Rahmat Allah Mendahului MurkaNya

1
Rahmat Allah Mendahului MurkaNya

Alhamdulilah, kita umat islam pada hari ini baru sahaja selesai melakukan ibadah puasa dan kita sedang meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan penuh rasa kesyukuran. 

Ramai di kalangan kita begitu bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah pada bulan Ramadhan tetapi selepas daripada itu, ibadah telah diperlahankan seolah-olah ia hanyalah untuk bulan Ramadhan sahaja dan bukanlah untuk bulan-bulan yang lain.

Daripada Aisyah R.Anha, Nabi SAW bersabda:

اللَّهمَّ إنَّكَ عفوٌّ تحبُّ العفوَ فاعفُ عنِّي

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, dan Engkau sukakan pengampunan, maka ampunilah aku”.

Hadis riwayat al-Tirmizi (no.205). Beliau menyatakan hadis ini hasan sahih.

Perkataan “العفوَ” adalah salah satu daripada nama-nama Allah dan dia (keampunannya) melebihi keburukan-keburukan hambaNya dan Maha Menghapus kesan-kesan keburukan itu. Dia suka akan kemaafan dan sangat suka memaafkan hambaNya. Allah suka akan hambaNya yang saling memaafkan sesama mereka. Ketika seorang hamba memaafkan hamba yang lain, Allah akan memaafkan hamba itu dengan kemaafanNya kerana kemaafanNya mendahului murkaNya.

Nabi SAW bersabda:

اللَّهُمَّ أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon perlindungan dengan redhaMu daripada kemarahanMu dan aku berlindung dengan kemaafanMu daripada kemurkaanMu.” Riwayat Muslim (no. 486) 

Saat orang-orang yang sedar menyedari, betapa agungnya kemaafan Allah, mereka akan segera tunduk memperhambakan diri  kepadaNya. 

Demikian juga kepada para pendosa, saat mengetahui besarnya kemaafan Allah SWT, mereka akan berlumba-lumba mendapatkan kemaafan tersebut. Tidak akan ada pilihan kepada kita selaku hamba kepada Allah SWT melainkan hanya kemaafan Allah SWT atau nerakaNya.

Kalaulah para pendosa tidak berusaha untuk mengejar kemaafan ketika itu, pasti jiwa mereka akan merana kekesalan dan putus harap daripada rahmat Allah. Namun, ketika mengingat damainya kemaafan Allah mereka akan tenang dengannya.

Sebahagian ulama terdahulu membaca doa ini:

اَللَّهُمَّ إِنَّ ذُنُوْبِيْ قَدْ عَظُمَتْ وَجَلَّتْ عَنِ الصِّفَةِ، وَإِنَّهَا صَغِيرَةٌ فِي جَنْبِ عَفْوِكَ، فَاعْفُ عَنِّي.

Maksudnya: “Ya Allah, dosa-dosaku terlalu banyak tidak terkira. Tidak mampu aku sifatkan, namun ia terlalu kecil di sisi kemaafanMu, ampunilah aku”.

Sebahagian yang lain berdoa:

جُرْمِي عَظِيمٌ، وَعَفْوُكَ كَثِيرٌ، فَاجْمَعْ بَيْنَ جُرْمِي وَعَفْوِكَ يَا كَرِيمُ.

Maksudnya: “Kesalahanku amat besar dan keampunanMu amat banyak, kumpulkanlah antara kesalahan-kesalahanku dan kemaafanMu wahai Yang Maha Mulia.”

Seterusnya, kita mengharapkan dengan puasa yang kita lakukan dan ibadat yang kita lakukan itu akan sentiasa memberi kesan yang besar dalam kehidupan kita dengan penghapusan dosa yang tidak berlaku dalam bulan yang lain.

Semoga ibadah yang kita lakukan sentiasa diterima oleh Allah SWT dan mendapat keampunan daripadaNya serta keredhaanNya dalam kehidupan kita. 

Hendaklah kita pastikan ganjaran pahala yang dijanjikan pada hari ini yang merupakan penganugerahan menjadi milik kita. Maka, berpuasa enam hari pada bulan Syawal perlu kita teruskan bagi melambangkan rasa kesyukuran kita kepada Yang Maha Esa.

Tiada nikmat yang lebih besar selain daripada nikmat keampunan Allah SWT yang kita harapkan selaku hambaNya di atas muka bumi ini untuk meraih ganjaran syurga yang dijanjikanNya di akhirat kelak. Justeru, jadilah kita selaku hamba Allah SWT yang Rabbani, dan bukan terhenti sebaik sahaja habis sahaja bulan Ramadhan sepertimana kata-kata:

 “كُنْ رَبَّانِيًا وَلَا تَكُنْ رَمَضَانِيًا”.

Marilah kita terus melangkahkan kaki menuju ke masjid, ke majlis-majlis ilmu dan majlis zikrullah serta membasahkan lidah dengan membaca al-quran, berzikir, bertasbih, bertahmid, dan bertakbir membesarkan Allah SWT. Begitu juga kita terus melaksanakan ibadah solat termasuklah ibadah solat sunat dan solat-solat malam (qiamullail) pada secara berterusan.

Akhir kata, semoga Allah SWT menjadikan kita termasuk dalam kalangan hambaNya yang bersyukur dan mendapat keampunan secara berterusan daripadaNya.

Catat Ulasan

1Ulasan

Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.

Catat Ulasan

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Accept !