Kenaikan Harga Domain NETKL

Assalamualaikum
Bismillah

Korang ada dapat email tak tentang kenaikan harga domain .com NETKL ? Aku terkejut jugalah sebab macam baru-baru juga dorang naikkan harga. Tetapi naik lagi balik. Sabar ja lah.

harga domain netkl

Notis : Kenaikan harga domain .com (bermula 7 September 2022)

Berikutan pengumuman kenaikan harga untuk domain .com (yang akan bermula 1 September 2022) oleh pihak Registry (Verisign), maka, NetKL tiada pilihan selain turut menaikkan harga jualan domain .com kami (bermula 7 September 2022), seperti berikut :

Pendaftaran baru (Register Domain):

Harga lama = RM50
Harga baru = RM55

Pembaharuan (Renew Domain) :

Harga lama = RM50
Harga baru = RM55

Pindah ke NetKL :

Harga lama = RM50
Harga baru = RM55


Sila maklum bahawa; penggubal domain Pengawalselia Domain (ICANN) membenarkan Registrar (Verisign) menaikkan harga domain sebanyak 7% setiap tahun (pada 2020, 2021, 2022, dan 2023).

Selepas 'pembekuan harga' 2 tahun, Verisign boleh menaikkan harga lagi, sebanyak 7% setahun (dari 2026 - 2029), dan diikuti oleh 2 tahun lagi 'pembekuan harga'.

Kitaran ini akan berterusan, setiap 10 tahun sekali.


Apa yang aku faham tentang notis ini ialah pihak NETKL akan menaikkan harga domain setiap tahun. Pada tahun 2024 - 2025 akan dibekukan harga. Maksudnya tiada kenaikan harga dikenakan. 

Tetapi bermula tahun 2026 - 2029 akan dikenakan kenaikan harga balik. So setiap 4 tahun akan berlaku kenaikan harga domain dan 2 tahun pula akan dibekukan harga. Dan kiraan berterusan setiap tahun. 

Habislah... Hahaha pening nak membayar setiap tahun. 

2023 - RM55
2024 - RM55
2025 - RM55
2026 - RM60
2027 - RM60
2028 - RM60
2029 - RM60

So kiranya macam nie lah bayaran setiap tahun. Aku tak pandai maths sangat pun. Tapi anggaran aku mungkin macam tu. 

Kena struggle lebih lagilah lepas nie..


Berapa Jam Masa Bekerja Untuk Blogger Sepenuh Masa

Assalamualaikum
Bismillah

Korang pernah tak terfikir agaknya berapa jam bekerja untuk blogger sepenuh masa. Selama 7 tahun berblog, baru hari ini aku terfikir berapa jam aku habiskan masa dengan kerja-kerja blog. 

Apa yang aku kongsikan di sini tidak mewakili mana-mana blogger ya. Aku cuma ingin kongsikan sahaja apa yang aku buat setiap hari. 

Berapa Jam Masa Bekerja Untuk Blogger Sepenuh Masa

Berapa Jam Masa Bekerja Untuk Blogger Sepenuh Masa

Aku bahagikan masa untuk buat kerja blog kepada 3 bahagian iaitu sebelum Zohor, selepas Asar & selepas Isyak.

Biasanya selepas subuh aku mandi, sediakan sarapan, dan bagi makan kucing. Aku tak pelihara kucing, cuma ada kucing selalu datang rumah untuk minta makanan. Jadi pagi-pagi memang selalu bagi makan. 

Masa tengah sarapan tu aku peruntukkan masa 30 minit - 1 jam lebih untuk cari info berkenaan tajuk blog, baca isu semasa, cari topik trending, tengok news dan media sosial apa yang menarik. 

Dan aku memang set alarm jam 9.30 pagi mesti buat kerja-kerja rumah dahulu seperti mengemas, cuci pakaian, jemur pakaian, masak untuk makan. 

Sambil tunggu pakaian dibasuh dan dikeringkan di mesin basuh, aku memang dah ada beberapa topik dalam fikiran nak buat apa untuk hari ini. 

Sebelum Zohor

Dalam jam 11.30 - 1.00 tengah hari tu aku mula buat kerja blog dah. Antara kerja-kerja blog yang aku buat adalah seperti :
  • Buat tajuk artikel untuk 3 blog (Blog Sii Nurul, Blog Inspirasi, Belajar Buat Blog)
  • Tulis subtopik atau point penting 
  • Cari keyword artikel
  • Cari rujukan dan bahan untuk bacaan
  • Blogwalking (Cari idea)
  • Pengurusan media sosial (Update telegram, instagram dan facebook)
  • Catat nota-nota penting untuk blog
Untuk buat kerja-kerja blog tu aku ambil masa 2 - 4 jam. Bergantung dengan kerja-kerja di rumah. Kalau tidak banyak kerja nak buat, memang jam 9.30 lagi dah start buat kerja blog. 

Selepas Zohor aku rehat sekejap. Masa ni aku buatlah kerja lain pula, mengemas rumah, masak atau makan tengah hari, tengok anime, youtube, dengar ceramah dan tidur sebagainya. 

Selepas Asar

Aku sambung lagi balik kerja blog selepas asar. Masa ni aku dah mula kerja menaip dan edit. Antaranya :
  • Buat draft ringkas - pendahuluan, isi penting, kesimpulan
  • Edit dan design gambar
  • Cari info yang berkaitan artikel
  • Update media sosial (Sekiranya perlu)
  • Buat kerja audit blog (Google Search Console)
  • Tambah ilmu blogging (Baca pasal SEO, tips-tips blog, konten berkaitan blog)
Kalau aku ada idea nak tulis apa di blog biasanya dalam 30% draft dah siap. Aku ambil masa dalam 1 jam juga untuk buat kerja-kerja di atas.

Selepas Isyak

Pada waktu malam aku memang banyak habiskan masa dengan blog. Selepas isyak dalam jam 9 - 2 pagi aku buat kerja. Paling awal aku tidur jam 11 malam. Antara kerja blog yang aku buat adalah seperti :
  • Siapkan artikel penuh blog (Kalau tak siap sambung lagi esok sampai siap)
  • Buat tajuk artikel & keyword untuk artikel
  • Audit blog 
  • Tulis draft awal
  • Catat nota penting 
  • Update media sosial
Jadi aku ambil masa selama 3 - 5 jam untuk buat kerja blog. Tidak tentu juga sebenarnya masa berblog ni. 

Secara keseluruhan aku habiskan masa berblog minimum 5 jam sehari dan paling maksimum 10 - 12 jam sehari. 

Semakin banyak artikel yang mahu dipublish semakin panjang juga masa bekerja tu. Aku rasa bergantung dengan blogger itu sendiri. 

Sebenarnya nak tulis artikel tu tak lama pun. Dalam 1 - 2 jam dah siap, apatah lagi kalau dah buat draft awal memang kejap saja siap. Cuma sebagai blogger sepenuh masa, kerja blogging tidak tertumpu kepada menulis artikel semata-mata. 

Lain lagi kalau dapat job menulis artikel review ke, artikel SEO ke. Kena lagi dengan klien yang nak artikel dalam tempoh masa tertentu (dateline) memang banyak sangat kerja nak buat. 

Cuti Dari Kerja Blog Bagi Blogger Sepenuh Masa

Cuti tu bergantung dengan blogger itu sendiri. Nak cuti sehari, seminggu, sebulan atau setahun ke tiada masalah. 

Ada blogger dia cuti menulis apabila nak jalan-jalan. Ada yang cuti menulis sebab pergi event, bercuti dengan keluarga dan sebagainya.

Kalau aku pula, cuti dari buat kerja-kerja blog apabila suami ada kat rumah ataupun memang cuti sebab jalan jauh (tiada di rumah). Jadi sebelum suami balik aku memang dah ada beberapa draft artikel nanti tinggal nak siapkan artrikel dan post kat blog sahaja. 

Pengurusan Masa Bergantung Dengan Priority

Apabila korang jadi blogger sepenuh masa, pengurusan masa sepenuhnya korang yang kena buat. Tiada istilah "tiada masa" ataupun "tidak cukup masa". Semua orang diberi masa yang sama 24 jam sehari. Jadi kita yang kena atur masa terluang untuk berblog. 

"Untunglah jadi blogger sepenuh masa nie banyak masa untuk blog". 

Sebenarnya semuanya bergantung dengan kita punya "priority". Apa dan siapa keutamaan kita?

Jadi korang tak boleh kata aku lebih banyak masa dengan blog. Sebab sememangnya aku meletakkan "blogging" sebagai keutamaan aku. 

Begitu juga dengan blogger lain, mereka meletakkan "kerja" "anak-anak", "keluarga" mereka sebagai keutamaan mereka dahulu. Kemudian baru blog. 

Jadi apabila kita meletakkan kerja blog sebagai "priority" sudah tentulah kita lebih banyak habiskan masa kat situ. Jadi istilah tidak cukup masa atau tiada masa sebenarnya tidak relevan kerana keutamaan kita yang berbeza. 

Adakah dengan meletakkan "kerja blog" sebagai keutamaan bermaksud aku mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan suri rumah? JAWAPANNYA TIDAK.

Hal ini demikian kerana aku masih peruntukkan masa untuk buat kerja-kerja rumah dan cuti apabila suami ada di rumah. Of course suami aku paling penting sekali. Dan sudah tentu aku buat kerja-kerja blog dengan izin suami juga. 

Jadi blogger sepenuh masa ini fleksibel dengan masa. Suka hati nak atur masa bekerja jam berapa. Kalau aku penat dan malas, aku berehat dulu dari kerja blog. Sekarang ni belum ada anak bolehlah pulun habiskan masa menulis blog. 

Seandainya Allah memberikan rezeki cahaya mata, keutamaan aku mungkin sudah berubah. Dan kita tengok pula macam mana blogger sepenuh masa yang ada anak manage masa berblog hahaha. 

Kesimpulannya

Aku tidak pasti lah cara pengurusan masa orang lain macam mana. Dan aku tidak minta pun orang lain untuk berblog ikut cara aku. Setiap orang punya tanggungjawab dan peranan masing-masing tidak kira apa jenis pekerjaan pun yang kita lakukan. 

Tidak kira kerja apapun yang kita buat cuma nak pesan sesama Muslim, jagalah solat. InsyaAllah kalau kita jaga solat Allah akan permudahkan segala urusan dan memberikan keberkatan masa buat kita. 


Hukum Suami Tidak Memberi Nafkah Kepada Isteri Yang Bekerja

Assalamualaikum
Bismillah

Hukum Suami Tidak Memberi Nafkah Kepada Isteri Yang Bekerja

Hukum Suami Memberi Nafkah Kepada Isteri

HUKUMNYA WAJIB MEMBERI NAFKAH KEPADA ISTERI

Wajib bagi seorang suami untuk memberikan nafkah zahir dan nafkah batin kepada isterinya. Firman Allah Taala:

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. (Surah al-Baqarah - 2:233)


Aisyah R.anha meriwayatkan bahawa suatu hari Hindun pernah mengadu kepada Rasulullah SAW berkenaan suaminya, Abu Sufyan yang tidak memberikan nafkah yang cukup kepadanya dan anaknya. Melihat keadaan itu, maka Rasulullah SAW bersabda:


خُذِي مَا يَكْفِيكِ وَبَنِيكِ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Ambillah (daripada harta Abu Sufyan) apa yang mencukupkan kamu dan anak kamu secara baik. - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

 

Memang, jika si isteri reda dengan suami tidak memberi nafkah zahir, adalah dibenarkan. Tetapi apabila muncul masalah di kemudian hari, mungkin isteri akan mengungkit dan akan mendatangkan masalah yang lebih besar. 


Suami perlu bertekad untuk menguruskan nafkah keluarga dengan baik. Perlu sentiasa berunding dengan hikmah dan baik dengan isteri. Dicadangkan juga suami dan isteri menyediakan plan tindakan bersama bagi bagi mengurus kewangan keluarga.


Hukum Nafkah Zahir & Batin Termasuk Keperluan Emosi & Kesihatan Mental Bagi Isteri

HUKUMNYA WAJIB TUNAIKAN NAFKAH BATIN ISTERI

Keperluan emosi, mental dan fizikal yang baik merupakan salah satu nafkah batin yang wajib suami tunaikan terhadap isteri. Islam melarang seorang suami melayan isteri dengan cara yang tidak baik. 


Antaranya mengeluarkan kata-kata kesat dan mempamerkan sikap kasar terhadap isteri di hadapan anak-anak. 


Dalam hal ini juga, suami bertanggungjawab membimbing isteri dan tunjuk ajar serta nasihat dari sudut pendidikan agama dan kefahaman berkenaan pengurusan emosi. 


Dalam Islam terdapat hak-hak yang wajib ditunaikan oleh suami terhadap isterinya. Firman Allah SWT:

وَلَهُنَّ مِثۡلُ ٱلَّذِي عَلَيۡهِنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيۡهِنَّ دَرَجَةٞۗ

Maksudnya: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya).” Surah al-Baqarah (228)


Imam al-Thobari dalam menjelaskan ayat di atas, beliau menukilkan daripada kata-kata al-Dhahhak bahawa jika para-para isteri taat kepada Allah dan para suami mereka, maka wajib bagi suami berkelakuan baik serta bertanggungjawab dalam menunaikan hak-hak isteri dengan sebaik mungkin. (Rujuk: Jaami’ al-Bayan li al-Thobari, 4/531)[1]

Keperluan emosi dan kesihatan mental yang baik termasuk nafkah yang wajib ditunaikan. Suami dan isteri harus berlaku adil antara satu sama lain. 


Komunikasi dengan baik serta layanan secara lemah lembut terhadap isteri, bertolak ansur sama ada dalam hubungan fizikal atau mental. 


Ini bersesuaian dengan sifat semula jadi wanita yang lembut dan mudah terguris hatinya. Perkara ini jelas dinyatakan dalam hadis Nabi SAW dari Abu Hurairah R.A. Sabda Rasulullah SAW:


اسْتَوْصُوا بِالنساءِ خَيْرًا، فإنَّ المرأةَ خُلقتْ من ضِلَعٍ ، وإنَّ أَعْوَجَ شيءٍ في الضِّلعِ أَعْلَاه ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيْمُهُ كَسَرْتَهُ ، وإن تركتَه لم يزلْ أَعْوَجَ ، فاستوصُوا بالنِّساءِ خَيْرًا

Maksudnya: “Pergaulilah kaum wanita itu dengan pergaulan yang lemah lembut, kerana sesungguhnya kaum wanita itu dijadikan dari tulang rusuk dan sesungguhnya tulang rusuk itulah yang sebengkok-benkoknya ialah yang paling atas. Maka apabila engkau hendak meluruskannya, luruskannlah dengan perlahan dan apabila tidak diluruskan, ia sentiasa bengkok selama-lamanya. Oleh sebab itu pergaulilah wanita dengan pergaulan yang lemah lembut”. Riwayat al-Bukhari (3331) dan Muslim (1468)


Berdasarkan hadis ini, Imam Ibnu Hajar dalam menjelaskan hadis ini menyebut bahawa asal kejadian wanita ialah tulang rusuk lelaki (Nabi Adam AS) iaitu ia bersifat bengkok secara semula jadi. 


Ini bermakna wanita tidak mampu menerima pelurusan sepenuhnya kerana sifat asal kejadiannya yang bengkok. Oleh itu, jika si lelaki (suami atau bapa) cuba melurusnya pasti ia akan patah. (Rujuk: Fath al-Bari, 6/368) [2]


Tambahan juga dari Abu al-Hasan Nuruddin dalam menghuraikan hadis di atas menyebut bahawa seorang suami tidak sepatutnya berlebih-lebihan dalam meluruskan kekurangan si isteri kerana ia akhirnya membawa kepada penceraian dan pengakhiran yang tidak baik. Oleh itu si suami perlu ada sikap toleransi dan pemaaf atas kekurangan yang ada pada isteri. (Rujuk: Mirqah al-Mafatih, 5/2117)[3]


Hadis tersebut jelas menerangkan cara komunikasi yang berkesan terhadap wanita. Perlakuan kasar kepada isteri mencakupi ucapan yang menyakitkan atau tindakan yang menyakitkan fizikalnya. 


Bentuk tindakan yang menyakitkan perasaan isteri misalnya mencari-cari kesilapan isteri, mengkhianati isteri, menganggu ketenangan isteri, melenting, marah menganggu emosinya dan sebagainya. Islam mengajar agar suami sentiasa menggauli isteri dengan cara yang sangat baik. Firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ

Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” Surah an-Nisa’ (19)

Menurut Imam al-Qurtubi, ayat ini menjelaskan bahawa ayat ini secara umumnya perintah Allah ke atas para suami agar berinteraksi dengan isteri-isterinya dengan pergaulan yang baik. (Rujuk: al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/97) [4]


Menurut Syeikh al-Maraghi pula, ayat ini mengisyaratkan tentang kebersamaan dan kerjasama antara suami dan isteri dalam menghulurkan layanan yang baik antara kedua-duanya yang mana isteri sebagai sumber kebahagiaan dan ketenangan di dalam rumahtangga. (Rujuk: Tafsir al-Maraghi, 2/213-214) [5]


Tambahan pula, suami dalam melayari bahtera rumahtangga perlu mengambil teladan akhlak terbaik yang dipimpin oleh Rasulullah SAW. Hal ini sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda SAW dalam sebuah hadis:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِي

Maksudnya: “Sebaik-baik daripada kalangan kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya. Dan aku adalah yang terbaik terhadap isterinya.” Riwayat Ibn Majah (2053)


Sehubungan itu, suami tidak mempunyai hak untuk memukul sehingga mencederakan isteri, apatalagi menganiayainya. 


Mendatangkan kecederaan dan menganiayai isteri memiliki implikasi dalam undang-undang persekutuan, dan undang-undang Syariah. 


Contohnya. Seksyen 52 Akta 303 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan bahawa Mahkamah boleh mengeluarkan perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh. Seksyen itu memperuntukkan, antara lain;


(1) “Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu : lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;”


Ini menunjukkan bahawa perbuatan mencederakan dan menganiayai isteri adalah darar Syarie yang mengharuskan tuntutan fasakh. 


Dalam masa yang sama, Kanun Keseksaan (Akta 574) memperuntukkan dalam Seksyen 319 ke atas berkenaan kesalahan mendatangkan kecederaan dan kecederaan parah kepada mana-mana orang. 

Justeru, tidak menjadi kesalahan kepada ibu bapa untuk membuat laporan polis atau memberikan keselamatan dan perlindungan kepada anaknya, sama ada lelaki atau perempuan, yang dipukul, dicederakan dan dianiaya oleh pasangan.


Islam telah menetapkan tanggugjawab ke atas suami dalam kepimpinan rumahtangga, tanggungjawab memenuhi hak-hak isteri dan juga Islam memerintahkan agar bersikap santun dan berkelakuan baik terhadap mereka. 


Oleh itu, apabila hak-hak isteri tidak ditunaikan dengan baik oleh suami sedangkan ia menyedari dan mampu melaksanakan hak-hak tersebut, maka dia telah melampaui batas-batas Allah dan RasulNya. 


Dalam melayari bahtera kehidupan setiap pasangan perlu tahu tanggungjawab masing-masing agar setiap seorang di antara mereka tidak dinafikan hak-hak masing-masing sepertimana yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.


[1] إذا أطعن الله وأطعن أزواجهن، فعليه أن يُحسن صحبتها، ويكف عنها أذاه، ويُنفق عليها من سَعَته


[2] وَفَائِدَةُ هَذِهِ الْمُقَدِّمَةِ أَنَّ الْمَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ أَعْوَجَ فَلَا يُنْكَرُ اعْوِجَاجُهَا أَوِ الْإِشَارَةُ إِلَى أَنَّهَا لَا تَقْبَلُ التَّقْوِيمَ كَمَا أَنَّ الضِّلَعَ لَا يَقْبَلُهُ قَوْلُهُ فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ


[3] وَهُوَ الضِّلَعُ الْأَعْلَى، فَلَا يَسْتَطِيعُ أَحَدٌ أَنْ يُغَيِّرَهُنَّ مِمَّا جُبِلَتْ عَلَيْهِ أُمُّهُنَّ، فَلَا يَتَهَيَّأُ الِانْتِفَاعُ بِهِنَّ إِلَّا بِمُدَارَاتِهِنَّ وَالصَّبْرِ عَلَى اعْوِجَاجِهِنَّ فِيمَا لَا إِثْمَ فِي مُعَاشَرَتِهِنَّ


[4] أَيْ عَلَى مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ مِنْ حُسْنِ الْمُعَاشَرَةِ. وَالْخِطَابُ لِلْجَمِيعِ، إِذْ لِكُلِّ أَحَدٍ عِشْرَةٌ، زَوْجًا كَانَ أَوْ وَلِيًّا، وَلَكِنَّ الْمُرَادَ بِهَذَا الْأَمْرِ فِي الْأَغْلَبِ الْأَزْوَاجُ


[5] وفى كلمة (المعاشرة) معنى المشاركة والمساواة أي عاشروهن بالمعروف وليعاشرنكم كذلك، فيجب أن يكون كل من الزوجين مدعاة لسرور الآخر وسبب هناءته وسعادته  فى معيشته


Hukum Nafkah Tempat Tinggal Untuk Isteri

HUKUMNYA WAJIB MENYEDIAKAN TEMPAT TINGGAL UNTUK ISTERI

Nafkah tempat tinggal merupakan salah satu tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh suami kepada isterinya. Hal ini merupakan ijma’ fuqaha atau sepakat para ulama fiqh. 


Selain itu, kebanyakan ulama fiqh berpandangan bahawa suami wajib menyediakan kediaman khusus untuk isterinya yang mana tiada keluarga yang lain di rumah tersebut. 


Oleh kerana itu, sekiranya suami menyediakan tempat tinggal satu rumah dengan ibu bapanya maka isteri dibolehkan untuk tidak menetap bersama suami. Ini kerana, nafkah tempat tinggal merupakan hak peribadi isteri bagi diri dan hartanya. 


Namun di sana mesti dilihat bahawa nafkah yang diberi perlu diukur mengikut kemampuan suami, dan suami wajib berusaha bagi memenuhi nafkah tempat tinggal ini.


Antara tanggungjawab yang besar bagi suami ialah wajib baginya memberikan nafkah tempat tinggal kepada isteri mengikut kemampuannya. Perkara ini sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman Allah SWT:

أَسۡكِنُوهُنَّ مِنۡ حَيۡثُ سَكَنتُم مِّن وُجۡدِكُمۡ وَلَا تُضَآرُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُواْ عَلَيۡهِنَّۚ

Maksudnya: “Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu)”. Surah al-Talaq (6)

Syeikh Abu Bakar Syato menjelaskan bahawa ayat di atas dikhususkan kepada isteri yang ditalak oleh suami. Suami wajib menyediakan tempat tinggal kepada isteri yang telah ditalak. Justeru, apatah lagi isteri yang masih sah sebagai pasangannya adalah lebih utama disediakan tempat tinggal. (Rujuk: I’anah al-Tolibin, 4/84) [1]

Sehubungan dengan itu, Syeikh Zainuddin juga menyebut bahawa ciri-ciri tempat tinggal yang wajib disediakan oleh suami kepada isteri adalah :
  • Yang layak bagi isteri dari sudut adat (terjaga dari pandangan untuk berkhalwat dengan suami)
  • Yang bersifat aman, harmoni serta selamat dari sebarang bahaya terhadap dirinya dan hartanya ketika suami tidak berada di rumah. 
  • Tempat tinggal ini bukan hanya keinginan bahkan merupakan keperluan bagi isteri, walaupun tempat itu hanya didiami dalam keadaan sewa atau pinjaman.

(Rujuk: Fath al-Mu’in, hlm 540) [2]


Begitu juga, majoriti ulama berpandangan bahawa suami hendaklah menyediakan tempat tinggal khusus bagi isterinya yang mana tiada ahli keluarga suami yang lain yang tinggal bersama di rumah tersebut sebagai contoh ibu bapa atau kaum kerabat suami. 

Hal ini disebabkan khuatir perkara tersebut boleh mendatangkan mudarat kepada isteri dan hartanya serta menjejaskan perhubungan antara suami dan isteri.

Namun, sekiranya isteri reda untuk dikurangkan haknya dan dia bersetuju untuk tinggal bersama keluarga suami, maka hal tersebut dibolehkan. Sebaliknya jika isteri tidak reda maka suami wajib menyediakan tempat tinggal lain yang khusus bagi isteri. (Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah[3], 25/109, Hasyiyah Ibn Abidin[4], 3/599)

Justeru secara ringkasnya, suami perlu menyediakan tempat tinggal kepada isterinya yang menepati ciri-ciri berikut, antaranya sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaily:
  • Suami hendaklah menyediakan tempat tinggal yang sesuai berdasarkan kemampuannya dari segi kewangan.
  • Suami hendaklah menyediakan tempat tinggal yang khusus untuk isteri dan anak-anak mereka. 
  • Tidak boleh menghimpunkan bersama ibu bapa atau kaum kerabat suami melainkan jika isteri reda untuk berkongsi kediaman yang sama.
  • Suami hendaklah menyediakan keperluan asas di rumah tersebut seperti alas tidur, alat-alat tempat memasak dan bilik mandi.
(Rujuk: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 10/119)[5].

Sudah menjadi tanggungjawab suami menyediakan tempat tinggal yang aman dan tenteram serta menepati dengan hukum syarak kepada isterinya. Hal ini demi memelihara suasana yang baik dalam rumah tangga dan memastikan kelangsungan hubungan perkahwinan.

[1] ويجب للزوجة على زوجها مسكن: أي تهيئته لأن المطلقة يجب لها ذلك لقوله تعالى : (أسكنوهن) فالزوجة أولى

[2] ولها عليه مسكن تأمن فيه لو خرج عنها على نفسها ومالها وإن قل للحاجة بل للضرورة إليه. يليق بها عادة وإن كانت ممن لا يعتادون السكنى. ولو معارا ومكترى.

[3]فالجمع بين الأبوين والزوجة في مسكن واحد لا يجوز (وكذا غيرهما من الأقارب) ولذلك يكون للزوجة الامتناع عن السكنى مع واحد منهما؛ لأن الانفراد بمسكن تأمن فيه على نفسها ومالها حقها، وليس لأحد جبرها على ذلك. وهذا مذهب جمهور الفقهاء من الحنفية والشافعية والحنابلة.

[4] قوله ( خال عن أهله الخ ) لأنها تتضرر بمشاركة غيرها فيه لأنها لا تأمن على متاعها ويمنعها ذلك من المعاشرة مع زوجها ومن الاستمتاع إلا أن تختار ذلك لأنها رضيت بانتقاص حقها

[5] وبناء عليه يجب أن تتوافر في المسكن الأوصاف الآتية:

أن يكون ملائماً حالة الزوج المالية.

أن يكون مستقلاً بها ليس فيه أحد من أهله إلا أن تختار ذلك، وهذا عند الحنفية؛ لأن السكنى من كفايتها، فتجب لها كالنفقة، وقد أوجبه الله تعالى مقروناً بالنفقة، وإذا وجب حقاً لها ليس له أن يشرك غيرها فيه؛ لأنها تتضرر به؛ لأن السكن المشترك يمنعها معاشرة زوجها والاستمتاع بها، ولأنها لا تأمن على متاعها.

أن يكون المسكن مؤثثاً مفروشاً في رأي الجمهور غير المالكية: بأن يشتمل على مفروشات النوم من فراش ولحاف ووسادة، وأدوات المطبخ.

Hukum Nafkah Pasangan Berniaga Yang Berkongsi Keuntungan

Nafkah dari segi bahasa mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya

Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. (Lihat: Hasyiyah al-Bajuri ala Ibn Qasim Halabi Fatoni, 2/185, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/274)

Firman Allah SWT:

وَٱلۡوَٰلِدَٰتُ يُرۡضِعۡنَ أَوۡلَٰدَهُنَّ حَوۡلَيۡنِ كَامِلَيۡنِۖ لِمَنۡ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَۚ وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Surah al-Baqarah (233)


Imam Ibn Kathir berkata ketika mentafsirkan ayat di atas bahawa wajib ke atas ayah untuk memberi nafkah dari sudut pakaiannya dengan cara yang sepatutnya iaitu apa-apa pakaian yang diterima oleh adat atau seumpama dengannya di negara tersebut tanpa berlaku pembaziran dan tidak menyusahkan. 


Ia sekadar apa yang termampu ketika dia (ayah atau suami) dalam keadaan senang dan bersederhana serta apa yang melaziminya. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, Dar al-Tayyibah 1999M, 1/634)

Selain itu, firman Allah SWT:


ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٖ وَبِمَآ أَنفَقُواْ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡۚ

Maksudnya: “laki-laki (suami) itu pelindung bagi perempuan (isteri), kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahgian yang lain (perempuan), dan kerana mereka (laki-laki) telah memberikan nafkah dan hartanya.” Surah al-Nisa’ (34)

Sayyid Qutub dalam mantafsirkan ayat ini katanya:


Allah telah menciptakan manusia lelaki dan perempuan sebagai suami isteri mengikut peraturan semesta untuk membangunkan alam ini. 


Di antara tugas-tugas perempuan yang telah dijadikan Allah ialah mengandung, melahir, menyusu dan membela anak selaku hasil hubungan dengan lelaki. 


Tugas-tugas ini adalah tugas yang besar dan penting bukannya tugas yang senang dan kecil yang boleh dilaksanakan begitu sahaja tanpa persediaan jasmani, persediaan kejiwaan dan persediaan amali yang mendalam dalam diri perempuan. 


Oleh itu adalah adil bagi Allah meletakkan ke atas bahu lelaki tugas mengadakan keperluan-keperluan rumahtangga dan tugas memberi perlindungan kepada perempuan supaya ia dapat memberi tumpuan kepada tugas yang penting ini. 


Tentulah tidak sewajarnya ia dipaksa mengandung, melahir, menyusu dan memelihara anak-anak sedangkan serentak dalam waktu yang sama ia terpaksa bekerja, berpenat dan berjaga untuk memelihara keselamatan dirinya dan keselamatan anaknya. 


Begitu juga adil bagi Allah mengurniakan kepada lelaki dan perempuan ciri-ciri khusus masing-masing pada struktur anggota, saraf, akal dan jiwa mereka masing-masing, iaitu ciri-ciri yang dapat membantu mereka dalam kerja-kerja melaksanakan tugas mereka masing-masing. (Lihat: Fi Zilal al-Quran, Dar al-Syuruq 2009M al-Qahirah 2/650)


Manakala terdapat hadis Nabi SAW yang menyuruh kepada perkara tersebut berdasarkan hadis dari Mu’awiyah al Qusyairi R.anhu telah bertanya kepada Nabi SAW:


يا رسولَ اللَّهِ ، ما حقُّ زَوجةِ أحدِنا علَيهِ ؟ ، قالَ : أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ ، أوِ اكتسَبتَ ، ولا تضربِ الوَجهَ ، ولا تُقَبِّح ، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Baginda menjawab,”Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah”. (Lihat: Sunan Abi Daud, al-Maktabah al-Asriyyah Birut, 2/244)


Sehubungan dengan itu, majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara:

  • Makanan
  • Barang-barang dapur
  • Pakaian
  • Tempat tinggal
  • Alat-alat untuk membersihkan diri
  • Barangan rumah
  • Pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja).

(Lihat: Mughni al-Muhtaj, Dar al-Fikri Birut, 3/426, al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, Dar al-Fikri Damsyiq, 10/7349)


Para ulama bersepakat (Ijma’) suami wajib memberi nafkah kepada isterinya. Ini bersandarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 233 yang tertulis diatas. 


Malahan ia termasuk juga sekiranya isteri mempunyai pendapatan, harta atau pekerjaan. Kewajipan nafkah tetap dipangku oleh suami.


Bahkan meninggalkan pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak dianggap sebagai satu dosa berdalilkan sabda Nabi SAW yang berikut. Abdullah bin ‘Amr bin al-Ash berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَقُوتُ

Maksudnya: Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya.  (Lihat: Sunan Abi Daud, al-Maktabah al-Asriyyah Birut, 2/132)


Nafkah pada asalnya sesuatu perkara yang diwajibkan ke atas suami terhadap isteri. Akan tetapi jika si isteri menghalalkan nafkah yang wajib diberikan suami ke atas dirinya tidak menjadi masalah. 


Nafkah itu secara langsung tidak menjadi kewajipan ke atasnya. Jika isteri tidak menghalalkannya maka ianya dikira sebagai hutang, menurut majoriti ulama bahawa nafkah yang tidak dijelaskan oleh suami akan dikira sebagai hutang sekiranya suami enggan menunaikannya kepada isteri. 


Ia tidak akan gugur kecuali dengan pembayaran atau dengan pelupusan sebagaimana hutang-hutang yang lain. Ia juga tidak akan gugur dengan sebab berlalunya tempoh idah tanpa membuat pembayaran. 


Dalil majoriti ulama ialah sesungguhnya nafkah adalah gantian, bukan sesuatu pemberian tanpa gantian. Sesungguhnya nafkah itu diwajibkan oleh syarak dengan berlangsung akad perkahwinan sebagai balasan daripada kedudukan isteri menjadi hak isteri bagi suami dalam perkahwinan. 


Apabila nafkah merupakan gantian semata-mata, maka ia adalah seperti hutang-hutang yang lain yang wajib dibayar. (Lihat: al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, Dar al-Fikri Damsyiq, 10/7404).


Di dalam perbahasan nafkah suami terhadap isteri, para ulama feqah membahagikan kepada tiga golongan suami, yang senang, sederhana dan susah. 


Sekiranya suami merupakan orang susah, maka cukup sekadar mengeluarkan nafkah yang asas. Seperti mengeluarkan secupak beras berserta dengan lauk asas yang mengikut tradisi setempat. 


Kemudian, menyediakan pakaian asas untuk dipakai isteri mengikut pakaian yang dipakai masyarakat setempat sama ada ketika di rumah dan ketika keluar dari rumah, cukup sekadar menutup aurat serta mengikut budaya pakaian orang Islam setempat. 


Kemudian, menyediakan rumah mengikut kemampuan, tanpa disyaratkan untuk memiliki rumah tersebut, sudah memadai sekiranya menyewa. 


Sekiranya suami yang tidak berkemampuan ini menunaikan tanggungjawab dengan memberi nafkah asas ini, maka isteri tidak berhak untuk memohon fasakh. (Lihat: Hasyiyah al-Bajuri ala Ibn Qasim, Halabi Fatoni, 2/190-191)


Terdapat pelbagai nas al-Quran dan Sunnah berkenaan kemampuan nafkah suami di antaranya, Firman Allah SWT:


لِيُنفِقۡ ذُو سَعَةٖ مِّن سَعَتِهِۦۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيۡهِ رِزۡقُهُۥ فَلۡيُنفِقۡ مِمَّآ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُۚ لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا مَآ ءَاتَىٰهَاۚ سَيَجۡعَلُ ٱللَّهُ بَعۡدَ عُسۡرٖ يُسۡرٗا

Maksudnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. Surah al-Talaq (7)

Sementara itu, berkata Imam al-Nawawi RH dalam meresponkan tentang keutamaan di dalam memberi nafkah kepada ibubapa ataupun isteri dengan katanya ialah:


قَدَّمَ نَفَقَةَ الزَّوْجَةِ عَلَى نَفَقَةِ الْأَقَارِبِ

Maksudnya: “Nafkah isteri adalah wajib didahulukan daripada nafkah keluarga yang terdekat”. (Rujuk: Raudah al-Tolibin Wa Umdah al-Muftin, al-Maktab al-Islami Birut t.3 1991M, 9/93)


Sumber Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan :

  • IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-618 : APAKAH DEFINISI SEBENAR NAFKAH TEMPAT TINGGAL BAGI ISTERI?

  • IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-620 : HUKUM NAFKAH ZAHIR DAN BATIN TERMASUK KEPERLUAN EMOSI DAN KESIHATAN MENTAL BAGI ISTERI

  • AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 167 - TIDAK BERI NAFKAH KEPADA ISTERI YANG BEKERJA

8 Tips Rawatan Sejurus Kaki Terseliuh oleh Dr Kamarul Ariffin

Assalamualaikum
Bismillah

Keseliuhan pergelangan kaki adalah kecederaan yang agak lazim dan kebanyakkan orang akan cuba merawat kondisi ini sendiri. Namun jika salah caranya, kondisi kaki boleh menjadi semakin teruk.

8 Tips Rawatan Sejurus Kaki Terseliuh oleh Dr Kamarul Ariffin
Klik HERE for image link

8 Tips Rawatan Sejurus Kaki Terseliuh oleh Dr Kamarul Ariffin

1. Jangan Urut

Elakkan mengurut kawasan yang tercedera. Mengurut sejurus sahaja kecederaan berlaku adalah sangat menyakitkan dan boleh menyebabkan bengkak lebih teruk. Urutan hanya dibenarkan selepas 48-72 jam kecederaan berlaku.

2. Jangan Tuam Haba

Tuaman haba akan menyebabkan salur darah mengembang lantas mempercepatkan dan mempertingkatkan proses keradangan. Tuaman menggunakan haba hanya dibenarkan selepas 48-72 jam kecederaan berlaku.

3. Jangan Sapu Minyak Panas/Gamat

Jika ada luka di kulit terutama di kawasan kecederaan, jangan sapu minyak panas atau minyak gamat kerana ia boleh menyebabkan iritasi dan jangkitan pada luka. Minyak panas/gamat hanya dibenarkan jika di kawasan terseliuh itu tiada sebarang luka.

4. Jangan Abaikan Kesakitan

Jika kesakitan atau bengkak yang dialami terlalu kuat, itu tanda-tanda kecederaan yang anda alami agak parah. Jumpalah doktor, terutama jika ada kebas-kebas jari, sendi terkehel keluar, kelumpuhan dan luka (mungkin open fracture).

5. Perlu Rehat

Rehat di sini bermaksud mengurangkan gerakan sendi yang cedera dan tidak menggunakan kaki yang tercedera untuk berjalan. Menggunakan tongkat ketiak (axillary crutches), tongkat lengan ( elbow crutches) atau kerusi roda untuk berambulasi.

6. Perlu Tuam Ais

Sejurus selepas kecederaan lakukan tuaman ais. Tuaman ais selama 20 minit setiap 2-3 jam dapat mengurangkan kesakitan dan mengelakkan bengkak yang teruk. Tuaman ais ini disarankan dibuat sehingga 48-72 jam selepas kecederaan.

7. Perlu Balut

Balutan ini untuk beri tekanan dan mengurangkan pergerakan pada sendi yang tercedera. Ini dapat menghalang bengkak besar daripada terjadi. Namun, pastikan tidak balut terlampau ketat sehingga bekalan darah tersekat.

8. Perlu Tinggikan

Anggota yang tercedera perlulah diletakkan tinggi. Sewaktu duduk pastikan kaki yang terseliuh sentiasa melunjur. Jangan biarkan tergantung di bawah. Sewaktu baring atau tidur, kaki yang cedera itu hendaklah lebih tinggi daripada badan. Boleh alas bantal di bawah kaki.

Jika rawatan di rumah tidak mengurangkan bengkak dan kesakitan, itu tandanya anda perlu berjumpa dengan doktor. Khuatir ada ligamen yang terputus atau keretakan tulang. Jika tidak sempurna, kesakitan ini boleh mengakibatkan kesakitan yang lebih kronik.


Sumber: Dr Kamarul, Unit Rehabilitasi


Bila Nak Buat Kelas Blog Secara Online

Assalamualaikum
Bismillah

Sejak aku mula membina Belajar Buat Blog, ramai juga yang bertanya dan mencadangkan untuk aku menganjurkan kelas blog. Aku masih mempertimbangkan cadangan tersebut. 

Bukan sebab aku tidak yakin dengan kemampuan aku tetapi aku cuma risau dengan expectation orang lain terhadap apa yang aku kongsikan sekiranya aku membuat keputusan untuk buat kelas blog.

Dan masih terlalu awal untuk aku jadi pengajar. Banyak lagi yang aku tidak tahu dan cuba untuk memperbaiki lagi kemahiran dalam berblog.

Kadang-kala expectation orang ini terlalu tinggi dengan kita. Apabila mereka join kelas dan membayar yuran, mereka berharap untuk belajar sesuatu yang baru dari kita. Sekiranya kita ajar perkara yang sudah diketahui, jadi mereka akan menganggap duit yuran tu sia-sia sahaja. 

Benda boleh cari kat Google, buat apa susah payah join kelas. Aku cuma mahu mengelak kejadian-kejadian seperti itu. 

kelas blog online

Manfaat Membuat Kelas Blog Secara Online

Ada banyak kelebihan apabila buat Kelas Blog Secara Online ni. Antaranya :

1. Peserta dapat belajar secara langsung 

Apabila join kelas, peserta dapat belajar ilmu blogging secara langsung (live). Tak sama kita membaca apa yang ditulis dengan mendengar orang bercakap secara berhadapan. Kadang-kala apa yang disampaikan melalui lisan lebih difahami kerana ada intonasi dan suara. 

2. Dapat lihat tutorial dengan jelas

Apabila buat kelas blog online, peserta dapat melihat tutorial cara membuat blog dengan lebih jelas melalui video berbanding tutorial bergambar. Tutorial bergambar nie penulis terpaksa buat banyak kerja editing seperti printscreen, crop, format gambar dan lain-lain. Tidak semua ditunjukkan di gambar. Ada yang terpaksa di skip. 

3. Peserta boleh aplikasikan teknik dan kemahiran blog

Selain itu juga, peserta boleh aplikasikan teknik dan kemahiran yang diajar di hadapan pengajar. Jadi pengajar boleh mengenal pasti adakah teknik yang digunakan tepat dan betul. Pengajar boleh betulkan dan bagi cadangan untuk memperbaiki blog. 

4. Sesi soal jawab 

Bukan itu sahaja, peserta juga boleh bertanya soalan kepada pengajar secara langsung sekiranya ada perkara yang tidak difahami pada ketika itu juga. Tidak perlu email ataupun tunggu update entri baru kita dapat bertanya. Kadang kita pandai terlupa nak tanya soalan apa.

5. Dapat ilmu yang tidak diperoleh melalui penulisan artikel di blog

Tidak semua benda penulis blog dapat sampaikan di blog. Ada beberapa point yang kadang terpaksa dipecahkan mengikut kategori. Dan penulis tinggal mengaitkan sahaja dengan artikel yang sebelumnya. Masalahnya di sini apabila pembaca blog kita sendiri tidak baca semua info sekaligus. 

Kelebihan Buat Kelas Blog Kepada Pengajar

1. Jana pendapatan sampingan melalui kutipan yuran penyertaan

Pertama sekali penganjur dan yang mengajar boleh jana pendapatan melalui kutipan yuran setiap penyertaan. Kenapa perlu yuran? Bukan sebab ilmu sahaja tetapi kita kena fikir dari sudut masa dan tenaga. 

Even nak buat event kecil pun perlu dana, inikan pula nak buat kelas blog secara online. Peserta dapat ilmu dan boleh amalkan ilmu dan kemahiran tersebut. Manakala pengajar pula dapat reward, gaji atau income hasil dari apa yang dia buat. Win - win situation.

2. Dapat menjawab persoalan

Bagi aku as a teacher tugas kita bukan mengajar sahaja. Tetapi menjawab soalan-soalan pelajar. Jadi apabila kita dapat menjawab persoalan peserta yang selama ini dia mahukan jawapan, merupakan satu kepuasan kepada pengajar. At least kita dapat bagi sesuatu yang bermanfaat.

3. Penyampaian yang lebih jelas

Buat kelas blog secara online memudahkan pengajar untuk menyampaikan topik-topik penting dengan lebih jelas berbanding perkongsian secara penulisan. Apabila menulis kita kena susun ayat yang sesuai agar mudah pembaca kita faham.

Kalau kita bercakap, walaupun orang tak faham kita boleh jelaskan berulang-kali sampai dia faham. Dalam erti kata lain ada banyak cara untuk menyampaikan sesuatu topik sebab tahap kefahaman seseorang tidak sama.

4. Menyediakan latihan / nota / powerpoint

Selain itu juga, pengajar boleh menyediakan nota dan powerpoint untuk peserta sebelum sesi mengajar bermula. Jadi peserta lebih bersedia dan tahu topik yang bakal diterangkan dalam sesi tersebut. 

Kekurangan Buat Kelas Blog Kepada Pengajar

1. Penyertaan yang terhad

Buat kelas secara online nie tak macam kita hadir ke kelas secara fizikal. Penyertaan terpaksa dilimitkan untuk beberapa orang sahaja dalam setiap sesi. Sejujurnya, aku lagi suka mengajar one to one session. Maksudnya tidak semualah dapat join kelas tu. Dan terpaksa buat kelas pada waktu lain lagi. 

2. Perlu membuat persediaan mengajar

Sebelum kita ajar orang, kita kena lebih bersedia dengan sesi pengajaran. We don't know what to expect masa sesi tu. Sekiranya kita kurang bersedia, rugilah masa kita dan peserta tersebut. 

Sebagai contoh, buat sesi selama 1 jam, tetapi tak sampai 1 jam dah selesai. Kemudian tak tahu dah nak buat apa untuk lebihan masa tersebut. 

3. Kekangan masa 

Kekangan masa pengajar dari segi persediaan, jadual untuk buat sesi dan sebagainya. Nak buat sesi 30 minit cukupkah? Ataupun 1 jam sesi tu cukup ka untuk sampaikan apa yang perlu disampaikan? Time is money! Hahaha

4. Masalah internet / teknikal

Gangguan dari segi internet dan masalah teknikal yang lain pun boleh berlaku yang kita tidak jangka. Kalau boleh kita mahu manfaatkan masa 1 jam dengan lancar tanpa gangguan internet dan masalah teknikal yang lain.

Hal ini demikian kerana ia akan memakan masa. Buat sesi 1 jam nanti ter'drag ke 1 jam 30 minit. Hal macam tu yang kita tidak mahu berlaku semasa sesi. 

5. Waktu mengajar 

Walaupun aku kerja fulltime as blogger tetapi kena tahu juga nak urus masa untuk kerja-kerja di rumah dan mencari masa yang sesuai untuk buat kelas blog. Sebab peserta ini ikut masa kita saja sebenarnya, kalau kita yang tiada masa, susahlah nak buat kelas blog online. 

6. Yuran Peserta 

Akhir sekali dari segi yuran penyertaan. Yuran penyertaan inilah yang buat aku terfikir banyak kali nak buat kelas online ataupun tidak. 

Sejujurnya RM50 bagi aku masih kurang berbaloi untuk mengajar sesuatu topik. Misalnya nak mengajar macam mana nak cari keyword blog atau nak buat artikel SEO. Banyak sangat benda aku nak kongsi kalau pasal SEO nie.

Dan aku suka orang yang betul-betul mahu belajar. Bukan setakat join kelas sebab nak tahu cara tu sahaja. Nak instantly berjaya saja. 

Ini bukan soal kedekut ilmu ataupun apa. 1 ilmu yang korang dapat tu kalau betul-betul dipraktikkan boleh buat banyak benda sebenarnya. 


Kesimpulannya

Setelah pertimbangkan banyak benda dari segi masa, persediaan, kos dan sebagainya. Aku buat keputusan untuk hold dulu nak buat kelas blog secara online ni. It's not about money.

Sedangkan Belajar Buat Blog sendiri pun ada yang tanya bila nak ajar SEO, buat duit dari blog dan sebagainya. Menuntut ilmu nie kena sabar. Apatah lagi menuntut ilmu agama.

Aku tahu perkongsian aku tiada kaitan pun dengan agama. Cuma mahu kita semua jadi seorang blogger yang menulis kerana ingin berkongsi manfaat. Seseorang yang suka berkongsi manfaat dengan orang lain akan sentiasa berusaha untuk memperbaiki dirinya dan sentiasa ingin belajar sesuatu. 

Marilah kita sama-sama jadi lebih baik tidak kira apapun pekerjaan yang kita lakukan.

Menulis kerana ALLAH.
Menulis kerana ingin berkongsi manfaat.
Menulis kerana ingin mencari reda dan diredai Allah SWT.
Menulis sebagai bekalan akhirat kita.
Menulis agar menjadi contoh yang baik buat orang lain.
Menulis hal-hal kebaikan.

© all rights reserved
made with by templateszoo