10 Muharram (Hari Asyura) Kelebihan Berpuasa Muharram & Niat Puasa Hari Asyura

Assalamualaikum
Bismillah

10-muharram-hari-asyura

Kelebihan Berpuasa Muharram

Di antara kelebihan bulan ini seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran adalah berdasarkan firman Allah S.W.T yang berikut:


إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ

Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah S.W.T adalah sebanyak dua belas bulan sebagaimana yang terdapat di dalam kitabullah (Lauh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan juga bumi. Di antaranya (bulan-bulan tersebut) adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut. Surah al-Taubah (36)


Rasulullah S.A.W telahpun memberikan penjelasan berkenaan dengan empat bulan haram tersebut dengan sabda baginda:

السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا، أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ، ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Maksudnya: Dalam setahun itu ada dua belas bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan juga Syaaban. Riwayat al-Bukhari (184)


Justeru, dua nas di atas jelas menunjukkan bahawa bulan Muharram dimuliakan kerana ia termasuk dalam kalangan empat bulan haram yang mana diharamkan untuk berperang pada bulan-bulan haram.

Ianya sangat dihormati dari sudut amalan soleh di dalamnya menjadi besar ganjarannya manakala dosa dan maksiat juga turut menjadi lebih besar di dalam bulan-bulan haram.

Amalan Berpuasa Dalam Bulan Muharram

Di antara amalan soleh yang sangat digalakkan untuk umat Islam lakukan pada bulan Muharram adalah dengan memperbanyakkan berpuasa sunat. 

Ini dapat dilihat berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْمَفْرُوضَةِ صَلاَةٌ مِنَ اللَّيْلِ

Maksudnya: Seafdhal-afdhal puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam (Qiyamullail). Riwayat Abu Daud (2429)


Demikian juga terdapat sebuah hadis yang menceritakan berkenaan seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadhan? Maka jawab baginda S.A.W:

إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمِ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ 

Maksudnya: Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah. Riwayat al-Tirmizi (741)

 
Berdasarkan kepada dua hadis di atas, terdapat dua kelebihan yang terdapat pada bulan Muharram. Ianya seperti berikut:
  • Bulan Muharram disebut sebagai bulan Allah yang tidak disebut pada bulan-bulan lain. Umum mengetahui jika sesuatu perkara itu disandarkan kepada Allah maka ianya menjadi suatu yang mulia. Sama seperti Baitullah, Abdullah, Rasulullah, dan seumpamanya.
  • Bulan Muharram adalah bulan paling afdhal untuk berpuasa sunat setelah bulan Ramadhan.


Berpuasa Pada Hari ‘Asyura

Walaupun berpuasa pada sepanjang bulan Muharram adalah digalakkan, akan tetapi terdapat nas khusus yang menceritakan berkenaan kelebihan berpuasa pada 10 Muharram iaitu hari ‘asyura. Ini adalah berdasarkan beberapa riwayat berikut:

Antaranya adalah sebuah riwayat daripada Abu Qatadah R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

صِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Maksudnya: Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya. Riwayat Ibn Majah (1738)



Begitu juga sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Abbas R.anhuma yang berkata;

قَدِمَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمَدِينَةَ، فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، فَقَالَ ‏"‏ مَا هَذَا ‏"‏‏.‏ قَالُوا هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ، فَصَامَهُ مُوسَى‏.‏ قَالَ ‏"‏ فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ ‏"‏‏.‏ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Maksudnya: Rasulullah S.A.W datang ke Madinah dan kemudian baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Lalu baginda berkata: “Apakah ini ?”. Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah harinya Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut. Lalu baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu”. Maka baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu. Riwayat al-Bukhari (2004)

 

Kedua-dua hadis di atas jelas menunjukkan bahawa puasa pada hari ‘Asyura adalah diperintahkan kepada umat Muhammad S.A.W dan hukumnya adalah sunat.


Kelebihan/Fadhilat Berpuasa Pada 10 Muharram iaitu Hari ‘Asyura.

Antara kelebihan dan fadhilat 10 Muharram adalah seperti berikut:

1. Hari Yang Dicari Fadhilatnya

Kata Ibn Abbas R.Anhuma apabila ditanyakan mengenai puasa ‘Asyura, beliau berkata :

مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ، إِلاَّ هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ

Maksudnya : Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari hari yang lain melainkan hari ini - iaitu hari ‘AsyuraRiwayat al-Bukhari (2006)


 

Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah: Ini menunjukkan bahawa puasa ‘Asyura lebih afdhal berbanding hari-hari lain untuk berpuasa selepas Ramadhan. 

Zahir hadis Muslim pula menunjukkan bahawa puasa pada hari ‘Arafah lebih afdhal berbanding puasa pada hari ‘Asyura. 

Dikatakan hikmahnya adalah kerana puasa ‘Asyura dinisbahkan kepada Musa AS manakala puasa ‘Arafah pula dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW. Oleh yang demikian, puasa ‘Arafah lebih afdhal. [Fath Al-Bari. Dar Al-Salam, 4/315]


2. Hari Nabi Musa AS Diselamatkan Manakala Firaun dan Pengikutnya Ditenggelamkan


Di dalam al-Sahihain dari Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم لَمَّا قَدِمَ الْمَدِينَةَ وَجَدَهُمْ يَصُومُونَ يَوْمًا، يَعْنِي عَاشُورَاءَ، فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ، وَهْوَ يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ فِيهِ مُوسَى، وَأَغْرَقَ آلَ فِرْعَوْنَ، فَصَامَ مُوسَى شُكْرًا لِلَّهِ‏.‏ فَقَالَ ‏ "‏ أَنَا أَوْلَى بِمُوسَى مِنْهُمْ ‏"‏‏.‏ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ‏.‏


Maksudnya : Rasulullah SAW tiba ke Madinah dan baginda dapati golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Kata mereka : Ini adalah hari yang mulia yang mana Allah selamatkan Musa dan kaumnya pada hari ini. Hari ini juga Allah menenggelamkan firaun dan kaumnya. Lalu Musa berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran. Kata Rasulullah SAW : Aku lebih utama ke atas Musa berbanding mereka. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut. Riwayat Al-Bukhari (3397), Muslim (3/149-150)


 

Kata al-Imam al-Maziri: Perkhabaran golongan Yahudi tidak diterima. Ada kemungkinan bahawa Nabi SAW diwahyukan kepadanya akan kebenaran mereka terhadap apa yang mereka ucapkan atau telah mutawatir perkhabaran tersebut sehingga baginda mengetahuinya. 

Inilah pendapat yang terpilih di sisi Al-Imam Al-Nawawi Rahimahullah. [Al-Nawawi. Syarah Sahih Muslim, 7/204]


3. Diampunkan Dosa Setahun Yang Lalu

Dari Abu Qatadah : Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang puasa ‘Asyura, maka kata Baginda SAW :


أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Maksudnya : Aku berharap ke atas Allah agar ia dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu. Riwayat Muslim (1162)



Kata Abdul Wahhab bin al-Khaffaf di dalam Kitab Al-Siyam: Telah berkata Qatadah: Dikatakan bahawa puasa ‘Asyura adalah kaffarah (pengampun dosa) bagi lelaki yang mengabaikan zakat hartanya. [Lathaif al Ma’arif. Al-Maktab Al Islami, hlm.101]


Diceritakan dari Fath bin Syakhraf beliau berkata : Aku memecah-mecahkan roti setiap hari untuk memberi makan kepada semut. Apabila tibanya hari ‘Asyura, mereka tidak memakannya.


Diriwayatkan juga oleh Al-Qadir Billah Al-Khalifah Al-Abbasi bahawa perkara tersebut turut berlaku kepada dirinya dan beliau berasa pelik. Lalu beliau bertanya kepada Syeikh Abu Al-Hasan Al-Qazwini lalu Syeikh itu berkata: Hari ‘Asyura ini turut berpuasa padanya semut. Dikatakan, semut juga turut berpuasa pada hari ‘Asyura.[1] [Lathaif al Ma’arif. Al-Maktab Al Islami, hlm.100]


Adapun menjadikan hari ini sebagai hari bersedih sebagaimana yang dilakukan oleh golongan Rafidhah atas kematian Al-Husain Bin ‘Ali RA, maka kata Al-Hafiz Ibn Rajab Al-Hanbali :


Amalan bersedih ini adalah amalan golongan yang tersilap dalam amalannya dan dia menyangka bahawa dia sedang melakukan amalan yang terbaik. Allah dan Rasulnya SAW tidak pernah memerintahkan untuk kita menjadikan hari-hari musibah dan kematian para Nabi sebagai hari untuk bersedih. Bagaimana pula bersedih untuk orang yang berada di bawah mereka (dari sudut darjat)? [Lathaif al Ma’arif. Al-Maktab Al Islami, hlm.103]


4. Hari Diterimanya Taubat Adam AS

Disebut di dalam kitab Al-Durr Al-Manthur karya Al-Imam Al-Suyuthi sebuah riwayat dari Abdul Wahhab Al-Khaffaf, dari Sa’id, dari Qatadah beliau berkata :

Kami berbincang bahawa hari yang Allah menerima taubat Adam padanya adalah pada hari ‘Asyura. Dan Adam diturunkan ke dunia juga adalah pada hari ‘Asyura. [Al-Durr Al-Manthur. Dar al-Fikr, 1/146]


Niat Puasa Hari Asyura (10 Muharram)

Antara amalan sunat yang boleh dilakukan pada bulan Muharram adalah puasa sunat 10 Muharram atau dikenali Puasa Asyura.

Niat Puasa Hari ‘Asyura (10 Muharram)

نَوَيْتُ صَوْم عَاشُورَاء سُنَّة لله تَعَالى

Nawaitu Sauma ‘Asyura Sunnata Lillahita’ala

Maksudnya: “Sahaja Aku Puasa Sunat Hari Asyura Esok Hari Kerana Allah Ta’ala.”


niat-puasa-hari-asyura-10-muharram

Adakah Puasa hari ‘Asyura Disertai dengan Berpuasa Sehari ataupun Selepasnya.

Pendapat Para Fuqaha

Berikut adalah beberapa pendapat para fuqaha berkenaan isu mengikuti puasa hari ‘Asyura dengan berpuasa sehari ataupun selepasnya. Sebahagian para ulama mengatakan bahawa cara mengerjakan puasa ‘Asyura itu ada tiga keadaan seperti berikut:
  • Berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.
  • Berpuasa padanya (10 Muharram) secara tunggal.
  • Berpuasa sehari dan selepasnya.

Manakala cara terbaik serta paling lengkap untuk melakukannya adalah sebagaimana turutan yang disebutkan oleh Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Zaad al-Ma’ad (2/72) dengan cara seperti berikut:
  • Berpuasa pada hari sebelumnya dan juga hari selepasnya.
  • Berpuasa pada 9 dan 10 Muharram sahaja.
  • Berpuasa pada 10 Muharram sahaja.

Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua di samping merezekikan kepada kita semua untuk mengikut petunjuk Rasulullah S.A.W di dalam kehidupan seharian kita. Ameen.

Sii Nurul

Fulltime sabahan blogger since 2015 who love to write and sharing in her blog. Married with Mohamad Syafrie

Catat Ulasan

Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.

Terbaru Lebih lama