Perkongsian kali ini merupakan entri personal aku sebagai isteri seorang nelayan. Ramai yang tak tahu — dan sebenarnya aku pun jarang sekali bercerita tentang kehidupan peribadi di blog.
Cuma kali ini, hati terasa ingin berkongsi.
Bukan tentang teknikal pekerjaan nelayan, kerana aku sendiri bukan orang yang paling arif untuk menghuraikannya. Tetapi tentang apa rasanya menjadi isteri kepada seorang lelaki yang setiap kali keluar bekerja, dia mempertaruhkan dirinya kepada laut yang luas dan tak terjangka.
Sejak sebelum berkahwin lagi aku sudah tahu suami seorang nelayan. Aku tak pernah bertanya soal gaji, tak pernah juga meminta suami menjelaskan bagaimana kerjanya. Yang aku tahu — suami mencari rezeki di laut, dan kerja itu kadang menuntut dia pergi selama 4 atau 5 hari tanpa pulang.
Dan aku memilih untuk menerima seluruh kehidupan itu sekali dengannya. (Belum habis menaip dah sebak)
Awal perkahwinan kami bukan kisah manis seperti dalam drama. Kami bermula dari kosong — benar-benar ZERO. Laptop rosak, kerja blog tak dapat diteruskan. Suami pula baru berpindah ke kapal baru dan hampir dua minggu tidak turun ke laut.
Dalam dunia nelayan, tak turun ke laut bermakna tiada pendapatan.
Duit cuma cukup-cukup untuk bertahan. Waktu itu kami hanya menumpang di rumah ipar sebaik tiba di Pontian.
Kalau ingat balik kehidupan kami 4 tahun yang lepas, akulah jadi saksi pengorbanan suami. Susah senang kami Allah saja yang tahu. Suami yang paling kesian. Baru kahwin terpaksa tinggalkan isteri seorang di rumah. Mesti macam-macam yang difikirkan. Di laut pula line internet takda. Nak whatsapp kadang nak balik rumah dah baru ada line.
Ramai orang menyangka kerja nelayan sekadar turun laut, tangkap ikan, balik dan jual ikan.
Hakikatnya jauh lebih berat daripada itu. Tidur mereka tak menentu. Berlawan dengan ribut, ombak, cuaca panas terik di laut. Tubuh keletihan dengan kerja berat ditambah dengan kurang tidur. Kadang sampai 24jam tak tidur.
Dan yang paling sunyi — berjauhan dari keluarga berhari-hari lamanya.
Sementara dia berjuang di laut, aku belajar berjuang dengan rasa sunyi di rumah.
Aku di rumah kadang rasa sunyi dan rindu. Normal dan itulah realiti kehidupan sebagai isteri nelayan. Oleh sebab itu, kami teringin sangat nak ada zuriat supaya ada peneman dan penghibur kami berdua. Cuma Allah belum kurniakan rezeki itu lagi.
Menjadi isteri nelayan juga bererti belajar hidup dengan rasa risau yang datang tanpa diundang.
Setiap kali langit bertukar gelap, angin mula menggila dan hujan turun tanpa belas — hati ini jadi tak keruan. Doa tak pernah lekang dari bibir.
“Ya Allah, lindungilah dia walau di mana pun dia berada.”
Dan saat yang paling membahagiakan? Iaitu ketika menunggu suami pulang.
Bayangkan 4 atau 5 hari rumah sunyi tanpa suara. Apabila melangkah masuk rumah, habislah semua cerita yang aku simpan — 24 jam terpaksa melayan celoteh isterinya ini.
Penat macam mana sekalipun, dia tetap melayan. Katanya, itu terapi.
Kerja sebagai nelayan kena kuat berpegang kepada usaha, rezeki dan tawakal. Rezeki bukan sentiasa boleh dijangka. Ada hari pulang kosong. Ada hari Allah bagi lebih.
Apapun rezekinya sentiasa bersyukur dengan apa yang Allah bagi.
Allah SWT berfirman :
وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّـهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ
Maksudnya : “Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).”[Surah Hud : 10]
Mencintai suami yang seorang nelayan mengajar aku banyak perkara.
Tentang sabar.
Tentang menghargai waktu.
Tentang syukur
Dan tentang tawakal yang sebenar.
“Tak semua wanita mampu mencintai seorang lelaki yang separuh hidupnya milik laut. Tapi kalau diberi pilihan sekali lagi — aku tetap akan memilih dia.”

.png)
.png)
.png)
.png)
.png)
.png)
.png)
Bukan mudah. Kuat, Nurul ni. Dan semoga Nurul terus kuat. 💪
ReplyDeleteTerima kasih Tot 🥹 Setiap fasa tu banyak mengajar erti sabar dan percaya pada aturan Allah. Semoga Tot juga sentiasa kuat dalam setiap ujian ❤️
Deletetahniah awak kerana sentiasa berada di samping dia tersayang. semoga bahagia hingga jannah
ReplyDeleteAamiin, terima kasih banyak atas doanya🤍Semoga kita semua dikurniakan kebahagiaan hingga ke jannah 🌸
DeleteSemoga kalian berdua terus bahagia, dimurahkan rezeki..aamin..
ReplyDeletejarang akak nampak nelayan muda...
Aamiin… terima kasih akak atas doanya 🥰
DeleteMemang sekarang tak ramai nelayan muda, sebab kerjanya sangat mencabar..
bagusnya orang2 muda jadi nelayan. Salute sangat, survival skill mesti hebat ni :D
ReplyDeletesemoga kak sii nurul dan suami dikurniakan cahaya mata dan diberikan sakinah mawaddah dalam perkahwinan
Terima kasih banyak atas doanya 🤍Semoga doa-doa baik ni berbalik juga pada akak sekeluarga juga🌷
DeleteSatu pekerjaan yg mulia juga. Semuga nurul Dan suami Di kurniakan zuriat Dan bahgia Selama ya. Aamiin
ReplyDeleteAamiin ya Rabb 🤍
DeleteTerima kasih atas doa yang sangat bermakna... Semoga kak notie juga sentiasa dilimpahi kebahagiaan ❤️
Tak kesah la apa pekerjaan nya yang penting halal dan bagus hasil usaha yang baik dari suami dan isteri yang sentiasa menyokong di bahu suami. Semoga sentiasa dirahmati dan diberi rezeki yang tak putus putus dari Allah.. amin
ReplyDeletesemoga Nurul tabah menghadapi cabaran ditinggalkan suami berhari2 lamanya. InsyaAllah akan hadir zuriat buat pengikat kasih sayang.
ReplyDeleteWah, memang tabik spring la...Bukan mudah tunggu suami balik laut, tapi cinta kuat, sabar, dan tulus.
ReplyDelete