dan saya serta kebanyakkan rakan-rakan yang lain menyuarakan perasaan yang sama iaitu terinspirasi dengan tindakan dan usaha yang dilakukan oleh beliau," kata rakan seperjuangannya Cikgu Muhammad Yatim.

"Dengan pencapaian, kredibiliti dan karisma kepimpinan beliau di atas, saya amat yakin bahawa beliau layak dipertimbangkan sebagai calon ikon “Cikgu Luar Biasa” bagi Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2021," kata Cikgu Muhammad Yatim lagi.

Antara peristiwa yang menyentuh hati :

#1 Pertandingan Majlis Tadarus Al-Quran

Tindakan beliau yang pantas bagi menyelesaikan permasalahan di mana seramai 7 orang pelajar SMA MAIWPL yang mewakili negeri W.P Labuan ke Pertandingan Majlis Tadarus Al-Quran Sekolah-Sekolah Menengah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Kebangsaan pada tahun 2014 telah terlepas menaiki jadual penerbangan asal kerana terdapat kesilapan teknikal yang tidak dapat dielakkan. Melihat kepada kesuntukan masa yang tinggal dan tiada lagi jadual penerbangan pesawat daripada Labuan ke Kuala Lumpur pada hari tersebut.

Memandangkan pagi esok akan bermula acara pertandingan, guru ini telah memberi idea supaya pelajar-pelajar ini menggunakan jalan laut dan darat untuk pergi ke Kota Kinabalu, Sabah dan dari situ akan bergerak ke Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah.

Memandangkan kos semakin bertambah, guru ini telah mengeluarkan semua perbelanjaan perjalanan laut dan darat ini menggunakan kad kredit beliau dianggarkan berjumlah RM 6,000.00. Kesemua kos ini ditanggung penuh oleh beliau tanpa perlu diganti, malah beliau beranggapan itu adalah sebagai amalan bersedekah daripada beliau kerana mengharumkan nama SMA MAIWPL di peringkat kebangsaan.

#2 Pelajar Nekad Melarikan Diri Dari Asrama. Ayahanda Menggunakan Pendekatan Secara Psikologi.

Semasa minggu pertama kemasukan pelajar baharu Tingkatan 1 ke asrama pada awal sesi persekolahan 2016. Tedapat seorang pelajar lelaki ini yang sentiasa murung dan sentiasa kelihatan sedih mulai dari hari pertama tinggal di asrama. Pelajar ini kerap menunggu di pintu utama pagar asrama setiap hari selepas balik daripada sesi persekolahan. Ramai pelajar senior dan warden mendekati pelajar ini untuk bertanya permasalahan utama pelajar ini. Namun pelajar ini tetap berdiam diri.

Cerita ini sampai ke pengetahuan “Ayahanda”. Beliau menggunakan pendekatan psikologi yang berbeza dengan membawa pelajar ini keluar daripada kawasan asrama seketika untuk mencari ketenangan dan membawa pelajar ini makan memandangkan pelajar ini tidak mempunyai selera makan beberapa hari semenjak duduk di asrama.

Akhirnya pelajar ini menceritakan segala permasalahannya kepada Ayahanda. Pelajar ini merasakan dirinya serba kekurangan dari segi persediaan kelengkapan pakaian dan pembelajaran disebabkan permasalahan kewangan keluarga pelajar ini. Pelajar ini tidak mempunyai bapa kerana telah meninggal dunia, manakala ibunya seorang yang bertugas sebagai pembantu tukang masak di restoran masakan yang memiliki pendapatan yang rendah. Manakala pelajar ini merupakan anak sulung daripada 6 orang adik beradik.

Disebabkan kurang keyakinan diri dan merasai bahawa serba kekurangan berbanding rakan-rakan sebaya yang lain, pelajar ini nekad untuk melarikan diri daripada asrama.

Kepantasan Ayahanda bertindak dengan membawa pelajar ini untuk memenuhi segala kekurangan persediaan kelengkapan pakaian dan pembelajaran dengan menggunakan kewangan peribadi Ayahanda sendiri bagi membantu meringankan beban keluarga pelajar ini.

“Jika kita diuji dengan sedikit kelebihan, jangan kita lupa untuk membantu bagi mereka yang memerlukan,” kata Cikgu Mohd Hasnizan.


#3 Membelanjakan Duitnya Sendiri Sejumlah RM12,500 kerana Mencabar Pelajar!

Cikgu Mohd Hasnizan telah mencabar calon-calon SPM pada tahun 2016 dan 2017. Tujuan awal cabaran ini dilontarkan disebabkan keputusan peperiksaan percubaan SPM yang kurang memberangsangkan pada masa tersebut.

Khuatir dengan perkembangan ini, guru ini telah mencabar kepada semua calon yang dapat memperolehi keputusan 5A ke atas akan memperolehi ganjaran sebanyak RM 500.00 daripada sumbangan peribadi melalui duit gaji beliau sendiri.

Keputusannya, SPM sebenar telah berlaku peningkatan peningkatan pada kedua-dua tahun tersebut. Seramai 8 orang (calon SPM 2016) dan seramai 17 orang (calon SPM 2017) menjadikan 25 orang telah menerima sumbangan RM 500.00 setiap orang atas kejayaan ini. Bermakna guru ini telah membelanjakan sebanyak RM 12,500.00 daripada sumbangan gaji beliau kepada kejayaan pelajar-pelajar ini.

#4 Ayahanda Berunding Dengan Agensi Berkuasa Tempatan dan Negeri untuk Membawa Pulang Pelajar

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun 2020 dikuatkuasakan dimana sesi sekolah telah kembali dibuka mulai bulan Julai hingga November 2020. Permasalahan utama ketika ini adalah untuk membawa pulang pelajar-pelajar Sabah dan Sarawak seramai 32 orang untuk merentasi negeri bagi pulang menghabiskan cuti persekolahan akhir tahun 2020.

Kerumitan ini disebabkan prosedur yang berbeza bagi kemasukkan orang luar ke Sabah dan Sarawak. Negeri Sarawak mengenakan amalan prosedur yang ketat untuk memasuki negeri tersebut. Oleh yang demikian pelajar-pelajar SMA MAIWPL terkandas di W.P Labuan selama hampir 2 minggu.

Memandangkan pengangkutan awam laut dan darat tidak beroperasi seperti biasa. Ini merumitkan lagi keadaan. Akhirnya guru ini cuba mencari solusi secara rundingan di atas meja melibatkan beberapa agensi-agensi berkuasa tempatan dan negeri dan akhirnya berjaya menyelesaikan permasalahan ini secara penyelarasan kerjasama. Semua ini dimulakan dengan pengorbanan usaha beliau untuk membantu kebajikan pelajar-pelajar sentiasa terjaga.

Calon Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2021, Cikgu Mohd Hasnizan

Calon Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2021, Cikgu Mohd Hasnizan

Sempat Memberikan Motivasi Kepada Calon SPM Sebelum Menghabiskan Masanya di Hospital

Pada awal bulan Mac yang lalu, Cikgu Mohd Hasnizan telah dikejarkan ke Wad Kecemasan di Hospital Labuan sebanyak 2 kali. Beliau mengidap sakit tulang belakang (slip disc) daripada tahun 2007 lagi. Namun kecekalan beliau melawan penyakit ini selama 14 tahun dan menanggung kesakitan berpanjangan tanpa dimaklumkan kepada sesiapa.

Pada masa itu, Cikgu Mohd Hasnizan sempat melihat calon-calon peperiksaan SPM batch 2020 untuk 3 matapelajaran sahaja. Selebihnya guru ini menghabiskan masanya menerima rawatan di hospital. Guru ini juga sempat memberi suntikan motivasi kali terakhir kepada semua calon-calon SPM di SMA MAIWPL. Semua guru dan pelajar terkesan dan sedih setelah mendapat tahu guru ini akan melakukan pembedahan bila-bila masa daripada sekarang.

"Saya dan semua warga SMA MAIWP Labuan serta komuniti setempat sentiasa mendoakan agar guru ini pulih kembali dan dipermudahkan segala urusan beliau dan keluarga beliau," kata Cikgu Yatim.

Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2021 (AGI 2021)

Untuk pengetahuan korang, Anugerah Guru Inspirasi McDonalds ini telah diwujudkan bagi menghargai jasa-jasa guru yang tidak jemu membimbing anak-anak murid. Ini merupakan tahun yang kelima anugerah ini telah diwujudkan.

Calon Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2021, Cikgu Mohd Hasnizan

25 orang guru yang terpilih daripada ribuan pencalonan akan menerima wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penghargaan.

#AnugerahGuruInspirasiMcDonalds2021
#AnugerahGuruInspirasi2021 
 #HariGuruMcD 
#TerimaKasihCikgu 
#CikguLuarBiasa


Catat Ulasan

2Ulasan

Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.

Catat Ulasan

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Accept !