Bulan Ramadan adalah bulan yang mulia dan sinonim dengan amalan membaca al-Quran. Ramai yang berusaha mengkhatamkan al-Quran sepanjang bulan ini kerana ingin meraih keberkatan.
Namun, timbul persoalan: adakah wajib khatam al-Quran di bulan Ramadan? Dalam artikel ini, aku akan kupas persoalan ini berdasarkan Mufti Wilayah.
Hukum Khatam al-Quran di Bulan Ramadan
Mengkhatamkan al-Quran di bulan Ramadan adalah SUNAT dan bukanlah suatu kewajiban. Walaupun begitu, ia sangat digalakkan kerana merupakan amalan sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW dan para salafussoleh.
Menurut Syeikh Nawawi al-Jawi dalam Nihayat al-Zain fi Irsyad al-Mubtadiin:
“Sunat puasa ke-9: Mengkhatamkan al-Quran di keseluruhan bulan Ramadan.”
Maka, sekiranya seseorang tidak dapat mengkhatamkan al-Quran dalam bulan ini, dia TIDAK BERDOSA. Namun, dia terlepas banyak kebaikan dan kelebihan yang dijanjikan Allah SWT.
Dalil Kelebihan Membaca al-Quran di Bulan Ramadan
Al-Quran Diturunkan pada Bulan Ramadan
Firman Allah SWT:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ
Maksudnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (Surah al-Baqarah: 185)
Ayat ini menunjukkan betapa eratnya hubungan antara al-Quran dan bulan Ramadan.
Ganjaran Amalan Berlipat Ganda
Membaca al-Quran termasuk dalam amalan yang digandakan pahalanya.
Sabda Rasulullah SAW:
كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ . وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ
Maksudnya: Setiap amalan anak Adam akan digandakan pahalanya sebanyak sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda. Allah SWT berfirman: Kecuali puasa, sesungguhnya ia milik Aku dan Aku yang akan membalasnya. Orang yang berpuasa meninggalkan nafsu syahwat dan makannya kerana-Ku. Orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan Kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih wangi di sisi Allah berbanding kasturi. (Riwayat Muslim)
Tadarus Bersama Jibril AS
Rasulullah SAW bertadarus al-Quran bersama Jibril AS setiap malam Ramadan. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya memperbanyakkan bacaan al-Quran di bulan ini. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA, bahawa beliau berkata:
كانَ رَسولُ اللَّهِ ﷺ أجْوَدَ النّاسِ، وكانَ أجْوَدُ ما يَكونُ في رَمَضانَ حِينَ يَلْقاهُ جِبْرِيلُ، وكانَ جِبْرِيلُ يَلْقاهُ في كُلِّ لَيْلَةٍ مِن رَمَضانَ، فيُدارِسُهُ القُرْآنَ، فَلَرَسولُ اللَّهِ ﷺ حِينَ يَلْقاهُ جِبْرِيلُ أجْوَدُ بالخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ المُرْسَلَةِ
Maksudnya: Rasulullah SAW adalah manusia yang paling pemurah (banyak bersedekah) terutama di bulan Ramadan ketika malaikat Jibril AS menemuinya. Jibril AS datang kepada Baginda SAW setiap malam di bulan Ramadan, lalu mereka saling bertadarus al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah SAW orang yang paling pemurah dengan kebaikan (kepada orang yang memerlukan) lebih laju daripada tiupan angin. Riwayat al-Bukhari (3220)
Adakah Wajib Khatam Setahun Sekali?
Tidak terdapat dalil yang mewajibkan umat Islam mengkhatamkan al-Quran sekali setahun. Namun, terdapat anjuran untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran. Mengikut hadis:
"Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka baginya satu kebaikan. Dan satu kebaikan itu digandakan sepuluh kali ganda."(Riwayat at-Tirmizi)
Maka, khatam al-Quran setahun sekali adalah amalan yang baik tetapi bukan kewajiban.
Cara Mudah Khatam al-Quran di Bulan Ramadan
1. Baca 4 Muka Surat Selepas Setiap Solat Fardu
Jika konsisten, kita akan khatam 30 juzuk dalam masa 30 hari.
2. Gunakan Aplikasi Al-Quran
Aplikasi ini memudahkan kita menyimpan tanda baca dan mengingatkan untuk konsisten. Antara aplikasi yang aku gunakan ialah Quran Majeed.
3. Tadarus Bersama Keluarga atau Rakan
Boleh meningkatkan semangat dan saling memperbetulkan bacaan.
Walaupun tidak wajib, mengkhatamkan al-Quran di bulan Ramadan sangat digalakkan. Semoga artikel ini dapat memberikan pencerahan dan motivasi kepada kita semua untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran.
Korang khatam al-Quran di bulan Ramadan tak? Kongsikan pengalaman di ruangan komen!
SUMBER RUJUKAN: IRSYAD FATWA KHAS RAMADAN SIRI KE-178 : ADAKAH TUNTUTAN UNTUK MENGKHATAMKAN AL-QURAN DI BULAN RAMADAN?
Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.