Salam Israk dan Mikraj 2023

Sii Nurul
By -
0
Assalamualaikum
Bismillah

Di antara peristiwa yang sering terjadi perdebatan adalah peristiwa Isra’ dan Mikraj. Pada asasnya, peristiwa Isra’ dan Mi’raj diceritakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. 

Peristiwa ini bukan sahaja berlaku dengan roh Nabi SAW semata-mata seperti mana yang didakwa oleh sebahagian pihak, namun ia juga berlaku pada roh dan jasad Firman Allah :

سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ
Maksudnya : “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Isra’ : Ayat 1)
Salam Israk dan Mikraj 2023

Imam Al-Tabari menyebut di dalam tafsirnya  menyebut tentang pandangan-pandangan bagaimana sifat Israk dan Mi’raj Nabi SAW. Ada yang menyebut bahawa israk dan mikraj Nabi SAW berlaku dengan roh dan jasad. Ada juga yang berpandangan bahawa peristiwa Israk dan Mi’raj berlaku hanya dengan roh.

Imam Al-Tabari memilih pandangan bahawa Israk dan Mi’raj berlaku dengan jasad dan roh Nabi SAW. 

Beliau berkata, sesungguhnya Allah SWT memperjalankan hambanya iaitu Nabi Muhammad SAW daripada Masjidil Haram menuju ke Masjidil Aqsa seperti mana yang telah diberitahu oleh Allah dan apa yang zahir yang telah disebutkan oleh Nabi SAW. Allah SWT memperjalankan Nabi dengan menyediakan Buraq dan solat di mana tempat para Nabi dan Rasul terdahulu solat. Baginda SAW juga melihat beberapa tanda-tanda kebesaran. Oleh kerana itu, tidak benar jika ada yang mengatakan bahawa perjalanan Israk dan Mi’raj hanya berlaku degan roh. Bahkan yang benar perjalanan tersebut berlaku dengan roh dan juga jasad. Jika perjalanan tersebut hanya berlaku dengan roh sahaja sudah pasti ianya tidak akan menjadi dalil akan kenabian dan kerasulan Nabi SAW. Bahkan tidak mungkin menjadi hujah bagi risalah yang dibawa oleh Baginda. (Rujuk Jami’ Al-Bayan Fi Ta’wil Ayi Al-Quran, 4/446).

Sheikh Tohir Bin ‘Asyur menyebut bahawa perjalanan Israk dan Mi’raj adalah merupakan peristiwa yang mencarik adat (satu mukjizat) yang mana perjalanannya dari awal sehinggalah akhir hanya memakan masa sebahagian malam. (Rujuk Tahrir Al-Ma’na Al-Sadid Wa Tanwir Al-‘Aql Al-Jadid Fi Tafsir Al-Quran Al-Majid, 14/10).

Bahkan  peristiwa ini adalah merupakan satu ujian  kepada orang yang mengaku beriman kepada Nabi SAW. Sama ada mereka betul-betul beriman ataupun tidak. Ini dinyatakan oleh Allah SWT :

وَمَا جَعَلْنَا ٱلرُّءْيَا ٱلَّتِىٓ أَرَيْنَـٰكَ إِلَّا فِتْنَةً لِّلنَّاسِ وَٱلشَّجَرَةَ ٱلْمَلْعُونَةَ فِى ٱلْقُرْءَانِ ۚ وَنُخَوِّفُهُمْ فَمَا يَزِيدُهُمْ إِلَّا طُغْيَـٰنًا كَبِيرًا
Maksudnya : “Dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau.” (Surah Al-Isra’ : Ayat 60)

Sheikh Amin Al-Syanqiti menyebut bahawa Allah menjadikan apa yang diperlihatkan kepada Nabi SAW daripada perkara dan peristiwa yang pelik dan ajaib pada malam Israk dan Mi’raj adalah sebagai satu ujian kepada orang ramai. 
Ini kerana ada di antara yang tidak langsung mempercayai apa yang dikhabarkan oleh Nabi SAW.  Ada yang mengatakan bahawa ianya tidak mungkin berlaku. Mereka mengatakan juga bagaiman mungkin Baginda solat di Baitul Maqdis dan pergi ke tujuh tingkatan langit serta melihat keseluruhannya pada satu malam sahaja kemudian pada waktu pagi berada di Mekah. Inilah satu ujian kepada mereka yang ragu-ragu. (Rujuk Adwa’ Al-Bayan Fi Idhah Al-Quran Bi Al-Quran, 3/236).

Tambahan pula, kisah peristiwa Israk dan Mi’raj adalah kisah yang mutawatir yang tidak boleh disangkal lagi. 

Sheikh Amin Al-Syanqiti menyebut peristiwa berkenaan Israk dan Mi’raj adalah kisah yang mutawatir.(Rujuk Adwa’ A-Bayan Fi Idhah Al-Quran Bi Al-Quran,3/101). 

Ini bermakna sesiapa yang menyangkal peristiwa  ini dia termasuk di dalam orang yang kufur.  Bahkan Allah SWT menyangkal orang yang menafikan peristiwa ini. Firman Allah SWT :

أَفَتُمَـٰرُونَهُۥ عَلَىٰ مَا يَرَىٰ
Maksudnya : “Jika demikian, patutkah kamu hendak membantahnya mengenai apa yang telah dilihatnya itu?” (Surah Al-Najm : Ayat 12)

Peristiwa Penting Israk & Mikraj Tentang Perintah Solat

Di antara peristiwa penting yang berlaku di dalam Israk dan Mi’raj ialah perintah solat secara khusus. 

Kisah ini diceritakan di dalam hadis sahih berkenaan Israk Mi’raj yang panjang. Kata Anas Bin Malik bahawa ketika Nabi SAW menceritakan tentang peristiwa isra’ dan mi’raj, Baginda menyebut juga :

ثُمَّ فُرِضَتْ عَلَيَّ الصَّلَوَاتُ (الصَّلَاةُ) خَمْسِينَ صَلَاةً كُلَّ يَوْمٍ فَرَجَعْتُ فَمَرَرْتُ عَلَى مُوسَى فَقَالَ بِمَ (بِمَا) أُمِرْتَ قَالَ أُمِرْتُ بِخَمْسِينَ صَلَاةً كُلَّ يَوْمٍ قَالَ إِنَّ أُمَّتَكَ لَا تَسْتَطِيعُ خَمْسِينَ صَلَاةً كُلَّ يَوْمٍ وَإِنِّي وَاللهِ قَدْ جَرَّبْتُ النَّاسَ قَبْلَكَ وَعَالَجْتُ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَشَدَّ الْمُعَالَجَةِ فَارْجِعْ إِلَى رَبِّكَ فَاسْأَلْهُ التَّخْفِيفَ لِأُمَّتِكَ فَرَجَعْتُ فَوَضَعَ عَنِّي عَشْرًا فَرَجَعْتُ إِلَى مُوسَى فَقَالَ مِثْلَهُ فَرَجَعْتُ فَوَضَعَ عَنِّي عَشْرًا فَرَجَعْتُ إِلَى مُوسَى فَقَالَ مِثْلَهُ فَرَجَعْتُ فَوَضَعَ عَنِّي عَشْرًا فَرَجَعْتُ إِلَى مُوسَى فَقَالَ مِثْلَهُ فَرَجَعْتُ فَأُمِرْتُ بِعَشْرِ صَلَوَاتٍ كُلَّ يَوْمٍ فَرَجَعْتُ فَقَالَ مِثْلَهُ فَرَجَعْتُ فَأُمِرْتُ بِخَمْسِ صَلَوَاتٍ كُلَّ يَوْمٍ فَرَجَعْتُ إِلَى مُوسَى فَقَالَ بِمَ (بِمَا) أُمِرْتَ قُلْتُ أُمِرْتُ بِخَمْسِ صَلَوَاتٍ كُلَّ يَوْمٍ قَالَ إِنَّ أُمَّتَكَ لَا تَسْتَطِيعُ خَمْسَ صَلَوَاتٍ كُلَّ يَوْمٍ وَإِنِّي قَدْ جَرَّبْتُ النَّاسَ قَبْلَكَ وَعَالَجْتُ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَشَدَّ الْمُعَالَجَةِ فَارْجِعْ إِلَى رَبِّكَ فَاسْأَلْهُ التَّخْفِيفَ لِأُمَّتِكَ قَالَ سَأَلْتُ رَبِّي حَتَّى اسْتَحْيَيْتُ وَلَكِنِّي (وَلَكِنْ) أَرْضَى وَأُسَلِّمُ قَالَ فَلَمَّا جَاوَزْتُ نَادَى مُنَادٍ أَمْضَيْتُ فَرِيضَتِي وَخَفَّفْتُ عَنْ عِبَادِي

Maksudnya : “ Kemudian diwajibkan ke atas aku 50 kali solat setiap waktu. Maka aku kembali dan melepasi Musa. Maka Nabi Musa bertanya apa yang telah diperintahkan terhadap engkau?. Nabi SAW menjawab : Aku diperintahkan dengan 50 kali solat pada setiap hari. Kata Nabi Musa : Sesungguhnya umat engkau tidak akan mampu untuk melakukan 50 kali solat pada setiap hari. Aku telah cuba pada orang sebelum engkau dan aku telah cuba dengan semaksimum mungkin pada  Bani Israil. Kembalilah semula pada Allah dan minta keringanan daripada-Nya untuk umatmu. Kata Nabi SAW : Maka aku kembali lalu Allah kurangkan sepuluh daripada jumlah yang diberikan. Nabi SAW menyebut : Lalu aku kembali kepada Nabi Musa dan Baginda sebut perkara yang sama. Lalu aku kembali kepada Allah dan Dia mengurangkan sepuluh lagi. Lalu aku kembali kepada Nabi Musa dan Baginda menyebutkan lagi perkara yang sama. Lalu aku kembali lagi kepada Allah dan Dia mengurangkan lagi sepuluh. Aku kembali kepada Nabi Musa dan Baginda menyebutkan perkara yang sama. Lalu aku kembali semula kepada Allah dan aku diperintahkan dengan 10 kali solat setiap hari. Aku kembali lagi dan Nabi Musa menyebut perkara yang sama. Aku kembali menemui Allah dan aku diperintahkan dengan solat 5 kali pada setiap hari. Maka aku kembali kepada Nabi Musa. Nabi Musa berkata : Wahai Muhammad, engkau diperintahkan dengan apa?. Kata Nabi SAW : Aku diperintahkan dengan solat 5 kali setiap hari. Nabi Musa berkata: Sesungguhnya umat engkau tidak akan mampu untuk melakukan 5 kali solat setiap hari. Aku telah cuba pada orang sebelum engkau dan aku telah cuba untuk melakukannya pada Bani Israil semaksimum mungkin. Kembalilah kepada Allah dan mintalah keringanan daripada-Nya untuk umatmu. Nabi SAW bersabda : Aku telah minta sehingga aku menjadi malu untuk meminta kurang akan tetapi aku redha dan aku berserah. Apabila aku berlalu ada suara yang menyeru : Aku telah jalankan kewajipanku dan Aku telah kurangkan bebanan hamba-Ku.” Riwayat Al-Bukhari (3887)

Potongan daripada hadis yang panjang ini menjelaskan bagaimana perintah solat 5 waktu sehari semalam diwajibkan.

Dari satu sudut yang lain, tidakkah ini menunjukkan hikmah daripada Allah bahawa pengurangan solat sehingga menjadi 5 waktu menjadikan agama ini mudah untuk diamalkan. Ini bertepatan dengan apa yang telah Allah SWT jelaskan di dalam Al-Quran :

مَا يُرِيدُ ٱللَّـهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ
Maksudnya : “Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan)” (Surah Al-Maidah : Ayat 6)

Di dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman :

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya : “Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.” (Surah Al-Hajj : Ayat 78)

Perkara ini dikuatkan lagi di dalam ayat yang lain. Firman Allah :

يُرِيدُ ٱللَّـهُ بِكُمُ ٱلْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلْعُسْرَ

Maksudnya : “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.” (Surah Al-Baqarah : Ayat 185)

Inilah di antara hikmah yang Allah SWT ingin tonjolkan iaitu menjadikan agama ini mudah untuk diamalkan dan tidak memberatkan. Bahkan menonjolkan sifat agama ini yang sentiasa menyenangkan bukan menyusahkan. 

Bayangkan jika solat 50 waktu dilaksanakan, sudah pasti akan mewujudkan perasaan yang berat di kalangan umat islam dan menyebabkan adanya kecuaian terhadap perintah-perintah lain khususnya mengimarahkan bumi. 

Pengurangan sehingga menjadi 5 kali solat setiap hari menjadikan umat Islam lebih produktif dan tidak ada alasan lagi untuk tidak melaksanakan perintah solat.

Rujukan :
  • TASHIH AL-MAFAHIM #17 : KISAH ISRAK DAN MI'RAJ PALSU KERANA MENZAHIRKAN KELEMAHAN NABI SAW?

Akhir kata, salam Israk dan Mikraj. Semoga Allah memberikan keberkatan dan kebahagiaan buat kita semua. Marilah sama-sama kita bersyukur kepada Allah atas segala nikmat dan rahmat yang diberikan.

Pada hari Israk dan Mikraj ini, marilah kita memohon keampunan Allah SWT dan bertekad untuk meningkatkan kualiti iman dan taqwa.


Tags:

Catat Ulasan

0Ulasan

Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.

Catat Ulasan (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!