Aduan Penderaan dan Pengabaian Kanak-Kanak

Assalamualaikum
Bismillah

Kebelakangan ini terlalu banyak kisah yang melibatkan penderaan kanak-kanak seperti kisah adik Bella dan terbaru pula adik Alia. Aku rasa sedih sangat-sangat kerana tergamak sungguh mereka mendera kanak-kanak yang tidak berdosa. 

Oleh itu, apa peranan kita sebagai seorang masyarakat yang prihatin terhadap kes yang melibatkan penderaan kanak-kanak? 

Kita mungkin tidak pernah melihat kanak-kanak didera. Tetapi sekiranya kita menjadi saksi kes penderaan, ini adalah salah satu cara yang boleh dilakukan oleh orang ramai untuk melakukan aduan berkenaan penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

Aduan Penderaan dan Pengabaian Kanak-Kanak

Bagaimana aduan penderaan dan pengabaian kanak-kanak boleh dilakukan oleh orang ramai?

  • Melaporkan kes penderaan kepada JKM/Polis.

  • Pelaporan kes penderaan boleh dibuat kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang berdekatan dengan tempat tinggal atau membuat aduan melalui Talian Kasih 15999; ATAU Whatsapp 019-26 15999.

  • Aduan penderaan kanak-kanak boleh dilakukan melalui Twitter, Facebook KPWKM, JKM; Instagram


Prosedur penerimaan aduan & tindakan

  • Terima laporan atau aduan penderaan samada melalui media/Talian Kasih/surat/telefon/hospital.

  • Membuat lawatan ke rumah/hospital.

  • Pengenalpastian kes penderaan.

  • Sekiranya penderaan tidak serius terus penyeliaan kes tersebut dan memberikan khidmat kaunseling dan bimbingan.

  • Sekiranya penderaan yang serius seperti seksual, fizikal atau emosi maka kanak-kanak dibawa ke hospital bagi pemeriksaan perubatan serta rawatan perubatan.

  • Membuat laporan polis sekiranya tidak dibuat oleh ahli keluarga atau pun doktor.

  • Selepas kanak-kanak telah menjalani rawatan perubatan atau selesaikan pemeriksaan oleh doktor dan telah disahkan oleh pegawai perubatan serta selesai perubatan yang mana kanak-kanak boleh keluar daripada hospital, Pelindung membawa kanak-kanak ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak untuk mendapat perintah sementara bagi penempatan sementara di Rumah Kanak-Kanak atau di bawah orang yang layak dan sesuai (OYLS) bagi tempoh sebulan.

  • Sementara penempatan kanak-kanak samada RKK atau OYLS, pelindung akan menjalankan suatu siasatan bagi penyediaan Laporan Pelindung untuk tujuan dikemukakan semula ke MBKK bagi perintah tetap penempatan kanak-kanak.

  • Semasa tarikh prosiding mahkamah, Pelindung akan membentangkan Laporan Pelindung serta syor penempatan kanak-kanak kepada Majistret MBKK untuk mengeluarkan suatu perintah.

  • Perintah Tetap MBKK boleh menempatkan kanak-kanak di bawah opsyen seperti berikut:
    - Ibubapa atau penjaga dikenakan bon serta perintah menghadiri bengkel interaktif.
    - Orang Layak dan Sesuai (OYLS)
    - Ibubapa pelihara
    - Penempatan di Pusat
    - Institusi Kanak-Kanak.

  • Penyeliaan akan dilakukan oleh Pelindung dari semasa ke semasa selepas perintah mahkamah dikeluarkan.

Kategori Penderaan dan Pengabaian Kanak-Kanak

  • Penderaan fizikal
  • Penderaan seksual
  • Penderaan emosi
  • Pengabaian kanak-kanak (emosi, fizikal, kognitif)
  • Pengemisan kanak-kanak
  • Meninggalkan kanak-kanak tanpa penjagaan dalam tempoh masa yang lama

Hukuman terhadap sabitan kesalahan penderaan dan pengabaian kanak-kanak

Bagi pelaku kesalahan jenayah penderaan kanak-kanak sekiranya disabitkan dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya serta sebagai tambahan kepada hukuman tersebut melaksanakan khidmat masyarakat tidak boleh kurang daripada 36 jam dan tidak lebih 240 jam yang perlu dilaksankan dalam tempoh tidak melebihi 6 bulan.