KEUTAMAAN SEDIKIT ANGAN-ANGAN (Kategori Manusia Berkaitan Dengan Angan-Angan)

Assalamualaikum
Bismillah


BAB II : KEUTAMAAN SEDIKIT ANGAN-ANGAN (Kategori Manusia Berkaitan Dengan Angan-Angan) 

Ketahuilah bahawa berkaitan dengan angan-angan ini dalam menhadapinya manusia yang memilikinya terbahagi kepada beberapa tingkatan.

1. Antara mereka ada orang yang berharap dapat hidup abadi di dunia dan menikmatinya untuk selama-lamanya. Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah Ayat 96, "Masing-masing mereka ingin diberi umur seribu tahun." 

2. Ada juga orang berharap agar dapat hidup sampai lanjut usia semaksimal mungkin. Inilah jenis orang yang sangat mencintai dunia.

Terhadap golongan ini Rasulullah saw bersabda : "Dalam hal kecintaan mencari kesenangan duniawi, seorang tua menjadi muda kembali, sekalipun tulang lehernya sudah bengkok dimakan usia. Kecuali orang yang bertakwa, dan jumlah mereka ini sedikit."

3. Ada pula orang yang berharap dapat hidup setahun sahaja, sehingga dia enggan memikirkan yang lain-lain, kerana dia yakin bahawa tahun depan dia sudah tidak ada di dunia. Pada musim panas dia selalu dalam keadaan siap siaga menghadapi musim dingin, dan begitu juga sebaliknya. 

Dan jika sudah berhasil mengumpulkan bekalan keperluan hidupnya untuk selama waktu setahun, lalu dia hanya tumpukan untuk beribadah (hablul minallah) sahaja.

4. Antara mereka ada juga orang yang hanya berharap masih boleh hidup beberapa waktu saja pada musim panas atau musim dingin, sehingga pada musim panas dia tidak perlu menyimpan pakaian untuk musim dingin dan pada musim dingin dia tidak perlu menyimpan pakaian untuk musim panas.

5. Ada juga golongan yang hanya berharap untuk dapat hidup sehari semalam saja. Orang seperti ini hanya menyiapkan diri untuk waktu sehari sahaja bukan untuk esoknya.

6. Ada juga orang yang mengira usianya tidak lebih dari satu jam saja sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi saw : " Wahai Abdullah, jika kamu berada pada waktu pagi hari, jangan kamu berfikir tentang waktu petang hari. Dan jika kamu berada pada waktu petang hari, jangan kamu berfikir tentang waktu pagi hari."

7. Antara mereka ada pula orang yang merasa yakin bahawa usianya hanya tinggal satu saat sahaja. 

Seperti mana Rasulullah saw melakukan tayamum meskipun Baginda mampu mendapatkan air tidak lama lagi. Sabda Baginda : "Boleh jadi aku sudah tidak sempat mendapatkannya nanti."

8. Antara mereka ada juga orang yang merasakan kematian sudah berada di depan matanya. Bahkan seolah-olah kematian sedang menghampirinya, sehingga dia hanya tinggal menunggu sahaja. Orang seperti inilah yang selalu melakukan solat seakan-akan itu solat terakhir baginya. 

Itulah antara tingkatan-tingkatan manusia berkaitan dengan mengingati mati. Masing-masing mempunyai tingkatan di hadapan Allah. Orang yang merasakan harapannya hanya selama waktu satu bulan, tidak seperti orang yang harapannya masih selama satu bulan satu hari.

Allah berfirman : "Barangsiapa yang berbuat kebaikan  walaupun seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasannya." (Surah 99, al-Zalzalah : 7)

__________


Kesimpulannya....

Pengaruh dari sedikitnya angan-angan itu akan nampak pada sikap bergegas untuk melakukan amal kebajikan. 

Tanda bahawa  seseorang itu memperoleh pertolongan dari Allah ialah kalau dia merasa yakin kematian sudah berada di depan matanya, sehingga dia tidak akan lalai darinya walau sesaat pun. Oleh kerana itu, dia selalu siap menghadapi kematian itu bila-bila masa sahaja datang kepadanya. 

Kalau nyata dia dapat bertahan hidup sampai petang hari dia merasa bersyukur kepada Allah Taala dengan cara semakin rajin taat kepada-Nya. Dia merasa bahagia kerana tidak mensia-siakan waktu siangnya sebab dia telah memanfaatkannya sebaik mungkin sebagai simpanan bagi dirinya di akhirat nanti. 

Kemudian dia akan berbuat yang sama sampai pagi hari. Demikian seterusnya. Baginya kematian adalah kebahagiaan dan hidup adalah kesempatan untuk menambah amal kebajikan.

__________


Petikan daripada Buku "Menyingkap Rahsia Hakikat Kehidupan Sejati | Imam Al-Ghazali" Terjemahan oleh Abu Ahmadain - al Mujahiri.


1 Ulasan

Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.

Catat Ulasan

Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.

Terbaru Lebih lama