Cikgu Eva, Anugerah Guru Inspirasi McD 2021 Dari SK Sipinong Sabah Menyatakan Hasrat Ingin Mewujudkan STEM Centre supaya Pelajar di Pulau Tidak Ketinggalan

"Jika Diberi Sumber Kewangan, Tenaga dan Masa, Saya Ingin Mewujudkan STEM Centre supaya Pelajar di Pulau Tidak Ketinggalan." Cikgu Eva, Calon Guru Inspirasi McD 2021 Dari SK Sipinong Sabah Menyatakan Hasrat untuk Memajukan Anak Didiknya | Betullah seperti yang dikatakan oleh pepatah, Guru Ibarat Lilin, Membakar Diri untuk Menerangi Orang Lain. Aku kagum dengan calon guru inspirasi 2021 McDonald yang dicalonkan oleh suaminya sendiri iaitu Puan Eva binti Lahi.

"Saya di sini tidak memuji atau memuji dia kerana dia adalah isteri saya. Tetapi saya rasa dia layak mendapat penghargaan ini kerana kerja kerasnya. Lagipun, majoriti pelajarnya tidak mempunyai telefon bimbit untuk mencalonkan namanya. Jadi di sinilah saya sebagai suaminya yang setia dan penyayang, mencalonkan isteri saya untuk anugerah yang luar biasa ini." kata suami Puan Eva.

Aku tertarik dengan kisah Cikgu Eva yang tidak lelah membimbing anak murid di Sekolah Kebangsaan Sipinong yang terletak di sebuah pulau yang terpencil di Sandakan Sabah. Setiap hari Cikgu Eva berulang alik dari jeti di bandar Sandakan menaiki bot sehingga ke pulau.

"Dari bandar ke pulau jauh juga. Kalau cuaca ok, mengambil masa 45 minit. Kalau cuaca tak ok, sejam juga perjalanan menaiki bot kami yang agak usang," kata Cikgu Eva.

Di sini aku nak kongsikan dengan korang mengenai kisah Cikgu Eva dan pencapaiannya sebagai seorang pendidik yang begitu berdedikasi, cekal dan tabah mengharungi rintangan di SK Sipinong, Sabah ini.

Jika Guru Saya Ketika Itu seperti Isteri Saya, Puan Eva, Pasti Bahasa Inggeris Saya A++

Suami Puan Eva begitu kagum dengan isterinya apabila melihat usaha Puan Eva yang tidak terhingga dan membuat keputusan untuk bekerja di sebuah pulau terpencil yang terletak di Sabah. Sekolah itu agak jauh dan memerlukan Puan Eva pergi ke sana dengan menaiki bot. Walaupun begitu, dia menjalani rutin setiap hari dan tak pernah mengeluh.

Cikgu Eva berjaya merancang pengajarannya dengan sangat menarik. Ini kerana beliau inginkan pelajar di SK Sipinong mendapat pendidikan sama rata seperti di bandar. Cikgu Eva menyatakan bahawa seharusnya tiada mana-mana pelajar yang ketinggalan dalam pelajaran. Beliau membuat satu program yang dikenali sebagai Pen Pal. 

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran penulisan pelajarnya. Ke hulu ke hilir Cikgu Eva menghantar surat dari pelajar-pelajarnya di pulau hantar kepada pelajar lain di bandar. Mereka bertukar-tukar cerita tentang kehidupan, pengalaman dan juga rahsia mereka.

"Kesungguhannya memberi inspirasi kepada saya dan saya berfikir, bagaimana jika guru saya ketika itu seperti dia? Saya sangat yakin dapat memperoleh A ++ untuk subjek Bahasa Inggeris saya," kata suami Cikgu Eva.

Cikgu Eva, Calon Guru Inspirasi McD 2021 Dari SK Sipinong Sabah
Program Book Devotee bersama murid Tahun 4

Tetap ke Pulau Semasa Sesi Pengajaran PdPr Ketika Pandemik Covid-19

Ketika Pandemik Covid 19 mula melanda Malaysia sejak tahun lalu, semua kaedah pengajaran perlu dilakukan secara dalam talian. Cikgu Eva selalu membuat video pengajaran untuk pelajarnya. Disebabkan segelintir pelajar di pulau itu tidak mempunyai telefon bimbit untuk sesi pembelajaran, beliau menyediakan modul dan lembaran kerja untuk mereka.

"Pada hujung minggu, saya akan menjadi peneman setianya untuk menghantar semua modul dan lembaran kerja ke pulau," kata suami Cikgu Eva.

"Cikgu Eva sangat gembira kerana majoriti pelajarnya menyerahkan tugasan dan menghantar karya melalui aplikasi whatsapp. Ibu bapa pelajar memuji cikgu Eva untuk videonya dan bahkan guru-guru lain di sekolah cemburu dengan tekadnya dalam mengajar," tambah suami Cikgu Eva lagi.

Cikgu Eva, Calon Guru Inspirasi McD 2021 Dari SK Sipinong Sabah
Susun atur SOP untuk pembukaan sekolah

Biodata Puan Eva
Nama penuh Cikgu Eva ialah Eva binti Lahi. Beliau berusia 29 tahun. Cikgu Eva berasal dari Tawau dan kini menetap dan bekerja sebagai seorang guru di sekolah rendah di kawasan luar bandar di daerah Sandakan. Beliau pernah mewakili sekolah, daerah, negeri dan juga di peringkat antarabangsa untuk beberapa program, kursus dan pertandingan.

Pendidikan Awal Puan Eva Sehingga Bergelar Seorang Guru
Cikgu Eva mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan St. Patrick, Tawau dan kemudian berpindah ke Sekolah Kebangsaan Kunak 1. Selepas keputusan UPSR dikeluarkan, Cikgu Eva melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sains Lahad Datu, Sabah.

Selepas tamat persekolahan, Cikgu Eva sempat melanjutkan pelajaran selama setahun di Kuching, Sarawak dalam bidang Computer Programming.

Pada tahun 2011, Cikgu Eva melanjutkan pelajarannya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di dalam bidang Pendidikan Teaching English as Second Language (TESL) di Institut Perguruan (IPG) Kampus Gaya.

Setelah tamat belajar, Cikgu Eva ditawarkan bekerja pada tahun 2017. Posting pertama beliau adalah di Sekolah Kebangsaan Sri Melanta Jaya, Sabah.

Pada tahun 2019, Cikgu Eva dipindahkan ke sekolah yang beliau sedang berkhidmat sekarang iaitu SK Sipinong. Cikgu Eva mengajar subjek English dan Matematik di sekolah tersebut.

Cikgu Eva, Calon Guru Inspirasi McD 2021 Dari SK Sipinong Sabah

Panik! Bot Hampir Terbalik Semasa Perjalanan Ke Sekolah!

Tipulah kalau tiada pengalaman pahit dan manis semasa menjadi seorang cikgu. Bukan kerjaya cikgu sahaja, kerjaya sebagai seorang doktor, bomba atau polis pon pasti melalui pengalaman pahit dan manis semasa bekerja. Cikgu Eva juga pernah melalui pengalaman pahit dan manis semasa di dalam kerjayanya.

Menurut Cikgu Eva terlalu banyak pengalaman manis yang terpatri di dalam memorinya. Salah satu yang paling tak dapat dilupakan adalah beliau dapat mewakili Sandakan dalam pelbagai program. Beliau juga pernah ditawarkan kenaikan pangkat di pejabat pendidikan Daerah Sandakan, tetapi tawaran itu ditolak kerana Cikgu Eva ingin meneruskan cita-citanya untuk memberi ilmu kepada anak didiknya.

Di sebalik pengalaman manis, terdapat juga pengalaman pahit yang ditempuhi oleh Cikgu Eva sepanjang bekerja sebagai seorang guru dan ianya menjadi kenangan sehingga kini. Kisah pada hari Cikgu Eva hendak bertolak ke sekolah, waktu itu cuaca terlalu buruk. Bot yang dinaiki oleh Cikgu Eva dan beberapa penumpang yang lain hampir terbalik. Misi mencari bot beliau dan penumpang lain oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menemui jalan buntu. Bot mereka tidak ditemui sebab hujan sangat lebat dan ribut petir melanda ketika itu.

"Panik betullah masa tu sebab tak pandai berenang," kata Cikgu Eva.

Pencapaian dan Sumbangan Puan Eva Sepanjang Kerjaya Sebagai Seorang Cikgu

Banyak pencapaian dan sumbangan yang aku kagum dengan Cikgu Eva. Pelbagai pencapaian yang telah dicapai oleh Cikgu Eva di peringkat antarabangsa, kebangsaan, negeri dan sekolah. Antaranya :

Peringkat Antarabangsa
• Peserta dan telah berjaya memperkenalkan murid tentang teknik asas penulisan blog menggunakan sistem HTML (coding) pada tahun 2002.

Peringkat Kebangsaan
• Wakil Negeri Sabah dan telah mengadakan dua siri bengkel PLC ELT bersama guru-guru di daerah Sandakan pada tahun 2019. Hasil daripada bengkel tersebut, ianya telah membantu guru untuk mengajar subjek MUET dengan lebih efektif kepada murid-murid di sekolah masing-masing.

Peringkat Negeri/Sekolah
• Mewakili daerah Sandakan ke peringkat negeri sebagai jurulatih utama negeri untuk Computational Thinking and Computer Science Certificate pada tahun 2018. Beliau berjaya menperkenalkan asas software "scratch" kepada murid-murid di daerah Sandakan.

• Wakil sekolah dan daerah di dalam pertandingan inovasi di bawah kelolaan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sabah bertajuk "Walking Dictionary" pada tahun 2018.

• Peserta kursus peringkat negeri untuk Microsoft Office 365 pada tahun 2019.

• Jurulatih utama daerah bagi progran penataran CEFR bagi guru-guru di Negeri Sabah pada tahun 2018 dan 2019. Program tersebut memberi peluang kepada Cikgu Eva untuk melatih guru-guru di daerah Sandakan tentang pengenalan kurikulum baharu Kementerian Pendidikan Malaysia.

• Salah seorang pengarang modul. Modul tersebut akan digunakan sebagai rujukan aktiviti kokurikulum kelab Bahasa Inggeris bagi sekolah-sekolah di daerah Sandakan.

• Peserta bengkel Future Read Asean Microsoft Workshop pada tahun 2019 dan telah melayakkan diri sebagai peserta di peringkat antarabangsa.

• Menambah potensi diri dengan mengikuti kursus Arduino Robotik Siri 1 yang berlangsung di Perpustakaan Negeri Sabag pada tahun 2019.

• Menjadi fasilitator kepada guru-guru di sekolah yang terdapat di daerah Sandakan supaya pentaksiran bilik darjah lebih mudah difahami dab dapat dijalankan dengan lebih berkesan pada tahun 2021.

• Menjadi salah seorang peserta bengkel Horizon Baharu kumpulan inovatif dan kreatif PPD sandakan pada tahun 2021 yang mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh murid dan guru sekolah. Hasil bengkel, inovasi telah dilaksanakan bagi menyelesaikan beberapa masalah yang terdapat di sekolah-sekolah daerah Sandakan.

• Melaksanakan Project Based Learning untuk murid dan komuniti (ibu dan bapa) sepanjang PDPR semasa pandemik Covid-19.

Cikgu Eva, Calon Guru Inspirasi McD 2021 Dari SK Sipinong Sabah
Semasa jurulatih di SK Sipinong

Mindset Pelajar Di sini Hanya Belajar Sehingga Darjah 6 atau Tingkatan 5 Sahaja!

Menurut Cikgu Eva bermacam-macam perkara yang beliau hendak lakukan apabila ditanya mengenai perubahan atau pembaikan yang ingin dilakukan di sekolah sekiranya diberikan sumber dari segi kewangan, tenaga dan masa.

"Saya ingin buat satu bilik khas atau STEM (Science Technology, Engineering and Math) centre. Di mana ia menempatkan barang-barang IT (teknologi). Ini kerana saya mahu memperkenalkan kepada murid-murid di SK Sipinong dengan lebih mendalam dan memberi pendedahan terhadap teknologi yang moden. Di sini, mereka agak ketinggalan, tetapi saya yakin mereka ada potensi jika diberi peluang. Zaman sekarang, murid perlu mengejar teknologi supaya mereka tidak terlalu ketinggalan. Saya juga ingin membuat program STEM yang boleh membantu mereka untuk lebih maju. Saya ingin melatih mereka untuk mahir dalam bidang sains, english dan teknologi supaya boleh membantu meningkatkan kebolehpasaran murid-murid apabila mereka masuk ke alam pekerjaan di masa hadapan," kata Cikgu Eva.

Beliau turut berkata, "Pelajar di SK Sipinong, majoriti mindset mereka belajar hanya sampai darjah 6 atau tingkatan 5 sahaja. Saya mahu mewujudkan peluang dan kemahiran teknologi yang lebih meluas supaya mereka berfikiran lebih moden, lebih berdikari dan maju ke hadapan."

"Itulah impian saya untuk murid-Murid di pulau," sambung Cikgu Eva lagi.

Cikgu Eva, Calon Guru Inspirasi McD 2021 Dari SK Sipinong Sabah

Doa aku, semoga Cikgu Eva terus bersemangat dalam kerjayanya walaupun terpaksa mengharungi rintangan, menaiki bot, berhujan, berpanas dan meredah laut demi mendidik anak-anak muridnya.


Sii Nurul

Fulltime sabahan blogger since 2015 who love to write and sharing in her blog. Married with Mohamad Syafrie

4 Ulasan

Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.

  1. Kagum dengan cikgu Eva, yang tak kenal erti penat meredah lautan demi mendidik anak anak murid

    BalasPadam
  2. Tahniah cikgu Eva! teruskan berbakti, hebat!

    BalasPadam
  3. Terbaik cikgu Eva 👍🏻

    BalasPadam
Terbaru Lebih lama