Kanak-Kanak Sekolah Tunas Bakti Layak Diberi Peluang Kedua

Assalamualaikum
Bismillah


Cerita ini dah lama dalam draft cuma baru hari ini terasa ingin berkongsi sebuah pengalaman ketika mengikuti Program Sehari Bersama Kanak-Kanak di Sekolah Tunas Bakti di Kota Kanibalu. Mungkin ada yang tidak tahu apa itu Sekolah Tunas Bakti.
Sekolah Tunas Bakti adalah institusi Sekolah Diluluskan bagi pendidikan, latihan dan penahanan kanak-kanak yang ditubuhkan atau ditetapkan di bawah seksyen 65 Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana bertujuan untuk memberi pemulihan kepada kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah dan tidak terkawal serta mendidik kanak-kanak membina sikap positif, membentuk peribadi yang kukuh dan melengkapkan diri dengan ketrampilan bagi membolehkan mereka hidup berdikari dalam masyarakat. - Jabatan Kebajikan Masyarakat
Biasanya kanak-kanak yang dihantar ke Sekolah Tunas Bakti disebabkan oleh permintaan ibu bapa itu sendiri yang mungkin tidak dapat mengawal anak-anak mereka, kanak-kanak yang didapati bersalah sekiranya melakukan jenayah, ibu atau bapa atau penjaga tidak lagi dapat menjalankan atau tidak berupaya untuk menjalankan apa-apa kawalan yang sepatutnya, dan kanak-kanak yang memerlukan pemulihan akhlak. Mereka akan menjalani pemulihan ini selama tempoh 3 tahun.

Program ini merupakan program kedua selepas Program Lawatan Ke Rumah Kanak-Kanak. Aku suka berkongsi tentang pengalaman, perasaan dan apa yang aku alami sepanjang “Program Sehari Bersama Kanak-Kanak”.


Setiap semester Kelab Kanak-Kanak & Keluarga akan mengadakan Program Sehari Bersama Kanak-Kanak yang mana merupakan aktiviti wajib kelab kami. Semasa mengikuti program ini, aku sedar ada kala mereka cuma perlukan seseorang untuk mendengar cerita & luahan mereka. Sedangkan kita nie setiap kali ada masalah pasti akan cari seseorang untuk meluah. Walaupun begitu aku yakin “ALLAH sentiasa ada buat mereka”

Apa yang aku lihat semasa program, mereka kurang yakin dengan diri sendiri sehinggakan takut untuk meluahkan apa yang tersirat di hati. Mereka masih lagi di hantui oleh masa silam mereka. Mereka beranggapan sekali bersalah, seumur hiduplah bersalah. Perasaan inilah yang meruntuhkan semangat mereka untuk menjadi insan yang berguna pada masa akan datang. 

Setiap manusia boleh berubah tapi ianya memerlukan masa, masa dan masa. Setiap orang layak diberi peluang kedua, oleh itu jangan sia-sia peluang yang ada di depan mata. Begitu juga dengan Kanak-Kanak Sekolah Tunas Bakti mereka layak diberi peluang kedua. Siapa kita untuk menghukum kesalahan lalu mereka?

Apa yang menarik bagi aku ketika aktiviti "Tree of Life" di situ, kami memberi peluang kepada para pelajar ataupun pelatih untuk menceritakan masalah mereka lalui, impian mereka & cara untuk mengejar impian mereka. Dan ada sorang pelajar itu dengan berani & jujurnya bahawa dia amat merindui ibunya. Dia sangat menyesal atas perbuatan menampar ibunya sendiri disebabkan TELEFON. Dan ... kisah itu dah berlalu lama dah, dia menyesal. Tapi penyesalan itu tidak hilang, kerana sekarang ibunya berada di hospital kerana sakit. Allahu...

Ada lagi aktiviti yang dijalankan untuk meguji kerjasama antara mereka serta mengasah kreativiti. Dengan menyuruh mereka membuat yell atau sorakan semangat untuk kumpulan, serta lukis logo kumpulan, membuat menara atau tugu. Ya Allah, rindunya.. terasa sekejap sahaja masa berlalu. Dan masa satu hari, banyak ilmu & pengalaman yang diperoleh.

Aktiviti yang dijalankan sama seperti program lepas, cuma ada sedikit tambahan iaitu "SURAT BUAT DIRIKU". Susah sebenarnya untuk kita ceritakan pengalaman kita kepada orang lain, apatah lagi pengalaman yang kita lalui itu PERIT UNTUK DITELAN. Malah kalau boleh tak mahu pun ingat. Dan kami menyuruh mereka untuk menulis surat kepada diri sendiri, boleh dikatakan sebagai ikrar jugalah. Dan di sinilah aku tidak dapat menahan sebak, apabila tidak tersengaja sekilas pandang, salah satu daripada ahli kumpulan aku menulis tentang aku.
Katanya.." Saya tidak pernah jumpa kakak seperti dia. Dan saya berharap dapat jumpa dia lagi"
Ya Allah sebak hati aku ketika itu. Dan tangannya tiba-tiba berhenti menulis.. mahu tahu kenapa? AIR MATANYA jatuh. Aku tahu sebab aku nampak dia lap air matanya dengan lengan baju yang dipakai sambil tunduk. Apabila aku mampu untuk membuat seorang kanak-kanak sebak macam tu, hanya Allah sahaja yang tahu betapa terharunya aku & bertuahnya diri kerana Allah bagi peluang untuk aku mengenalinya.

Aku tak mampu bantu apa-apa sepanjang program. Hanya tersenyum dan bagi kata-kata semangat sahaja. Alhamdulillah, aku diberi peluang untuk bercerita tentang kisah serta pengalaman hidup aku dengan mereka walaupun sedikit. Mereka sangat teruja dengar aku bercerita, kalau boleh semua kisah jatuh bangun aku mereka mahu tahu.
Hope that the boys there will learn from their past mistake, behave well, and be a good person when entering the society in the coming future. And also hope that the society will once again forgive on what they had done in the past, and nurture them to become a person who will benefit the society.
It was the best experience ever. Thank Allah for gave us all this opportunity♥